Begitu terkejut sekali saya pada 11.10.2012 saya menerima
NOTIS PEMOTONGAN BEKALAN ELEKTRIK dari TNB yang bertarikh 19.9.2012 mengatakan
bayaran bil tertunggak sebanyak RM85.05 yang perlu dijelaskan sebelum
27.9.2012. Kenapa hampir sebulan baru dapat notis berkenaan? Bila semak balik
bil, saya membuat pembayaran pada 19.9.2012 di Pejabat Pos Senawang, dan
bayaran bil beberapa tahun yang lalu adalah menepati masa.
Sebelum ini banyak yang dilaporkan kepada saya golongan
susah di Rumah Pangsa Senawang (Projek Perumahan Rakyat) yang bekalan elektrik
mereka dipotong. 2 hari sudah kenalan saya terpaksa cuti tanpa gaji untuk
menyelesaikan NOTIS PEMOTONGAN TNB dengan merayu di Majlis Agama Islam
N.Sembilan untuk mendapatkan bantuan membayar bil.
Masih ingat lagi cerita dibawah, satu keluarga maut akibat
tak mampu bayar bil elektrik. Atau Melayu mudah lupa?
Rakan-rakan dalam
TNB, saya minta maaf. Saya tahu anda hanya menjalankan arahan dari pihak
atasan, dan pihak atasan pula dapat arahan dari pihak lagi atas.
MISKIN PUNCA RENTUNG -- TIDAK MAMPU BAYAR BIL ELEKTRIK
SEBABKAN 5 BERANAK MAUT
KLUANG 9 Ogos 2007 - Pasangan suami isteri yang terkorban
bersama tiga anak mereka dalam satu tragedi kebakaran di Kampung Tengah di sini
awal pagi ini merupakan ayah dan ibu yang hidup dalam kesempitan kerana
sebahagian besar pendapatan mereka digunakan untuk menyara keluarga dan
membiayai pendidikan anak-anak.
Si suami, Kasmuri
Jasman, 44, ialah seorang pekerja sebuah kilang mozek di sini dengan gaji yang
sederhana.
Isterinya, Sufiah
Abdul Karim, 41, pula seorang suri rumah tangga.
Bergaji hanya
RM1,800 sebulan, Kasmuri menyara anak-anaknya seramai tujuh orang dengan tiga
daripadanya sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.
Mereka sekeluarga
tinggal di rumah sewa dua bilik dengan kadar sewa RM200 sebulan.
Pemilik rumah
yang disewanya, Jaliah Osman, 60-an, berkata, Sufiah pernah mengadu keluarganya
kesempitan wang.
Lima hari lalu
bekalan elektrik ke rumah itu dipotong kerana Kasmuri tidak dapat menjelaskan
tunggakan bil sebanyak RM800.
Kasmuri
menggunakan sebahagian besar daripada wang yang dimiliki untuk membiayai tiga
anaknya yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi, kata Jaliah.
Jiran-jirannya
percaya kebakaran pada pukul 3.30 pagi di rumah Kasmuri dan Sufiah di Lorong
Osman Mohamad Salleh, Kampung Tengah di sini berpunca daripada api lilin.
Sejak lima hari
lalu keluarga itu menggunakan api lilin untuk menerangi rumah.
Dalam kebakaran
itu, Kasmuri, Sufiah serta dua anak lelaki mereka, Hishammuddin, 13 dan
Izwanuddin, 9, dijumpai rentung bersama anak perempuan, Nurul Macella, 8.
Seorang lagi anak
perempuan mangsa, Norfarhana Kasmuri, 15, terselamat kerana sempat melarikan
diri melalui pintu depan dan kemudian menjerit meminta tolong.
Semasa kejadian,
tiga daripada tujuh anak Kasmuri tidak berada di rumah kerana menuntut di tiga
institusi pengajian tinggi tempatan iaitu anak sulungnya, Faezah, 20, di
Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang; Salahuddin, 19, pelajar jurusan
kejuruteraan elektrik di Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), Batu Pahat dan
Juliana, 18, pelajar kolej matrikulasi di Pulau Pinang.
Menurut Jaliah,
keluarga itu yang menyewa di situ sejak 12 tahun lalu memang rapat dengannya
dan dianggap saudara sendiri.
Hamzah
Md. Said, 52, dan isterinya Jim Alias, 55, yang berjiran dengan Kasmuri
memberitahu, keluarga lelaki itu menggunakan lilin sejak lima hari lalu selepas
bekalan elektrik di rumah tersebut dipotong.
Yang saya tahu
mereka memang menggunakan api lilin sebab bekalan elektrik dipotong. Kenapa
dipotong tidak pula saya tahu, katanya dalam nada sebak ketika ditemui di Ibu
Pejabat Polis Daerah Kluang di sini.
Hamzah
merupakan jiran rapat kepada Kasmuri dan keluarganya yang terkorban dalam
kebakaran rumah batu separuh papan itu.
Mayat Kasmuri
ditemui dalam sebuah bilik air manakala Hishammuddin dijumpai di bilik lain
yang terletak bersebelahan.
Mayat Sufiah pula
ditemui bersama-sama dua lagi anaknya, Izwanuddin dan Nurul Macella, di pintu
bahagian belakang rumah sewa tersebut. Turut musnah dalam kebakaran itu ialah
sebuah kereta Wira Aeroback milik mangsa yang diletakkan di lorong sebelah kiri
rumah tersebut.
Kebakaran itu
disedari oleh Hamzah dan isterinya
apabila mereka terdengar jeritan minta tolong daripada anak mangsa yang
terselamat.
Sewaktu kejadian,
Hamzah, isteri dan cucunya tidur di
ruang tamu yang terletak di bahagian hadapan rumahnya yang berkembar dengan
rumah Kasmuri yang terbakar.
Pegawai Operasi
Bomba Kluang, Zahari Hassan memberitahu, bomba menerima panggilan kecemasan
pada pukul 3.57 pagi dan tiba di tempat kejadian 48 minit kemudian.
Sementara itu,
isteri Hamzah, Jim menyifatkan dia
dan suaminya bagaikan diberi nyawa baru kerana terselamat dalam kejadian
tersebut gara-gara mereka memilih untuk tidur di ruang tamu dan tidak di dalam
bilik seperti kebiasaan.
Jim berkata,
seandainya mereka tidur di bilik tidur tersebut dia dan suaminya mungkin turut
terkorban bersama-sama keluarga Kasmuri dan Sufiah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan