KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051016

Orang Melayu tidak minat kerja sukarela

Sabtu 4 Ramadhan 1426 H, pagi tersebut saya sempat meluangkan masa bersama sebuah persatuan kebajikan untuk memberikan kelas bimbingan kepada banduan-banduan di sebuah penjara yang akan menduduki peperiksaan STPM pada tahun 2006 akan datang.

Kami diberikan layanan yang baik daripada kakitangan penjara, dan kedatangan kami disambut dengan penuh ceria oleh para banduan. Alhamdulillah, sepanjang kami berada di dalam penjara, kami merasa begitu ghairah untuk memberikan sedikit bimbingan yang kami mampu, walaupun rakan-rakan saya bukanlah dari bidang pendidikan dan cuma ada masa hujung minggu yang terluang untuk melapangkan masa bersama banduan-banduan tersebut.

Kami diberitahu persatuan kebajikan kami adalah persatuan kebajikan Melayu/Islam yang pertama memberikan kelas bimbingan di penjara tersebut. Manakala persatuan kebajikan yang bukan Melayu dan bukan Islam telahpun mula memberikan bantuan kelas bimbingan kepada banduan tersebut. Bukan hanya satu persatuan kebajikan bukan Melayu yang memberikan kelas bimbingan tersebut malah terdapat dua pertubuhan kebajikan bukan Melayu yang memberikan khidmat tenaga pengajar sukarela.

Maka teman saya memberitahu, betullah apa yang diperkatakan dalam artikel akhbar oleh Johan Jaafar yang mengatakan orang Melayu kurang minat kerja-kerja sukarela.

Saya merasa sedih juga bahawa banduan-banduan yang perlukan bantuan yang terpenjara ialah berbangsa Melayu tetapi yang ramai memberikan khidmat sukarela ialah persatuan kebajikan daripada bukan Melayu. Ke mana pergi orang Melayu kita , sedangkan yang ramai masuk ke Penjara, Pusat Serenti, Pusat Pemulihan Akhlak ialah orang Melayu ?

Ke mana perginya ahli professional Melayu kita yang ada masa terluang ? Ke mana perginya orang Melayu yang sudah pencen tetapi masih sihat dan ada kepakaran ? Ke mana perginya siswazah-siswazah Melayu yang menganggur dan banyak masa terluang ? Tidak bolehkah kita memberikan khidmat secara sukarela untuk memberikan sedikit sumbangan kepada masyarakat Melayu kita yang sedang dilanda gejala sosial yang teruk sekarang ?

Orang Melayu hanya boleh melakukan kerja sukarela apabila ada ganjaran atau terpaksa seperti program khidmat masyarakat yang terdapat dalam modul latihan pelatih Program Latihan Khidmat Negara.

Malah kita sering menyalahkan gejala murtad di kalangan orang Melayu adalah disebabkan oleh pendakwah agama lain. Sedangkan orang Islam sendiri sebenarnya yang tidak ramai yang berminat untuk memberikan khidmat sukarela kepada para-para banduan dan para-para pelatih pusat serenti. Apakah gejala murtad di kalangan orang Melayu mungkin juga disebabkan sikap orang Melayu yang kurang berminat menjalankan kerja sukarela untuk membantu mereka yang mengharapkan, mereka yang kesusahan, mereka yang menunggu kematian. Sedangkan Islam senantiasa mengajar pengikutnya agar melakukan sesuatu itu hanya untuk mengharapkan balasan Allah swt.
Pernah saya menghadiri satu ceramah berkenaan mangsa HIV/AIDS dikalangan kanak-kanak yang tidak berdosa. Mereka ini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan dan rumah perlindungan ini dikendalikan oleh persatuan kebajikan Melayu, akan tetapi yang ramai memberikan khidmat sukarela menjaga dan mendidik kanak-kanak HIV ini ialah dari bangsa bukan Melayu. Hatta ada sukarelawan wanita Melayu yang bekerja di rumah perlindungan tersebut dihalang oleh suaminya kerana takutkan mereka akan dijangkiti penyakit AIDS akibat kedengkelan ilmu bagaimana sebenarnya penyakit tersebut tersebar.

1 ulasan:

hana berkata...

saya sudah bekerja dan berminat untuk menyertai program sukarela tetapi tidak tahu bagaimana caranya. sya berminat dalam program untuk kanak-kanak dan orang tua.