KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20080922

Menu termurah dan tersedap untuk berbuka

Bukan main hebat lagi rancangan di televisyen Malaysia sepanjang bulan Ramadhan ini dan lebih-lebih lagi menjelang Syawal. Dari rancangan hiburannya , tazkirahnya , hinggalah rancangan memasaknya.

Rancangan memasak untuk berbuka, bersahur, bermoreh. Tidak ketinggalan rancangan memasak untuk menyambut Idil Fitri. Tidak ketinggalan rancangan menghias rumah , menghias diri , fesyen pakaian dan sebagainya. Semua ini memberi banyak manafaat kepada penonton. Sehinggakan para ustazah dan ustaz terkenal juga dijemput untuk menjadi tetamu rancangan memasak.

Tetapi , bukankah ianya agak keterlaluan , sehingga kita kekadang lupa akan semangat sebenar Ramadhan kerana keasyikan menonton pelbagai juadah yang enak-enak ? Sehingga kita lupa saudara se Islam kita di Midanao , Filipina sedang menempuh Ramadhan ini dengan dihujani peluru dan bom ? Sehingga kita lupa masih ramai keluarga miskin di Malaysia ini makan makanan yang lebih teruk dari makanan “anjing” , kerana Teresa Kok kata makan nasi dengan dua biji telur rebus itu seumpana makanan “anjing” , sedangkan makan nasi dengan dua biji telur itulah makanan yang paling enak untuk keluarga susah di Malaysia.

Bukannya tidak boleh diadakan rancangan memasak , hiburan , fesyen sempena Ramadhan dan Syawal. Tapi biarlah ianya berpada-pada.

Sepatutnya di bulan Ramadhan ini diperbanyakkan lagi siaran seperti program Bersama Mu TV3 , kalau boleh setiap malam ada program Bersama Mu TV3.

Sepatutnya diadakan pula rancangan memasak di rumah-rumah keluarga miskin , keluarga setinggan , keluarga di rumah-rumah pangsa perumahan rakyat. Macamana hendak memasak untuk sepuluh orang keluarga dengan menu yang termurah tapi tersedap. Mungkin hari ini nasi putih dengan telur rebus dan pucuk gajus. Esok nasi putih dengan ikan masin dan pucuk paku. Lusanya mungkin nasi dengan garam saja.

Kemudian kita hidangkan penonton untuk memasak dengan menggunakan kayu api , sabut , tempurung kelapa dan sebagainya.

Barulah kita akan menikmati keindahan menyambut Ramadhan ini , sesuai dengan semangat Ramadhan untuk menghayati kesusahan kehidupan saudara kita di Malaysia , di Selatan Thailand , di Selatan Filipina , di Iraq , di Afghanistan , di Somalia dan di seluruh pelusuk alam.

Barulah kita lebih semangat untuk beribadah pada hari-hari terakhir Ramadhan , bukan setakat bersemangat untuk membuat persiapan Idil Fitri.

Menu yang paling murah ialah menu peti sejuk. Sebelum isteri kita masak untuk berbuka atau bersahur , kita buka dulu peti sejuk kita. Kita tengok ada tak lauk pauk, kuih muih semalam yang boleh dimakan. Kalau ada habiskan lauk pauk dan kuih lama terlebih dahulu sebelum memasak atau membeli lauk pauk atau kuih muih yang baru. Bukannya kedekut , tapi untuk mengelakkan pembaziran , serta mengajar ahli keluarga kita terutamanya anak-anak kita untuk berjimat cermat.