KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080916

Pengurusan sampah N.Sembilan semakin teruk

Selasa 16 September 2008 , jam 5:45 petang, saya baru sampai ke rumah di Taman Alamanda, Senawang pulang dari kerja. Sebaik sahaja masuk taman, diperhatikan longgokan sampah di hadapan beberapa rumah yang dikumpulkan oleh pekerja kontraktor yang ditugaskan untuk memungut sampah.

Telah beberapa kali kedengaran kelemahan pengurusan sampah di Negeri Sembilan, bukan sahaja di Senawang, malah di beberapa taman lain sekitar Seremban, termasuk di Rembau. Sampah yang sepatutnya dikutip 3 kali seminggu, adakalanya dikutip seminggu sekali sahaja.

Selepas berbuka puasa tadi, kedengaran jiran saya sedang mengadu kepada pekerja yang mengutip sampah yang mengumpulkan semua sampah di jalan tersebut di hadapan rumahnya. Akibatnya apabila sampah dimasukkan ke dalam lori sampah, lori sampah memampatkan sampah di hadapan rumahnya. Keluarlah air-air sampah yang berlendir, lekit, pekat likat, berbau. Lebih menjijikkan lagi dan meloyakan selera yang baru lepas berbuka ialah ratusan ulat-ulat sampah yang menggeliat-menggeliat di atas jalanraya di hadapan rumahnya.

Hendak dimarahkan pekerja bawahan yang mengutip sampah , apakan daya. Kerana telah diketahui umum bahawa kerajaan Negeri Sembilan berhutang jutaan ringgit kepada kontraktor yang dilantik untuk mengutip sampah. Kalau dah hutang untuk mengutip sampah tidak dibayar, macamana kontraktor hendak menjalankan tugas dengan sempurna, mempastikan sampah dikutip setiap 3 kali seminggu untuk mengelakkan sampah berulat dan lori sampah tidak berlebih muatan yang menyebabkan air sampah akan meleleh keluar di sepanjang jalan terutamanya apabila mengambil selekoh.

Tapi haruskah kita sebagai pengguna yang membayar cukai pintu RM 252.60 setahun menanggung risiko kesihatan akibat pengurusan sampah yang bertambah teruk di Negeri Sembilan ini ? Apakah disebabkan beberapa orang yang tidak membayar cukai pintu, yang menjadi mangsa ialah mereka yang membayar cukai pintu ?

Masalah kebersihan dan kesihatan penduduk haruslah diberi keutamaan yang tertinggi dibandingkan dengan mencantikkan kawasan bandar Seremban dengan lampu-lampu yang berwarna warni, skrin televisyen besar, menukar bunga dan pasu bunga dari masa ke semasa.

Andaikata keperluan asas kebersihan dan kesihatan penduduk terutamanya sistem pengurusan sampah telah berjalan sempurna barulah dilaksanakan lain-lain projek untuk mencantikkan bandar Seremban ini. Apa gunanya bandar Seremban ini dihiasi dengan lampu yang berwarna warni dengan pelbagai bentuk seperti ketupat, bulan , bunga dan sebagainya , tetapi penduduk saban hari terjejas kesihatan mereka akibat pengurusan sampah yang saban hari semakin teruk.

Penduduk haruslah diberi penjelasan dimana silapnya sistem pengurusan sampah , adakah pihak berkuasa tempatan di negeri ini menanggung beban hutang yang banyak akibat ramai yang tidak membayar cukai pintu, atau keutamaan tidak diberikan terhadap sistem pengurusan sampah ?

Jika tidak penduduk di negeri akan semakin kecewa dan tidak mustahil semakin ramai akan keberatan untuk membayar cukai pintu.