KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051021

Di Seremban kalau kebakaran jangan panggil bomba !

Di Seremban sekarang ini kalau berlaku kebakaran jangan panggil bomba. Kena panggil JBANS (Jabatan Bekalan Air N.Sembilan) terlebih dahulu. Jika tidak inilah yang berlaku, kerana pili bomba pun dicatu sekarang ini di Seremban. Bukan setakat pili bomba dicatu, lori bomba untuk bawa air pun dicatu. Sabar sajalah. Penduduk NS kena ingat no hotline JBANS 7653000, 7653001, 7653002

***************************************
Utusan Malaysia 20 Oktober 2005

Catu air: Bomba gagal selamatkan dua rumah

SEREMBAN 19 Okt. - Dua puluh lima anggota bomba dan penyelamat dari Balai Seremban, Seremban 2 dan Rahang, yang bergegas untuk memadamkan kebakaran, hanya mampu melihat dua buah rumah kayu di Kampung Ladang Senawang, Sungai Gadut di sini, musnah dijilat api, malam tadi.

Walaupun siap dengan segala kelengkapan, semua anggota bomba itu hampa dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana bekalan air dari pili bomba 30 meter dari tempat kejadian, tidak mengeluarkan air.

Ketiadaan air itu berpunca daripada catuan air yang dialami di situ.

Malah, tiga jentera bomba terbabit juga tidak membawa bekalan air disebabkan ketiadaan bekalan.

Tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.

Sebuah daripada rumah itu kosong, manakala empat penghuni tiada di sebuah lagi rumah itu.

Pasukan anggota bomba berkenaan tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit selepas kebakaran berlaku pukul 10.20 malam.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Razali Abdul berkata, pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa kerana pili bomba berkenaan tiada air.

``Kita tak boleh buat apa-apa kerana kawasan kebakaran sedang mengalami catuan air dan sungai berhampiran juga tidak mempunyai air,'' katanya di tempat kejadian.

Kata Razali, pihaknya bagaimanapun tidak berputus asa dan memaklumkan kepada Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) yang tiba kira-kira 25 minit kemudian.

Namun, keadaan itu sudah terlambat apabila rumah kayu itu hangus dijilat api.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Tenaga, Air dan Telekomunikasi negeri, Datuk Mohamad Rais Zainudin ketika dihubungi berkata, bomba tidak boleh menyalahkan JBANS kerana masalah ketiadaan air.

Pihak bomba, kata beliau, seharusnya sudah maklum mengenai zon-zon dicatu air dan membuat persediaan awal dengan membawa air dalam kenderaan mereka.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=1020&pub=utusan_malaysia&sec=dalam%5Fnegeri&pg=dn_06.htm&arc=hive

Tiada ulasan: