Pada hari Ahad 5 Mac yang lalu hampir kesemua wakil rakyat dan wakil parlimen telah menghadiri sessi khas oleh Perdana Menteri untuk menerangkan isu kenaikan harga minyak agar wakil rakyat serta wakil parlimen ini dapat memberi penjelasan sebenar supaya rakyat faham rasional kenaikan harga minyak.
Saya menyeru kepada semua warga Negeri Sembilan agar menghadiri majlis penerangan tersebut. Saya rasa semua rakyat akan mudah memahami rasional kenaikan harga minyak tersebut sekiranya wakil rakyat yang memberikan penerangan tersebut terlebih dahulu menunjukkan contoh mereka telah merubah gaya hidup mereka akibat kenaikan harga minyak.
Tanyalah soalan-soalan seperti berikut dalam sessi penerangan tersebut :
1. Wakil rakyat N.Sembilan mana yang telah mula menggunakan basikal pergi kerja, seperti yang disarankan MB Perlis . Kalau tak pergi kerja , setidaknya mereka naik basikal ke masjid atau surau di kediaman mereka, atau naik basikal di kedai berhampiran kediaman mereka ?
2. Wakil rakyat N.Sembilan mana yang telah mula berkongsi kereta ? Kalau tak berkongsi kereta dengan wakil rakyat lain, mereka berkongsi kereta dengan jiran mereka, orang kampung mereka, mungkin tidak setiap hari , mungkin selang sehari ?
3. Wakil rakyat N.Sembilan mana yang telah mula menggunakan kereta Kancil dalam tugas seharian mereka seperti yang disarankan TPM ?
4. Wakil rakyat mana yang telah tidak lagi makan diluar, sebaliknya makan dirumah, dengan masakan yang dimasak oleh isteri tersayang, bukannya orang gaji , dengan ini kos yang dijimatkan dapat membantu saudara mara di kampung atau orang kampung yang kesusahan.
5. Wakil rakyat mana yang telah mengarahkan agar PBT ditempat mereka tidak lagi memasang lampu-lampu perhiasan dan warna warni untuk mencantikkan bandar hanya memasang lampu jalan untuk keselamatan.
6. Wakil rakyat mana yang telah pergi ke pasar-pasar terutama pasar Rembau yang harganya begitu mahal, dan bandingkan harga sebelum kenaikan harga minyak.
7. Wakil rakyat mana yang telah ada ditangan mereka data serta maklumat penduduk miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim , anak-anak tidak bersekolah yang terkini di kawasan mereka bukannya data daripada Majlis Agama Islam N.Sembilan dan data Jabatan Kebajikan Masyarakat yang telah lapuk yang tidak kemaskinikan dari masa ke semasa.
Tanyalah soalan-soalan mudah sebegini. Tak perlu tanya soalan kemana perginya keuntungan Petronas. Jangan tanya berapa harga minyak di Ethopia. Jangan tanya berapa harga roti canai di Arab Saudi. Tak perlu tanya berapa harga teh tarik di England.
Sekiranya mereka boleh menunjukkan kepimpinan melalui tauladan, maka tidak perlulah wakil rakyat tadi memberi penjelasan yang terperinci mengenai krisis minyak sedunia. Malah rakyat akan faham walaupun minyak naik 60 sen , sekiranya mereka yang bercakap terlebih dahulu menunjukkan contohnya.
Rozmal bin Malakan
Kg Bongek, Rembau , NS
rozmal@yahoo.com
waghih.blogspot.com