KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060304

Pemuda N.Sembilan pertahan maruah Nabi saw

Seremban 3 Feb – Pemuda-pemuda Negeri Sembilan hari ini menyatakan kesanggupan mereka untuk berkorban mempertahankan maruah Nabi saw. Demonstrasi aman yang diadakan diperkarangan Masjid Jamek Ampangan hari ini menarik perhatian ribuan jemaah yang hadir. Pemuda-pemuda yang menaikkan sepanduk mempertahankan Nabi saw dan memboikot barangan Denmark dengan penuh semangat mendengar ucapan beberapa pimpinan setempat.

Antara yang berucap dalam demonstrasi tersebut ialah Sdr Zulkefly Mohamad Omar dan Tuan Hj Abd Taufek Abd Ghani. Dalam ucapan oleh Sdr Zulkefly, beliau menekankan adalah menjadi kewajipan seluruh umat Islam di dunia termasuk di Malaysia untuk mempertahankan maruah Nabi saw serta maruah Islam daripada terus dihina. Justeru itu beliau menyarankan agar umat Islam di negara ini memboikot barangan daripada negara Denmark. Ini adalah kerana menurut beliau usaha memboikot ini dilakukan oleh negara maju sendiri iaitu Amerika Syarikat yang memboikot kerajaan Palestin sekarang ini apabila Hamas memenangi pilihanraya di sana.

Tambahan beliau lagi barisan pemuda-pemuda Islam Negeri Sembilan sentiasa bersedia untuk mempertahankan maruah Nabi saw dan maruah Islam daripada terus dicemari. Hadirin yang hadir dengan penuh semangat telah melaungkan takbir dan salawat mendengar pendirian pemuda-pemuda Islam Negeri Sembilan.

Demonstrasi yang diadakan di Masjid Jamek Ampangan berjalan dalam suasana yang begitu lancar dengan kerjasama daripada pihak keselamatan yang turut sama membuat liputan penuh demonstrasi berkenaan.