KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20111221

Malaysia amat perlukan lebih banyak hospital pesakit mental


Nampaknya negara kita Malaysia memerlukan lebih banyak hospital, klinik dan doktor khusus untuk merawat pesakit mental. 11.3 peratus rakyat Malaysia sakit mental, bermakna hampir 3.3 juta orang. 50,000 kes cuba bunuh diri setahun dengan begitu sedikit pakar sakit jiwa seluruh Malaysia hanya ada 233 orang pakar sakit jiwa.

Saya sendiri pernah dihubungi oleh pembaca blog saya yang tidak tahu lagi ke mana hendak diluahkan perasaan kerana mempunyai ahli keluarga yang sakit mental yang boleh membahayakan keluarga dan penduduk setempat. Hospital, penjara tidak mahu menerima mereka yang sebegini seperti dilaporkan sebelum ini di http://waghih.blogspot.com/2010/11/negara-amat-perlukan-lebih-banyak.html

Peristiwa di bawah ini saya yakin bukan yang pertama dan terakhir yang berlaku di negara kita. Akan ada lagi peristiwa di bawah ini sekiranya pemerintah negara dan rakyat tidak mengambil serius untuk menangani masalah ini, antaranya pembinaan lebih banyak hospital dan klinik pesakit mental serta menambah bilangan doktor yang pakar dalam bidang ini.

**********
Lelaki mengamuk, nenek cedera
Utusan Malaysia 21 Dis 2011

Orang ramai melawat Hasipah Ngah Kassim yang cedera selepas menjadi mangsa amuk di Teluk Intan, Perak, semalam.

TELUK INTAN 20 Dis. – Seorang nenek berusia 81 tahun menempuh saat-saat paling mencemaskan dalam hidupnya apabila dibelasah seorang lelaki dalam satu kejadian amuk di Kampung Tersusun Alor Bakong, Langkap di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, warga emas, Hasipah Ngah Kassim dicekik, diheret dan dipijak sebelum kepalanya dipukul serta dihantukkan ke dinding oleh lelaki dipercayai kurang siuman yang tiba-tiba memasuki rumahnya.

Ekoran kejadian itu, Hasipah yang mengalami cedera di leher, kepala serta lebam di seluruh badan, dikejarkan ke sebuah klinik kesihatan, di sini.

Keadaan warga emas itu, bagaimanapun kini dilaporkan stabil tetapi masih trauma ekoran kejadian tersebut.

Cucu mangsa, Mohd. Izwan, 12, yang menyedari kejadian itu memberitahu, insiden berlaku ketika neneknya itu baru selesai menunaikan solat di salah sebuah bilik di rumah mereka.

“Tiba-tiba saya terdengar suara nenek menjerit-jerit kesakitan dan saya bergegas cuba menyelamatkan nenek tetapi lelaki itu memukul dan mengugut membunuh saya jika masuk campur.

“Saya kemudian meminta pertolongan jiran-jiran yang akhirnya dapat menyelamatkan nenek yang terkulai kesakitan di lantai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Penduduk, Roshaidah Shamsudin, 33, memberitahu, lelaki kurang siuman itu sering menakut-nakutkan penduduk yang mengamuk secara tiba-tiba tanpa mengira siang atau malam.

Malah, dia mendakwa, lelaki tersebut yang selalu dilihat membawa parang, pernah cuba menikam anak saudaranya sendiri selepas didapati cuba memasuki rumah untuk mencuri.

“Kita harap, pihak berkuasa segera mengambil tindakan. Kita tidak mahu peristiwa berdarah di Taman Mawar Langkap pada 2009 melibatkan seorang lelaki yang menetak mati isterinya ketika bersahur akan berulang di kampung ini,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Supritendan Muhammad Zaki Harun ketika mengesahkan kejadian itu berkata, suspek yang dikenali sebagai Zali Abdullah, 32, kini ditahan untuk membantu siasatan.

“Buat masa ini, kita dimaklumkan suspek menghidap penyakit mental, tetapi siasatan masih dijalankan,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_06.htm

Tiada ulasan: