KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080806

Peristiwa “Amuk” di Pejabat Daerah Rembau

Beralah Tidak Semestinya Kalah
Beralah Tidak Semestinya Salah

Akhir-akhir ini saya sering berurusan di Pejabat Tanah Rembau yang terletak di Kompleks Pejabat Daerah Rembau. Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh kakitangan serta pegawai di Pejabat Tanah. Mereka memberikan penerangan yang baik mengenai prosedur berurusan di Pejabat Tanah. Biasanya saya akan mengambil cuti setengah hari untuk berurusan di sini. Mengisi borang, proses tandatangan pegawai , beli setem hasil , matikan setem dan banyak lagi.

Baru-baru ini saya berurusan sekali lagi di Pejabat Tanah Rembau yang terletak di Kompleks Pejabat Dareah Rembau yang sudah agak usang. Walaupun nampak usang namun kakitangannya tetap memberikan perkhidmatan yang terbaik, tak ada marah-marah, boleh diajak berborak dan sebagainya. Usang kerana didapati ruang untuk orang ramai menunggu di kaunter pejabat tanah agak terhad dan sempit, ruang untuk menunggu bilik bicara pun agak sempit. Ruang untuk kakitangan meletakkan fail-fail pun nampak terhad. Usang sebab nampak pada asalnya sistem penghawa dingin di sini ialah sistem berpusat (centralised), tapi ada pula dipasang sistem penghawa dingin individu (split air cond), ada pula yang pasang kipas. Lampu pun nampak malap saja.

Mungkin sudah sampai masanya Kompleks Pejabat Daerah Rembau ini perlu dibuat yang baharu yang lebih selesa untuk pekerja dan orang ramai yang datang setiap hari di sini.

Berbalik pada cerita “amuk” tadi, sebenarnya bukan amuk yang sebenarnya amuk, tapi ada seorang “brader” tu berang dan dimaki hamunnyalah pekerja pejabat tanah. Kesian tengok pekerja pejabat tanah tu, dia hanya diam dan mengatakan proses bicara kes tanah keluarga “brader” tu terpaksa ditangguh kerana pagi tu pula ada kes lain di balai undang. Saya nak masuk campur tenang keadaan, saya pula yang kena maki nanti. Ya tak ya semua diam, biarkan “brader” tu lepas geram.

Emak saya ada masa tu, saya bisiklah kat mak saya “brader” tu tak patut marah pekerja bawahan, kerana masalahnya ialah ada kes lain yang besar yang terpaksa ditangguh. Kalau nak marah jumpalah “boss” yang berkuasa di situ , mungkin ADO atau DO. Cumanya saya dapati tiada ADO dan DO pada pagi tu kerana hampir semua mereka ada urusan luar pada sebelah pagi.

Berurusan dengan agensi kerajaan ni perlu banyak bersabar, kakitangan bawahan ikut arahan dan prosedur sedia ada. Kalau nak ikutkan saya pun boleh hilang sabar prosedur di pejabat tanah. Isi borang, tandatangan, beli setem hasil kat pekan Rembau, bayar proses, matikan setem di Pejabat Daerah, dah prosedurnya macam tu , ikut sajalah.

Asas “brader” tadi nak marah pun memang ada sebenarnya, kerana ahli keluarganya ambil cuti sehari untuk bicara kes pembahagian tanah. Cuma cara marah tu yang tak kena.

Justeru itu adalah diharapkan kepada Ketua Jabatan agar dapat mempastikan ada sekurang-kurangnya seorang pegawai setiap waktu pejabat agar mudah orang ramai untuk berurusan dalam kes-kes yang tertentu.

Kita sebagai orang ramai pula, faham-fahamlah setiap prosedur di jabatan kerajaan terlebih dahulu. Sekarang banyak laman web agensi kerajaan memberitahu prosedur berurusan dengan mereka. Terutama kita kat N.Sembilan ni, banyak tanah adat yang tak tukar-tukar nama, akhirnya tanah tak sampai seekar 20 orang tuntut. Dapatlah satu tapak letak kereta seorang, habis camne ? Nak bicara pun pening kepala. Selesaikan urusan tanah segera, agar semua pihak dapat manafaat, tanah tak terbiar, cukai tanah pun dapat dibayar.

Ahli-ahli politik dan orang-orang besar pun kena faham. Janganlah selalu sangat panggil Ketua Jabatan, Pengarah, DO , ADO dan pegawai untuk mesyuarat, kursus , majlis perasmian dan sebagainya, kerana mereka sebenarnya banyak urusan harian di pejabat yang perlu diselesaikan , terutamanya urusan dengan orang ramai, rakyat jelata dan para pengundi.

Pesan Nabi : Jangan marah , jangan marah

Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya ada seorang telah berkata kepada Nabi SAW : " Nasihatilah kepadaku ! " Dijawab oleh Nabi SAW : " Jangan marah! " Orang itu berulangkali meminta supaya dirinya dinasihati, maka tetap Rasulullah SAW mengatakan : " Jangan marah ! "

(Hadis empat puluh adalah koleksi hadis-hadis yang disusun oleh Imam Nawawi di dalam kitab karangannya yang bernama Matan Arba'in. Terdapat sebanyak empat puluh dua buah hadis sabda junjungan Nabi Muhammad SAW yang membicarakan mengenai akidah dan tauhid di dalam Islam. http://www.geocities.com/risanuri/agama/hadith_arbain_imam_nawawi.html )

Tiada ulasan: