Setiap apa yang ada di muka bumi ini ada pasangannya. Suami isteri, hitam putih, sejuk panas. Begitu juga dengan miskin ada kayanya. Ketika ini banyak pihak yang memberi cadangan dan menjalankan program membasmi kemiskinan, samada kemiskinan bandar, kemiskinan tegar, fakir miskin apa sahaja yang miskin. Hakikatnya kemiskinan hampir mustahil dibasmi. Tetapi kemiskinan tidak mustahil dibantu. Setiap seorang miskin yang kita bantu, akan muncul 10 orang lagi miskin.
Justeri itu apa yang harus kita semarakkan ialah program membantu mereka yang miskin dan memerlukan ini dalam apa jua bentuk bantuan baik bantuan program untuk berdikari menjadi usahawan, membantu dari segi kewangan, barangan bahkan memberi bantuan kata-kata semangat.
Pada Sabtu 13 September 2008 bersamaan dengan 13 Ramadhan 1429 H saya berkesempatan menyertai rombongan ADUN Paroi YB Tn Hj Mohamad Taufek Abd Ghani http://mohdtaufek.blogspot.com dan Sdr Zulkefly Mohamad Hj Omar http://zulkeflyomar.blogspot.com mengiringi sebuah persatuan sukarela PIFA untuk menghulurkan sumbangan kepada lebih kurang 30 keluarga yang memerlukan sekitar Senawang.
Walaupun Senawang ini tidaklah seperti kawasan pendalaman atau kampung, namun terdapat sebilangan besar keluarga yang memerlukan bantuan. Pelbagai masalah keluarga yang amat memerlukan bantuan yang kami ditemui dari ibu tunggal (cerai mati, cerai mati, gantung tak bertali) , anak yatim , mereka yang diberhentikan kerja , mempunyai tanggungan anak yang ramai dan masih bersekolah , menghidap pelbagai penyakit dan komplikasi serta seribu satu macam masalah lagi.
Mereka yang kami temui ini bukanlah dari golongan yang meminta-minta, tapi akibat beberapa masalah seperti diatas sudah pasti tersentuh hati semua yang melihatkan keadaan mereka.
Cubalah kita bayangkan sebuah keluarga yang mempunyai anak yang ramai lebih daripada 7 orang tinggal di rumah yang agak sempit, disempitkan lagi dengan ketua keluarga yang mempunyai masalah kesihatan , tiada pekerjaan tetap. Sudah semestinya jiran tetangga , pihak jawatankuasa taman atau surau , JKKK, Tok Ompek, Wakil Rakyat, Pegawai Kebajikan Masyarakat , Pegawai Baitul Mal seharusnya memainkan peranan.
Kebanyakan keluarga yang ditemui sesetengah mereka ada mendapat bantuan Baitul Mal , Jabatan Kebajikan Masyarakat namun ianya masih tidak mencukupi.
Oleh yang demikian semua pihak haruslah saling bantu membantu. Bayangkan keadaan anak-anak dari keluarga susah ini sekiranya terbiar tiada pembelaan. Kita takut lama kelamaan tanpa bimbingan dan sokongan semua pihak mereka-mereka ini akan memberi kemudaratan kepada masyarakat.
Seperkara lagi ialah kebiasaan atau “trend” masyarakat kita untuk memberi bantuan mereka yang memerlukan bantuan ini dengan mengadakan majlis besar-besaran. Walaupun niatnya baik untuk menghulurkan bantuan pada fakir miskin dalam satu majlis yang rasmi tetapi mereka yang menghulurkan bantuan tidak akan tersentuh hati melihatkan keadaan keluarga susah tersebut yang berpakaian kemas apabila datang ke majlis rasmi.
Orang-orang politik haruslah mendidik anak-anak politik mereka agar membiasakan diri masuk ke ceruk kampung, memanjat rumah-rumah pangsa, meredah rumah mesra rakyat serta setinggan serta melihat sendiri kesusahan rakyat Malaysia pada ketika ini.
Mungkin sebab orang-orang politik jarang turun padang bersalaman dengan orang yang susah di rumah usang mereka menyebabkan mereka asyik memikirkan tarikh 16 September 2008.