‘Biar kami hidup merempat’
28 September 2015
TAMPIN - Tidur atas lantai beranda surau tanpa sebarang
alas, itulah yang dilalui setiap hari oleh sepasang suami-isteri di pekan
Tampin, di sini.
Seawal jam 5 pagi pula, mereka akan berlegar-legar di Taman
Rekreasi Tampin sehingga lewat malam.
Tiada pendapatan tetap, sebaliknya bergantung pada bantuan
bulanan RM140 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjadi punca mereka
terpaksa menumpang tidur di surau.
Menurut si isteri yang mahu dikenali sebagai Nurul, 47,
mereka terpaksa melalui rutin seperti itu kira-kira dua minggu lalu.
Malah, katanya, dia hampir mengalami tekanan perasaan kerana
tiada kediaman tetap.
“Kami terpaksa tidur di beranda surau. Itu pun waktu tengah
malam, bila orang dah tak ada. Bangun pula jam 5 pagi sebab tak mahu ada orang
marah kami.
“Apa lagi yang kami boleh buat, kami tak ada tempat tinggal.
Keluarga pun dah tak mahu kami tinggal bersama mereka,” katanya ketika ditemui
di pekan Tampin, semalam.
Nurul berkata, mereka membawa bersama beberapa helai
pakaian, dokumen penting dan beg yang dijadikan bantal ketika tidur, sementara
menumpang tandas awam untuk mandi sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, sebelum suaminya yang berusia 56 tahun diserang
strok setengah badan, suaminya pernah berniaga kecil-kecilan menjual capal sebagai
sumber pendapatan.
“Kami sudah tiga tahun berkahwin dan saya tak sanggup
tinggalkan suami macam ini. Bahagian badan kanan suami saya juga sering kejang.
“Saya bimbang nasib kami terutama suami, sebab kami tak ada
rumah. Pernah juga saya tanya JKM sama ada kami boleh dapat tempat tinggal,
tapi mereka suruh kami duduk di rumah kebajikan berlainan.
“Tapi saya tak mahu berpisah dengan suami. Jadi, saya fikir biarlah kami merempat
seperti ini daripada berpisah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan