Selaras dengan seruan Timbalan Perdana Menteri supaya rakyat ubah gaya hidup bagi menampung kesan kenaikan minyak , berikut diberikan beberapa panduan kepada pelbagai lapisan golongan masyarakat daripada golongan rakyat ke pemimpin rakyat, daripada golongan miskin ke golongan kaya untuk mereka ubah gaya hidup mereka.
Jika sebelum ini kita kerap makan luar, amalkanlah makan dirumah. Jikalau tiada masa untuk memasak, pastikan mempunyai stok mi segera yang banyak. Tapi kalau orang yang memang tidak pernah makan luar yang duit belanja dapur hanya cukup untuk makan dirumah , macam mana mereka hendak ubah gaya hidup mereka ?
Jika sebelum ini kita menghantar anak ke sekolah dengan kereta kita, hanya anak kita seorang, maka sekarang kita berpakatlah dengan jiran-jiran untuk bergilir-gilir menghantar anak-anak ke sekolah. Tapi kalau sekarang pun sudah ramai anak jiran yang menumpang kereta kita, macamana kita hendak ubah gaya hidup ?
Jika sebelum ini kita menaiki kereta ke tempat kerja, maka usahakanlah untuk menaiki motosikal. Tapi kalau kita memang dari dulu naik motosikal bagaimana kita hendak ubah gaya hidup ?
Jika sebelum ini kita kerap melancung ke luar negara, maka mulai sekarang melancunglah di dalam negara. Tapi kalau kita memang tidak pernah pergi melancung mana-mana hanya balik beraya di kampung, bagaimana kita hendak ubah gaya hidup.
Jika sebelum ini anak kita bawa wang saku sebanyak RM 1 – RM 5 ke sekolah untuk membeli makanan, maka mulai sekarang buatkanlah bekal untuk anak-anak kita. Tapi kalau anak-anak kita dari dulu lagi kita sudah bekalkan makanan mereka ke sekolah kerana tidak mampu beri wang saku , bagaimana kita hendak ubah gaya hidup ?
Jika sebelum ini kita kerap menonton wayang, berhibur, maka mulai sekarang duduklah sahaja berhibur dirumah, menonton televisyen, bermain dengan anak-anak. Tapi kalau memang dari dulu kita berhibur dengan menonton televisyen di rumah dan bermain dengan anak-anak, bagaimana kita hendak ubah gaya hidup ?
Jika sebelum ini kita kerap membeli pakaian baru hampir setiap bulan, maka mulai sekarang belilah pakaian baru setahun sekali masa Hari Raya sahaja. Tapi kalau kita sekarang pun membeli pakaian baru apabila pakaian lama sudah koyak atau lusuh bagaimana kita hendak ubah gaya hidup ?
Jika sebelum ini kita merokok sekotak dua kotak sehari , maka mulai sekarang hisaplah sekotak atau dua kotak seminggu atau berhenti terus. Tapi kalau kita dari dulu pun tidak hisap rokok bagaimana kita hendak ubah gaya hidup.
Banyak lagi contoh yang boleh dibawa di sini, cuma tak mampu hendak menulisnya.
Kesimpulannya, orang yang hidup mewah, orang yang berada, buat apa mereka nak susah-susah untuk ubah gaya hidup mereka kerana mereka masih mampu untuk berbelanja walaupun minyak naik lebih 30 sen seliter.
Orang yang sederhana hidupnya dan berjimat cermat mungkin masih dapat bertahan.
Orang yang susah yang tidak boleh lagi ubah gaya hidup mereka hanya mampu menadah tangan dan berdoa atau menadah tangan untuk mengemis. Takutilah doa-doa golongan yang sebegini