KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20061009

Fatwa Main Mercun dan Meriam Buluh Ketika Ramadhan

Setiap kali kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat kedengaran pada malam hari tanggal 1 Ramadhan lagi dentuman meriam buluh dan mercun, sahut menyahut antara satu taman ke satu taman, antara satu kampung ke satu kampung, antara satu jalan ke satu jalan dan seterusnya. Malah dentuman meriam buluh dan mercun ini ada kalanya dihalakan atau dimainkan berhampiran dengan surau atau masjid ketika jemaah sedang bertarawih.

Dari manakah budaya bahawa sudah menjadi kewajipan meriam buluh dan mercun mesti dimainkan apabila masuk tanggal 1 Ramadhan hinggalah ke 30 Syawal ? Apakah tidak boleh bermain meriam buluh atau mercun ini diluar bulan Ramadhan dan Syawal ? Sudahlah ianya menyalahi undang-undang negara, membahayakan mereka yang bermain serta orang awam yang lalu lalang, ianya dianggap pula sebagai satu kemestian untuk memeriahkan bulan Ramadhan dan Syawal. Sedangkan bulan Ramadhan sepatutnya dimeriahkan dengan memperbanyakkan amal ibadah kita kepada Maha Pencipta, memperbanyakkan kebajikan membantu sesama manusia serta mengamalkan sikap berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran.

Jika sekiranya kerajaan negeri Selangor dan mungkin kerajaan negeri lain mengeluarkan pekeliling melarang mana-mana masjid atau surau mengadakan sesi tazkirah kerana dianggap mengganggu jemaah yang bertarawih. Maka sepatutnyalah Majlis Fatwa Kebangsaan serta Jabatan-Jabatan Agama negeri mengeluarkan fatwa atau pekeliling mengenai pendirian mereka dalam hal bermain meriam buluh dan mercun ini. Malah ianya bukan terhad kepada mereka yang bermain, termasuklah hukum bapa yang membeli mercun atau memberi duit kepada anak-anak mereka untuk bermain mercun, disamping hukum orang-orang Islam yang menjual mercun ini, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan ini yang sepatutnya menggalakkan umat Islam berjimat cermat dan tidak mengganggu orang ramai.

Untuk mengelakkan pertembungan antara budaya dan ibadah ini, mungkin ada baiknya pihak yang berkaitan dengan kebudayaan dan pelancongan contohnya supaya budaya bermain bunga api diadakan pada sambutan Hari Kemerdekaan contohnya yang tiada pertembungan antara budaya dan agama-agama lain.

Justeru itu tugas pengawalan bermain mercun dan meriam buluh ini bukan hanya dibebankan kepada pihak polis semata-mata, pihak berkuasa agama yang sepatutnya lebih ke hadapan dalam menangani masalah ini yang semakin menjadi-jadi saban tahun.

Jika tazkirah ketika tarawih boleh dilarang, kenapa tidak dikeluarkan larangan bermain mercun dan meriam buluh, serta pembaziran-pembaziran lain ketika Ramadhan seperti berbuka puasa di hotel-hotel mewah dan seterusnya.