KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080607

Ubah Cara Hidup, Kitar Semula, Jalan Kaki …..

Minyak naik ni boleh jadi naik minyak juga. Jauh di sudut hati mungkin ada hikmahnya. Sebelum marah-marah, bersabar dulu, mohon pertolongan Allah swt agar dipermudahkan segala urusan dan diberi jalan keluar dalam kemelut minyak naik ini.

Sebelum minyak naik, kami sekeluarga mengamalkan kitar semula, dari cucu hinggalah ke atoknya. Apa sahaja yang boleh dikitar semula kami simpan, kertas, suratkhabar, botol plastik, botol mineral (lihat gambar sebenar ). Bila banyak kumpul di rumah atoknya di Bongek. Bila dah banyak atoknya pun jual di kedai barang lusuh di Pekan Chengkau. Lepas lah sikit duit minyak potong rumput.

Banyak manafaat kitar semula ni. Antaranya mendidik anak-anak supaya cintakan alam sekitar melalui kitar semula. Mengurangkan pembuangan sampah. Amalan berjimat cermat. Sumber pendapatan sampingan, kalau dilakukan dengan intensif.

Itu bab kitar semula. Sejak minyak naik ni, aku pun mulalah dengan hanya berjalan kaki ke surau setiap maghrib dan isya. Terasa juga lepas cuba seminggu , minyak kereta masih banyak. Semoga dipermudahkan untuk terus berjemaah dengan berjalan kaki.

Fikir punya fikir, memang susah minyak naik ni. Lebih susah lagi mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Lebih susah lagi mereka yang duduk di Palestin yang bukannya minyaknya mahal, tapi tak ada langsung. Nak bercucuk tanam di Palestin pun tanah tak ada. Sedangkan di Rembau setiap kali lalu sedih tengok begitu banyak tanah terbiar, begitu banyak rumah terbiar.

Jauh di sudut hati mungkin ada hikmah minyak naik ni. Mungkin lepas ni suami-suami tidak lagi melepak pekena teh tarik di warung-warung, sebaliknya pekena teh tarik bersama isteri dan anak-anak di rumah.

Mungkin ada hikmahnya minyak naik ni. Mungkin lepas ni kenduri kahwin orang akan mengadakannya secara sederhana, bukannya berlumba-lumba menghias pelamin, berarak pengantin, berkaraoke, hantaran berdulang-dulang. Mungkin cukup kenduri kahwin masak bergotong royong , makan ramai-ramai tanpa perlu ada majlis persandingan, tanpa perlu bunga telur yang canggih canggun, tanpa perlu berkaraoke sampai ke tengah malam. Kad kahwin pun tak perlu, cukup melalui e-mel atau SMS. Hari ini aku terima jemputan kahwin melalui SMS dari seorang yang bertaraf Professor Madya. Tahniah nampaknya dia telah menunjukkan jalan untuk mengubah cara hidup.

Apa pun sama-samalah kita doakan, walaupun sesusah mana rakyat menghadapi krisis minyak naik ini, yang pentingnya untuk kita umat Islam ialah solat jangan tinggal. Kerana solatlah yang akan menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat.

Tersenyum aku berbual dengan Ustaz Dato Arshad pada malam minyak naik orang berebut-rebut isi minyak sampai jem, sampai bergaduh kerana kalau isi minyak esok rugi RM 10 ke , RM 20 ke, tapi mereka tak tahu kalau tak solat jemaah pada malam tersebut lagi lagi rugi, kalau tak solat fardhu malam tersebut lagilah teramat rugi. Demi masa sesunggahnya manusia dalam kerugian. Kecuali mereka beriman dan beramal soleh. Yang memperkatakan kebenaran dan mereka yang bersabar.