KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20090606

Sekitar Muktamar PAS Pusat 2009 , pemerhatian saya

Saya selaku perwakilan dari Kawasan Rembau telah berkesempatan menghadiri Muktamar PAS Pusat di Stadium Melawati , Shah Alam semalam 5 Jun 2009 dan hari ini 6 Jun 2009. Dan insyaAllah akan bersambung esok. Dari Rembau perwakilan lain ialah Yang Dipertua YB Hj Mohamad Taufek , Naib YDP Sdr Hassan Tamby, SU Kawasan Tn Hj Shukri dan Ustaz Mohd Nazri Yusof selaku Ketua Urusan Ulamak.

Apa yang menarik pada tahun ini ialah pemilihan pimpinan pusat. Sebelum ini saya tidak memberi komen mengenai pemilihan kerana saya lebih suka tunggu dan lihat , dan perhatikan gelagat media dan para blogger yang pro dan tidak pro pada sesetengah mereka yang dicalonkan.

Pada saya senang saja , tak kisah lah siapa yang menang, asalkan yang menang tu orang PAS. Walaupun saya ada pilihan saya sendiri , tapi saya tetap menyokong siapa yang terpilih. Yang penting matlamat perjuangan kita.

Walaubagaimana pun saya berpendapat dan saya amat menyokong penuh pandangan yang dikeluarkan oleh seorang perwakilan yang membahaskan ucapan dasar Presiden agar diberi panduan berkempen untuk calon atau agen calon , untuk mengelakkan kempen di belakang yang tidak sihat.

Bukan itu sahaja, pada saya calon perlu diperkenalkan dengan lebih dekat kepada para perwakilan agar para perwakilan kenal siapa pimpinan pusat yang mereka pilih. Dan pengenalan calon inilah yang perlu diadakan garispanduan agar setiap calon diberi peluang yang sama rata untuk memperkenalkan diri mereka, untuk mengetengahkan keupayaan dan kebolehan mereka.

Juga garis panduan kempen ini semestinya tidak mengetengahkan kelemahan dan keaiban calon-calon.

Bak kata salah seorang perwakilan , jawatan kepimpinan ini bukan satu yang diminta atau ditawarkan tetapi ianya adalah tanggungjawab, tanggung di dunia dan jawab di akhirat.
Kepada rakan-rakan blogger saya yang menyokong seseorang calon itu , janganlah kecewa. Yang bertanding berpeluk-peluk atas pentas, takkan kita para para blogger yang mempunyai citarasa tersendiri tak boleh berpeluk-peluk di belakang pentas ?

Untuk jawatan Pesuruhjaya Negeri-Negeri pula janganlah pula ada pihak yang melobi seseorang itu atau menjatuhkan seseorang itu. Bantulah semua calon-calon yang ada potensi tak kiralah siapa yang dilantik.

Salam perjuangan,

Rozmal bin Malakan , Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Rembau

Nota kaki : Saya telah ditemuramah oleh media dalam negeri dan antarabangsa. Tetapi kenyataan saya itu tak keluar. Agaknya kenyataan saya itu tidak boleh digunakan untuk memecahbelahkan sesama ahli ?

Tiada ulasan: