KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060306

Program Setem Makanan Untuk Bantu Golongan Memerlukan

Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen sudah pasti akan membebankan bukan sahaja mereka yang berpendapatan rendah malah mereka yang berpendapatan sederhana tetapi mempunyai tanggungan yang ramai.

Ketika saya menuntut di Amerika Syarikat pada tahun 80a, saya mendapati bahawa penduduk di sana dibantu dengan Program Setem Makanan (Food Stamp Program). Program ini bukan hanya terhad kepada rakyat warga Amerika Syarikat sahaja malah warga asing yang masuk secara sah adalah layak untuk dipertimbangkan menerima Setem Makanan tersebut.. Malah beberapa sahabat saya dari Malaysia yang masih menuntut ketika itu tetapi telah berkahwin serta mempunyai anak telah melayakkan mereka mendapat bantuan melalui program ini.

Melalui Program Setem Makanan ini setiap keluarga akan diberikan Setem dalam bentuk Kupon pada kadar tertentu pada setiap bulan. Dimana dengan setem ini mereka boleh pergi ke kedai-kedai serta pasaraya untuk menukarkannya dengan barangan berbentuk makanan dan minuman, terutamanya makanan asas, seperti roti, susu, tepung, gula dan sebagainya.

Dalam laman web kerajaan Amerika Syarikat yang menerangkan mengenai program ini di http://www.fns.usda.gov , dinyatakan secara terperinci siapakah yang layak untuk memohon untuk mendapatkan bantuan ini dan berapakah kadar bantuan bulanan yang sepatutnya mereka perolehi. Ianya berbeda-beda mengikut bilangan tanggungan dalam keluarga tersebut. Tanggunan antara satu ke lapan orang layak mendapat bantuan Setem Makanan bulanan sebanyak USD 152 ke USD 192 ( RM 560 ke RM 710 ) . Manakala mereka yang berpendapatan antara USD 1,037 ke USD 3,509 sebulan ( RM 3,800 ke RM 12,900 ) pula layak untuk memohon menyertai prorgam ini bergantung kepada bilangan tanggungan dalam keluarga tersebut.

Justeru itu adalah disarankan agar duit yang kerajaan dapat jimatkan sebanyak RM 4.4 Billion dengan pengurangan subsidi ke atas bahan bakar tidak digunakan sepenuhnya untuk pembangunan fizikal, malah haruslah diutamakan juga pembangunan fizikal rakyat sendiri yang berdepan dengan kenaikan harga makanan dipasaran dengan memperkenalkan Program Setem Makanan seperti ini.

Disamping itu masyarakat setempat haruslah mulai sekarang mengumpulkan statistik mengenai keluarga miskin, keluarga memerlukan, anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal di lokaliti mereka agar maklumat tersebut dapat disalurkan ke pihak Baitul Mal Negeri, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, para dermawan , sektor korporat dan sebagainya untuk membantu mereka menghadapi saat-saat getir. Tidak perlulah kita menunggu program seperti BersamaMu TV3 atau laporan di dada akhbar barulah bantuan hendak dihulurkan, sedangkan di kejiranan kita sendiri masih ramai yang memerlukan bantuan.

Kita tidak mahu mendengar seperti apa yang dilaporkan dalam Berita Harian 3 Mac 2006 di mana wang zakat berjuta-juta ringgit tidak dapat diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang sepatutnya akhirnya digunakan untuk diberikan kepada pasangan-pasangan yang ingin berkahwin. Sedangkan Nabi Muhammad saw telah mengajar umatnya agar membuat persiapan perkahwinan sekadar termampu. Ini terbukti apabila seorang sahabat mengadu kepada Baginda saw beliau tiada duit untuk berkahwin, Baginda saw memberitahu sahabat tadi cukuplah beliau mengajar Al Quran kepada isterinya sebagai mas kahwin. Sedangkan Nabi saw ketika itu mempunyai ramai sahabat yang kaya dan pemurah seperti Abd Rahman bin Auf, Saidinia Uthman ra yang jika diberitahu oleh Nabi saw akan memberikan sumbangan kepada pemuda tadi.

Kesimpulannya dalam kita mengatasi kenaikan harga minyak ini, semua pihak harus berganding bahu. Daripada pemimpin hinggalah ke rakyat jelata. Setiap dari kita haruslah menunjukkan contoh berjimat cermat, ayah menunjukkan contoh kepada anak, suami menunjukkan contoh kepada isteri, imam menunjukkan contoh kepada makmum, wakil rakyat menunjukkan contoh kepada rakyat dengan mengurangkan program penerangan mengapa minyak harus dinaikkan tetapi lebih banyak turun ke padang mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan seterusnya menyalurkan maklumat tersebut kepada agensi yang berkaitan.

Rozmal bin Malakan
Kg Bongek, Rembau, NS


http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Saturday/Nasional/20060303233052/Article/
Wang zakat tak habis diagih

Oleh Faiza Zainudin
GEORGETOWN: Beratus-ratus juta wang zakat yang dikutip setiap tahun, gagal diagihkan sepenuhnya kepada penerima yang layak kerana kelemahan pengurusan zakat di negara ini.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, Datuk Abdul Rahim Bakar.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan wang berkenaan tidak diselewengkan.

Abdul Rahim memberi contoh kutipan zakat PPZ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tahun lalu berjumlah RM126.7 juta, manakala pada 2004 berjumlah RM111 juta.

“Tidak dapat dipastikan berapa banyak daripada jumlah itu sudah diagihkan kerana peruntukkan untuk disalurkan ialah RM50 juta tetapi jumlah sebenar yang disampaikan hanya sekitar RM35 juta.

“Wang itu ada disimpan, tidak diseleweng, walaupun tidak disalurkan sepenuhnya kerana pelbagai masalah termasuk kerenah birokrasi,” katanya selepas menyampaikan syarahan bertajuk ‘Budaya Pengurusan Zakat di Malaysia: Profesionalisme vs Tradisionalisme’ di Dewan Persidangan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (Isdev) universiti itu, Prof Muhammad Syukri Salleh.

Abdul Rahim berkata, kelemahan pengurusan berpunca daripada sikap kurang proaktif kakitangan yang menyalurkan bantuan dengan alasan tiada permohonan diterima daripada golongan sasar.

Selain itu, kekangan masa dan kekurangan kakitangan menyebabkan bantuan terbabit tidak dapat disalurkan seratus peratus mengikut masa yang ditetapkan.

“Sistem pengagihan yang tidak dipantau boleh menjejaskan kepercayaan pembayar zakat terhadap pusat pungutan zakat,” katanya.

Bekas Menteri Besar Pahang itu berkata, kelemahan pengurusan itu diburukkan lagi dengan ketidakseragaman pengurusan zakat di setiap negeri.

Katanya, ketiadaan satu badan nasional yang menyelaras dan menyeragamkan urusan dan fatwa zakat juga mengelirukan umat Islam.

“Keadaan itu menyebabkan maklumat terperinci mengenai kemampuan dan kemajuan institusi zakat tidak dapat dikumpul dan dikemukakan, jauh sekali untuk dikaji.

“Jika badan nasional diwujudkan, ia boleh menyelesaikan banyak masalah termasuk keseragaman cara mengira zakat antara negeri, selain membantu negeri yang kurang kutipan zakat tetapi ramai penduduknya miskin,” katanya.

Sejak 1991 hingga 2004, MAIWP mengutip zakat sebanyak RM734 juta yang menyumbang sebanyak 24 peratus kutipan keseluruhan negara yang berjumlah kira-kira RM3 bilion.