Tak ada selera membaca berita-berita di akhbar sekarang ini. Tidak banyak berita yang menggembirakan, banyak dipaparkan kes jenayah, perceraian rumahtangga artis, kes penipuan, hiburan sana, hiburan sini, remaja melepak, remaja hidu gam. Inilah yang dipaparkan di dada-dada akhbar saban hari.
Cerita yang memberi keinsafan kepada manusia hanyalah menjadi bahan sisipan akhbar, kerana berita sebegini tidak dapat menjadi pelaris akhbar.
Akhbar perdana Malaysia harus berubah. Memaparkan kes jenayah, kes perceraian , kisah artis , mungkin dapat melariskan akhbar , tetapi ianya tidak dapat membina masyarakat.
Masyarakat hanya baca sekadar seronok, tapi lebih suka tunggu dan lihat dan berpeluk tubuh.
Masyarakat harus turun padang sekarang ini. Gerakkan jiran tetangga. Bagi umat Islam yang paling utama ialah solat. Penuhkan masjid dan surau dengan solat jemaah. Isteri-isteri harus “menghalau” suami-suami untuk solat di surau dan masjid.
Andaikata setiap surau dan masjid di negara ini penuh dengan jemaah bersolat, setiap isi rumah umat Islam bersolat, maka akan banyaklah kegawatan lain dapat diselesaikan dengan izin Allah.
Gawat ekonomi bolehlah dibantu dengan memberikan sumbangan wang ringgit, beras, keperluan makanan, biasiswa dan sebagainya.
Tapi gawat iman akan menyebabkan institusi keluarga dan masyarakat hancur.
Dalam tempoh sebulan di dada akhbar menceritakan tidak kurang 3 kes pembuangan bayi di atas jalan raya, pembuangan janin di tanah perkuburan dan pembuangan bayi di tapak pembuangan sampah berlaku di Senawang. Saya pasti perkara ini berlaku di mana-mana di Malaysia ini. Dan yang tidak dilaporkan lebih banyak lagi.
Cukuplah akhbar perdana menyiarkan berita-berita sebegini. Tidak akan ada kesudahannya kalau kita sekadar membaca. Kita harus bertindak.
Mulakan dengan yang paling mudah , iaitu solat.
Anak-anak menjelang senja, ayah-ayah dan ibu-ibu prihatinlah sikit. Panggillah anak-anak masing-masing pulang solat Maghrib berjemaah.
Cukup-cukuplah tu mencari rezeki, cukup-cukuplah tu bersembang, cukup-cukuplah tu berPoco-Poco. Sampai waktu solat ajak semua bersama.
Jika tidak sampai bila-bila kes jenayah, pembuangan bayi , perceraian rumah tangga, rasuah, salah guna kuasa, politik wang, fitnah tidak akan selesai.
Ingat-ingatlah sikit mati. Entah esok atau lusa. Apa persiapan kita ? Akhir-akhir ini juga cuaca tidak menentu, gempa bumi pun ada, dulu tak pernah ada. Angin putting beliung pun ada. Tak cukupkah itu tanda untuk semua kita insaf ?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan