KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060314

Bahaya roti canai dan teh tarik tak boleh naik harga

Amaran demi amaran yang diberikan oleh kerajaan kepada para peniaga agar tidak menaikkan harga barangan walhal harga minyak naik sudah pasti mendatangkan kegelisahan kepada para peniaga bagaimana mereka hendak mempastikan mereka masih mendapat keuntungan dengan harga gas memasak, minyak kereta mereka ke kedai yang naik 18%.

Kita takut dan amat bimbang ada segelintir peniaga yang mengambil jalan mudah tetapi berisiko yang akibatnya merugikan bukan sahaja para pengguna bahkan semua pihak. Justeru itu kerajaan haruslah bersikap rasional dalam menangani kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Kita amat bimbang sekiranya peniaga diberi amaran agar tidak boleh dinaikkan harga roti canai barang 10 sen pun, maka mungkin segelintir peniaga akan cuba bermacam-macam formula untuk mengurangkan kos membuat roti canai, samada mengecilkan saiz roti canai, atau menggunakan minyak masak yang paling rendah mutunya atau yang dikitar semula, ataupun menggunakan kuah kari roti canai yang disimpan dan dikitar semula berminggu-minggu lamanya.

Begitu juga dengan teh tarik. Mungkin ada segelintir peniaga akan mencari formula untuk mengurangkan kos teh tarik samada dengan menggunakan bahan pewarna yang tidak diluluskan, menggunakan bahan perasa yang merbahaya kepada kesihatan, mengitar semula hampas teh berminggu-minggu lamanya, menggunakan “ibu gula” atau saccharin yang lebih murah kosnya tetapi amat merbahaya kepada kesihatan.

Oleh itu kerajaan haruslah bertindak rasional berhadapan dengan para peniaga dan pengusaha dalam menangani beban kenaikan harga minyak. Panduan kenaikan harga barangan haruslah diberikan agar peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang, dan peniaga tidak mencari formula yang berisiko apabila mereka dilarang untuk menaikkan harga barangan.

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang, NS