

Antara khidmat kesihatan yang diberikan pada hari tersebut ialah pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan indeks berat badan dan juga pemeriksaan kandungan gula dalam darah. Disamping itu satu ceramah kesihatan mengenai kanser payu dara di kalangan wanita turut diadakan dalam program tersebut. Turut diadakan ialah pameran serta gerai jualan daripada pelbagai pihak yang terlibat menganjurkan program tersebut.

En Sufian juga menyarankan agar setiap komuniti surau serta masjid di Malaysia ini sentiasa mengadakan program-program yang memberi manafaat kepada penduduk setempat dari semua peringkat usia dan golongan bangsa. Dengan ini masjid dan surau bukan hanya dapat memainkan peranan sebagai tempat menyatu padukan hati umat Islam malah ianya dapat menjadi medan dailog kefahaman antara kaum dan agama.
Dalam ucapan penghargaan En Sufian kepada semua yang terlibat dalam program tersebut beliau menyarankan agar golongan remaja terutama pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi agar sentiasa terlibat dalam program khidmat masyarakat, dengan ini secara tidak langsung akan dapat melahirkan masyarakat yang prihatin serta penyayang.
Program khidmat kesihatan percuma yang dianjurkan oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan pada kali ini adalah merupakan kerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Jawatankuasa Surau dan Taman Alamanda, Biro Helwa Taman Alamanda, Biro Rakan Muda Taman Alamanda, Nisa Kawasan Rembau, doktor-doktor perubatan swasta serta para-para pelajar bidang perubatan dari Institusi Pengajian Awam dan Swasta.
