Pada Khamis 23 April 2009 saya telah sempat menyertai operasi mencegah ponteng sekolah yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah dengan kerjasama PDRM, MPS , Sekolah dan PIBG. Saya telah mewakili PIBG. Operasi tersebut melibatkan beberapa sekolah menengah sekitar Ampangan , Seremban.
Kumpulan saya telah ditugaskan untuk melakukan operasi ke atas beberapa pusat siber (Cybercafe). Terdapat tidak kurang 5 pusat siber yang menjadi tumpuan pelajar sekolah.
Pihak MPS baru-baru ini telah memperkenalkan atau menambah syarat baru untuk operasi pusat siber di mana ianya menyebut : “Tidak membenarkan murid-murid sekolah samada berpakaian seragam atau tidak , memasuki pusat siber pada waktu persekolahan”.
Sebelum ini syarat tersebut ialah tidak membenarkan pelajar berpakaian seragam sekolah masuk ke pusat siber, sekarang ini ianya ditambah samada berpakaian seragam atau tidak , pada waktu persekolahan.
Langkah ini adalah salah satu langkah untuk mengelakkan pelajar ponteng melepak di pusat siber. Pelajar yang ponteng akan tetap ponteng juga , mereka akan cari tempat lain.
Langkah ini adalah untuk membersihkan imej pusat siber sebagai tempat pelajar ponteng sekolah.
Justeru itu kita mintalah kepada ibu bapa dan guru-guru menasihati anak-anak kita dan anak-anak murid kita supaya tidak pergi ke pusat siber pada waktu persekolahan walaupun tidak berpakaian seragam sekolah. Jika tidak sia-sia sahaja pengusaha siber tersebut akan di saman dan boleh di kompaun maksima RM 1500 atau mungkin lesen mereka ditarik.
Terdapat beberapa pendekatan lain yang perlu dipertimbangkan oleh pengusaha pusat siber ini agar ianya menjadi pusat siber yang sihat. Antaranya ialah kedudukan skrin komputer hendaklah boleh dilihat dari pintu utama tidak terselindung kerana ini akan menggalakkan pengunjung melayari laman web lucah. Pusat siber juga sepatutnya tidak boleh menggunakan cermin gelap.
Ibu bapa harus memainkan peranan penting untuk membendung gejala ponteng sekolah , jangan serah semuanya pada guru, polis atau PBT. Sekali sekala ibu bapa kena buat “spot check”. Ibu bapa juga jangan sekali-kali membenarkan anak-anak yang tiada lesen membawa motosikal atau kereta.
Bayangkan sekarang ini ibu bapa senang-senang benarkan anak mereka yang sekolah rendah menunggang motosikal. Anak-anak ini panjang akal mereka, tambahan berkawan dengan rakan yang lagi panjang akal. Dengan bawa motosikallah mereka belajar menipu, belajar hisap rokok, belajar ponteng sekolah dan sebagainya.
Anak saya sekolah rendah bawa juga motosikal, tapi bila balik kampong bawa motosikal kapcai atuknya dalam kawasan rumah atok yang berpagar.
Kepada ketua-ketua jabatan, Menteri Pelajaran, Pengarah Pelajaran, Ketua Polis, YDP MPS cuba turun sekali sekala buat operasi ponteng sekolah ini, baru mereka tahu adakah operasi ini berkesan atau tidak, baru mereka tahu apa kelemahan Akta dan Undang-undang sedia ada. Jangan duk bahas dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri sahaja.
Kita ni ahli PIBG bila buat operasi begini terpaksa mohon cuti tahunan dari majikan, bukan senang-senang boleh ponteng kerja. Cuti tahunan pula untuk sektor swasta tak sampai sebulan.
Sedikit kelemahan pada syarat tambahan MPS tadi ialah tidak dinyatakan waktu persekolahan dari pukul berapa ke pukul berapa. Dari hari apa ke hari apa. Bagaimana mereka yang sekolah sessi petang dan sebagainya.
Bayangkanlah ibu bapa semua , kita dua orang suami isteri nak jaga anak 5 orang macam saya ni pening kepala, ini kan pula guru nak jaga 1000 orang pelajar. Bertolak ansur sikitlah ibu bapa dan guru-guru ni, janganlah nak tunjuk siapa pandai. Demi anak-anak dan anak-anak murid kita marilah kita turun padang bersama untuk menyelesaikan pelbagai masalah sekarang ini lepak, ponteng sekolah, rokok, dadah, seks bebas dan sebagainya.
Kepada orang politik yang tak tahu politik, teruskanlah merebut jawatan, teruskanlah merebut jawatan Menteri Besar, Setiausaha Badan Perhubungan dan sebagainya.
Politik , politik juga tapi janganlah sampai nak jemaah masjid tak sempat, nak tengok masalah rakyat rumah terbengkalai tak sempat, nak tengok rakyat masalah pembentungan tak siap-siap tak sempat, masalah banjir tak sempat.
1 ulasan:
satu usaha yang bagus.. teruskan usaha anda..
tapi tu la deh jang.. bebudak ni kalau nak memonteng.. monteng jugak diorang ni pun..
tapi nak salah'an bebudak ni pun tak patut jugak.. memang dah jonih maleh nak poie skolah.. apo pulak nak pakso2..?
hantar'an poie kem askar lagi elok.. biar deh jadi orang
Catat Ulasan