Hujung tahun 2004 Acheh telah dilanda bencana Tsunami, sekarang pula menjelang hujung tahun 2005 Pakistan, Kashmir dan Afghanistan pula dilanda gempa bumi yang hebat. Belum pulih lagi mangsa-mangsa bencana Tsunami dimana masih ramai lagi yang tinggal dibawah khemah, datang pula gempa bumi di Asia Selatan.
Apakah gempa bumi ujian Allah untuk umat Islam di Acheh, Pakistan, Kashmir dan Afghanistan, bukannya ujian untuk umat Islam di Malaysia ? Apalah sangat RM 1 yang kita dermakan dapat membantu meringankan beban mangsa gempa bumi yang berjumlah lebih 3 juta orang.
Fikiran yang terlintas seperti ini mengingatkan kita kepada kisah pada ketika Nabi Ibrahim as dibakar hidup-hidup dalam unggun api yang amat besar. Melihatkan peristiwa Nabi Ibrahim as dibakar hidup-hidup, datanglah seekor burung yang kecil, membawa setitik air dalam mulutnya lalu terbang tinggi diatas api yang sedang menjulang lalu mencurahkan air yang setitik tersebut untuk membantu menyelamatkan Nabi Ibrahim yang sedang dibakar.
Lalu ditanyakanlah kepada burung tadi kenapa ia melakukan perbuatan yang sia-sia, sudahlah airnya setitik, belum sempat pun setitik air tadi jatuh ianya sudah terpeluwap. Berkatalah burung tadi menjelaskan apa yang ia lakukan. Burung itu memberitahu ia berasa amat takut apabila dibangkitkan di akhirat nanti lalu akan ditanya ketika ia di dunia pada masa Nabi Ibrahim as sedang dibakar apa yang ia lakukan untuk membantu Nabi Ibrahim, maka bolehlah ia menjawab bahawa ketika Nabi Ibrahim dibakar ia mengambil setitis air dan menjatuhkannya keatas api.
Persoalan samada sumbangan RM 1 kita akan membantu 3 juta umat Islam di Pakistan bukanlah perkara pokok disini. Kerana kita juga harus bersedia dengan jawapan apabila dibangkitkan di akhirat nanti, ketika umat Islam di Pakistan sedang berbuka puasa dengan air hujan apa yang sedang kita lakukan di Malaysia ini lebih-lebih lagi dalam suasana Idil Fitri.
Malah Nabi Muhammad saw sering menyeru para sahabat agar sentiasa menderma mengikut kemampuan masing-masing termasuklah mereka yang miskin. Dimana sering kita dengar hadith Nabi Muhammad saw yang menyuruh menderma walaupun dengan setengah biji tamar (kurma). Menderma untuk orang berbuka puasa walaupun dengan sebelah tamar, menderma untuk mereka yang berjihad walaupun dengan sebelah tamar dan seterusnya.
Orang kaya menderma dengan cara orang kaya, orang miskin menderma dengan cara orang miskin. Orang miskin yang derma 50 sen jangan kita hina atau perlekehkan, orang kaya yang derma RM 500 jangan kita buruk sangka.
Tidak ada alasan sekarang ini untuk umat Islam di Malaysia ini untuk menderma kepada mangsa gempa bumi tersebut. Pelbagai kemudahan canggih terdapat sekarang ini, samada melalui mesin ATM, melalui perbankan internet, melalui tabung masjid dan paling mudah melalui SMS.
Sekiranya fikiran kita meragukan kita takut-takut derma ini diselewengkan, maka lapangkanlah diri kita untuk menjadi sukarelawan untuk pergi membantu mangsa gempa bumi dengan ini kita akan lebih yakin dimana bantuan tersebut disalurkan.
Pilihlah juga badan sukarela yang mana yang kita rasa selesa. Terdapat banyak badan-badan sukarela di Malaysia ini yang sedang menjalankan usaha membantu mangsa gempa bumi ini. Kita ada Mercy Malaysia, kita ada Persatuan Bulan Sabit Merah, kita ada Global Peace Mission ABIM, kita ada Aman Malaysia, kita ada Yayasan Amal Malaysia dan yang lainnya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai usaha-usaha sebegini kita boleh mendapatkannya dengan melayari laman-laman web berikut :
Mercy Malaysia www.mercy.org.my
Global Peace Mission www.keamanan.net
Yayasan Amal Malaysia www.amalmalaysia.net
Rozmal bin Malakan
Naib Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan N.Sembilan
Tal : 012-2267406
e-mel : rozmal@yahoo.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan