KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080920

Kita pun hina Islam secara tak sengaja

Sedar tak sedar ada kalanya kita umat Islam ada yang menghina Islam secara tidak sengaja. Dan sedar atau tidak , perkara menghina Islam ini dilakukan di dalam masjid , di dalam surau , di dalam bilik sembahyang.

Bagaimana kita boleh menghina Islam secara tidak sengaja ?

Kaabah adalah merupakan rumah Allah. Salah satu lambang penyatuan umat Islam , lambang kemegahan umat Islam , lambang kebesaran umat Islam. Berjuta umat Islam setiap tahun menziarahi rumah Allah ini.

Malah imej Kaabah ini diabadikan di dalam pelbagai bentuk , sebagai cenderahati berbentuk replika hiasan , gambar dan tidak ketinggalan juga imej Kaabah pada sejadah.

Sekiranya kita menggunakan sejadah yang ada imej Kaabah ini , hendaklah kita berhati-hati. Adakalanya kita perhatikan disebabkan kealpaan kita ada kaki-kaki yang secara tidak sedar mereka memijak imej Kaabah ini apabila berjalan di dalam masjid , surau atau bilik sembahyang yang menggunakan sejadah ini.

Oleh itu sebaiknya apabila kita telah selesai menggunakan Kaabah yang mempunyai imej Kaabah , eloklah dilipat dan diletak ketepi.

Malah banyak lagi perkara lain yang kita umat Islam secara sedar dan tidak sedar samada menghina Islam atau tidak menghormati Islam , antaranya :

1. Berbual-bual apabila azan dilaungkan di masjid atau surau berhampiran dan tidak menjawab azan tersebut , apatah lagi jika kita sedang membeli belah di pasar malam yang terletak berhampiran dengan masjid.

2. Menggunakan baju , t-shirt yang mempromosikan arak atau judi.

3. Menghisap rokok di perkarangan masjid atau surau.

4. Berbual-bual ketika khatib sedang berkhutbah pada hari Jumaat , terutamanya anak-anak dan remaja.

Oleh itu semua pihak seharusnya mengambil langkah yang pro akif dan pendekatan yang mesra untuk memberi penerangan kepada umat Islam di Malaysia ini agar mereka menghormati ajaran Islam. Dan menghayati ajaran Islam itu akan memberi ketenangan pada diri kita , walaupun negara sedang dilanda kemelut ekonomi dan politik yang semakin hebat.

Rasanya tak perlu guna ISA kot kalau ada pihak yang sengaja atau tak sengaja menghina Islam kerana kita ini di era dunia tanpa sempadan. Siapa yang bijak berhujah dengan kebenaran dan kesabaran pasti akan diberikan kemenangan oleh Allah. Sepertimana di zaman Rasul saw , dikala bangsa Arab sedang asyik dengan sastera Arab yang tinggi , cukup dengan Allah menurunkan Al Quran untuk mematikan semua hujah-hujah ahli sasterawan , penyair , penyajak , pujangga Arab pada ketika itu yang menentang Islam.

Sempena bulan baik , hari baik. Udah udah le tu. Marilah kita pertingkatkan amalan kita dan banyakkan bermaaf-maafan serta menghitung setiap dosa yang kita lakukan selama ini.