KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080615

Kalau dah seronok sangat PLKN kenapa perlu diwajibkan ?

Akhir-akhir ini media elektronik melalui siaran televisyen kerap memaparkan iklan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Rata-rata dalam iklan promosi PLKN tersebut para pelatihnya begitu seronok sekali menyertai PLKN kerana dihidangkan makanan yang sedap-sedap, dapat berkenalan rakan-rakan yang baik-baik, dapat menjalani latihan “outdoor” seperti “flying fox”, merentas sungai, berkayak malahan yang paling menyeronokkan ialah latihan menembak juga melakukan senaman berkawad dalam rentak tarian yang berirama sambil bernyanyi.

Kita juga tahu bahawa pelatih PLKN ini akan diberi elaun RM 150 sebulan. Siapa yang tak nak ketika ekonomi negara sedang gawat akibat kenaikan harga minyak yang tinggi boleh dapat latihan percuma, makanan sedap yang percuma serta elaun lagi ?

Sedangkan kalau kita bandingkan dengan latihan ala “Summer Camp” termasuk perkhemahan ibadah yang dijalankan oleh pihak swasta , persatuan serta pertubuhan bukan kerajaan adakalanya ibu bapa pula yang perlu mengeluarkan duit , ada yang sehingga RM 300 untuk perkhemahan selama 3 hari 3 malam. Jika untuk latihan 3 bulan ala PLKN oleh pihak swasta pada kadar ini mungkin mencecah RM 9,000.

Jadi kalaulah kita sebagai ibu bapa , yang mana satu kita akan pilih samada membayar RM 9,000 untuk 3 bulan atau sebaliknya mendapat elaun RM 450 pula untuk menghantar anak-anak kita ke program latihan luaran untuk meningkatkan disiplin mereka ?

Saya pasti sekiranya dengan promosi PLKN yang sedemikian rupa sudah pasti program PLKN ini tidak perlu diwajibkan lagi. Jadikanlah program PLKN ini sebagai satu program sukarela. Lakukan promosi yang bersungguh-sungguh seperti iklan PLKN yang disiarkan di televisyen tersebut. Dengan yang demikian itu akan tiadalah lagi suara-suara yang akan mempertikaikan program PLKN kerana ianya adalah pilihan pelatih dan ibu bapa pelatih PLKN untuk menyertai PLKN. Tambahan dikhabarkan mereka yang telah menjalani latihan PLKN akan diberi keutamaan untuk mendapat pekerjaan di sektor kerajaan.

Adalah agak janggal juga kenapa perlu berbelanja besar untuk mempromosi satu program yang diwajibkan. Apakah selepas ini Kementerian Pelajaran pula akan mengadakan iklan di televisyen untuk mempromosi anak-anak yang berumur 7 tahun sehingga 17 tahun pergi bersekolah untuk mengurangkan budaya ponteng dan melepak ?