KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20110712

Hormatilah Ibu Bapa



Ya Allah, berilah aku kekuatan, badan serta akal fikiran yang sihat, agar aku dapat menjadi anak yang soleh, berbakti kepada ibu ku yang masih hidup, menjadi anak soleh sebagai bekalan untuk ayah ku yang telah pergi. Jadilah aku , keluarga serta zuriat keturunan ku orang-orang yang soleh dan solehah, berani menegakkan kebenaran dan mencegah kebatilan, menurut segala perintah Mu ya Allah, meninggalkan segala larangan Mu ya Allah.

Amin , ya Rabbalalamin.

Terima kasih kepada semua sanak saudara, jiran tetangga, rakan seperjuangan dan sesiapa jua yang telah membantu dan bersimpati. Semoga Allah membalasnya dengan kebaikan.

HORMATILAH IBU BAPA

Hadis berikut jelas menunjukkan betapa tingginya kedudukan yang diberikan Islam kepada ibu bapa.

Amal perbuatan yang amat disukai Allah swt ialah solat (yang tepat) pada waktunya, berbakti kepada orang tua dan berjihad pada jalan Allah.
(Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Muslim)

Pada suatu hari sedang Nabi Muhammad berada dalam satu majlis bersama-sama sahabatnya, tiba-tiba datang seorang lelaki dari golongan Bani Salamah. Setelah duduk dan meminta maaf, beliau dengan hormatnya memulakan pertanyaan:

Ya Rasulullah! Apakah aku masih dapat berbuat baik terhadap kedua ibu bapaku yang telah meninggal? Sewaktu hayat keduanya, aku telah berbuat baik kepadanya sedaya upaya yang mungkin. Aku rasa aku telah melakukan perbuatan yang sepatutnya kepada keduanya. Ini pun sudah menjadi kebaikan bagi mereka. Semoga selalulah Allah kurniakan rahmat ke atas keduanya.

Sahabat-sahabat yang hadir terdiam mendengar pertanyaan lelaki itu dan mereka ingin mengetahui bagaimana caranya berbuat baik dan menghormati ibu bapa yang sudah meninggal.

Lantas Nabi menjawab: Ya! Kamu dapat berbuat baik terhadap kedua-duanya iaitu dengan mengerjakan solat (sembahayang) terhadap keduanya di samping meminta ampun kepada Tuhan; melaksanakan wasiat sesudah mereka meninggal dan selalu bersilaturrahim dengan orang-orang yang dilakukannya dahulu dan memuliakan teman-teman keduanya.

Lelaki yang bertanya itu berterima kasih di atas penjelasan Nabi dan kembali ke rumahnya dengan gembira dan akan terus menghormati serta berbuat baik terhadap orang tuanya yang telah berpulang ke rahmatullah.

Dari kisah di atas, dapatlah dikatakan ibu bapa wajib dihormati, ditaati dan berbuat baik sejak mereka masih hidup hinggalah mereka bersemadi dikuburan.

Gambaran kisah itu menjadi lebih jelas lagi apabila kita meneliti sepotong hadis diriwayatkan Imam Muslim bermaksud:
Apabila mati seseorang manusia maka putuslah amalnya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanafaat yang ditinggalkannya dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.

Justeru, marilah kita terus berbuat baik terhadap ibu bapa kita (sekiranya ia telah meninggal dunia) dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran dan mendoakannya kerana semuanya itu akan sampai kepada arwah sesuai dengan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Daruquthni yang bermaksud:
Barang siapa masuk perkuburan lalu membaca 11 kali Surah al-Ikhlas kemudian menghadiahkan pahalanya itu untuk orang mati, maka ia akan diberi pahala sebanyak orang yang mati itu.

Di antara doa yang boleh kita gunakan untuk mendoakan ibu bapa kita ialah:

Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan ibu bapaku dan rahmatilah serta sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi dan mengasihi aku di masa kecil. (Surah Al Israk: Ayat 25)

Ya Tuhan kami! Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat). (Surah Ibrahim: Ayat 41)

Barangsiapa membuat sukahati ibu bapanya maka sesungguhnya ia telah menyukakan Allah. Dan barang siapa yang membuatkan ibu bapanya marah maka sesungguhnya ia telah membuat Allah murka.* (Hadis Riwayat: Imam Bukhari)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda bermaksud: Keredaan Allah bergantung kepada keredaan bapa dan kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan bapa.* (Hadis Riwayat: Imam Termizi)

Dari itu hormatilah ibu bapa sepanjang hayat di kandung badan. Lakukanlah perbuatan yang menyenangkan hati mereka semasa mereka masih hidup dan berdoalah kepada mereka setelah mereka meninggal dunia.

Moga-moga dengan berbuat demikian hidup kita akan diberkati dan dirahmati Allah dan kita menjadi manusia yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Insya Allah.

http://www.al-azim.com/~beringin/agama/hormati.htm

Keredhaan Kedua Ibu Bapa

Sabda Rasulullah S.A.W yang maksudnya : “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”
(Riwayat al-Hakim)

Pengajaran hadis:

i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

http://www.fariszaz.com/2010/12/mentaati-kedua-ibu-bapa.html

1 ulasan:

jamil berkata...

Assalamualaikum!!! pak long baca dan copy beberapa statemen kat sini.. terima kasih semoga Allah merahmati anda..