KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070102

Catatan Idil Adha bersama mangsa banjir Gemas

Isnin 11 Zulhijjah 1427 bersamaan 1 Januari 2007. Hari tersebut ialah Hari Raya Kedua Idil Adha.

Setelah selesai urusan di rumah bersama keluarga, aku keluar bersama misi Unit Amal Negeri Sembilan untuk melawat serta membantu mangsa banjir di Gemas, Negeri Sembilan. Pada sangkaan ku mungkin suasana banjir di Gemas tidak seteruk seperti di Johor.

Bersama ku ialah sahabat ku Tn Hj Taufek Abd Ghani, Timbalan Ketua Pemuda N.Sembilan. Awal pagi kami pergi memberi barangan keperluan makanan untuk diagih-agihkan kepada mangsa banjir di Gemas. Barangan yang dibeli hampir memenuhi van yang dibawa hasil sumbangan ahli dan orang ramai. Tengaharinya kami memenuhi undangan jamuan Idil Adha sahabat kami di Astana Raja. Dari Astana Raja kami bertolak menuju ke Gemas. Singgah sebentar di Kendong, berjumpa dengan sepupu ku, singgah sebentar bertegur sapa sempena Idil Adha , berjumpa dengan anak-anak buah serta memberi sedikit sumbangan duit raya. Dalam hati ku , dalam kita membantu orang lain, keluarga terdekat jangan dilupakan, termasuk juga jiran.

Kami berhenti di Masjid Jamek Tampin untuk Solat Zuhr dan Asr. Terima SMS dari Sdr Izam pemuda Kota, mereka sedang mencuci Surau di Taman Gemas. Habis semua karpet, sejadah, Al Quran, amplifier ditenggelami banjir lumpur.

Kami sampai di Gemas sekitar 2:45 ptg. Unit Amal dan Pemuda dari Seremban, Telok Kemang, Rembau, Tampin, Jelebu seramai lebih kurang 30 orang sedang menjamu selera secara berjemaah setelah penat bergotong royong membersihkan surau. Diketuai oleh Us Hassan Alias, Ketua Pemuda N.Sembilan , Us Ahmad, Ketua Pemuda Tampin dan beberapa sahabat lain. Minggu sebelumnya Us Hassan, Tn Hj Taufek dan pemuda Negeri Sembilan telah menghulurkan bantuan serta membantu mangsa banjir di Segamat dan Muar, Johor.

Menurut Pengerusi Surau di sana antara yang terawal sampai ke taman tersebut yang menghulurkan bantuan ialah persatuan Buddha dan juga persatuan Kristian.

Kami meneruskan misi melawat dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Gemas. Dengan dibantu oleh Tn Hj Yusof, orang tempatan yang memandu arah ke rumah-rumah mangsa di sekitar Gemas, terutamanya di Kg Bangka Hulu dan Kg Londah. Kedatangan kami disambut mesra oleh penduduk setempat. Agak terharu dengan ketabahan penduduk setempat yang dilanda banjir. Rata-rata rumah mereka ditenggelami air selama 3 hari.

Yang teruk terjejas ialah di Kg Londah. Ada diantara mereka yang terputus hubungan langsung. Rupa-rupanya masih ada sawah padi diusahakan di Negeri Sembilan ini. Sawah padi yang hampir dituai musnah sama sekali.

Di akhir misi kami, kami pergi ke sebuah rumah di hujung Kg Londah. Kedatangan kami disambut begitu mesra oleh tuan rumah. Dia memeluk kami semua dan hampir menangis. Kami tertanya-tanya apakah yang membuatkan pakcik tadi memeluk kami begitu erat dan hampir menangis. Apakah tiada siapa sebelum ini yang melawat beliau selepas banjir ?

Setelah tamat misi kami berehat dan mengalas perut di Gerai Majlis Daerah di pekan Gemas. Makcik di salah sebuah gerai mengajak kami singgah di gerainya. Saya tanya makcik tadi gerai sini terjejas teruk tak ? Dia kata habis gerai tenggelam. Lori dan bot askar, bomba, polis yang lalu di jalanraya menyebabkan pukulan ombak yang kuat, tercabut kerusi, tertanggal pintu dan sebagainya. Barangan perniagaan juga banyak rosak, 2 tong gas hilang mungkin dicuri.

Saya tanya ada terima bantuan tak ? Makcik tadi kata ada Jabatan Kebajikan beri RM 150. Namun beliau tidak mendapat bantuan lain kerana tempat tinggal beliau tidak dilanda banjir. Makcik tadi mengadu, dia ibu tunggal (cerai hidup), suami dia peneroka telah meninggalkan dia. Dia terpaksa menanggung 5 orang anak yang masih belajar dari IPT hinggalah ke sekolah rendah. Begitu banyak kes sebegini akhir-akhir ini. Dalam hati saya sepatutnya Baitul Mal tidak boleh lagi berfungsi secara duduk di pejabat sahaja. Baitul Mal sepatutnya berfungsi secara bergerak (mobile). Seperti perpustakaan bergerak, pergi ke serata ceruk rantau mencari mereka yang memerlukan bantuan, dari orang miskin, anak yatim, ibu tunggal, orang sakit dan sebagainya. Bukan sahaja Baitul Mal mesti “mobile” , masjid dan surau juga haruslah berfungsi untuk membantu masyarakat setempat.

Setelah mendengar rintihan makcik tadi yang panjang lebar, kami hulurkan sedikit sumbangan kewangan untuk membantu persekolahan anak-anak beliau.

Dalam perjalanan pulang kami singgah solat Maghrib dan Isyak di Kg Keru, Tampin. Sedih sungguh, jemaah masjidnya sekadar cukup korum. Seorang Imam, seorang Bilal dan seorang Siak. Sedangkan hari itu ialah Hari Raya Kedua Idil Adha nak masuk Hari Raya Ketiga yang disambut dengan takbir, tahmid dan tahlil.

Dalam hati ku lagi, macamana orang Islam ini tidak banyak masalah, dengan gejala sosial, masalah perceraian warga tua dan macam-macam lagi, kalau masjid tidak dijadikan pusat ibadah, pusat rujukan, pusat bermasyarakat dan sebagainya. Walaupun ada perbedaan politik di kalangan orang Islam, seharusnya masjid, Idil Adha, hari kematian dan hari kebesaran Islam sepatutnya dijadikan medan perpaduan. Ku cakapkan ini , sebab aku lakukan. Ku jemput jiran ku Ketua Cawangan yang berbeda fahaman politik dengan ku ke rumah ku untuk jamuan Idil Adha, dan kami beramah mesra membincangkan masalah setempat.

Sedih ku rasakan Hari Kedua Idil Adha ini masjid begitu sepi, sedangkan bila ku lalu di Kuil Hindu di pekan Tampin dan di Pedas mereka begitu meriah sekali mengadakan satu acara keagamaan bersama seluruh keluarga mereka sejak dua tiga malam sebelum ini.

Ku harapkan sahabat-sahabat ku dalam Jemaah Tabligh dapat lebih banyak melakukan usaha dakwah di masjid-masjid di seluruh Negeri Sembilan, terutama di kawasan kampung.

Dalam perjalanan pulang teringat pula kata-kata Tn Guru ku, kalau kita berjalan jauh tu balik rumah tu belilah buah tangan (aku lupa Tn Guru ku yang mana yang berpesan baru-baru ini, Tn Guru Hj Nik Abd Aziz atau Tn Guru Hj Abd Hadi) . Lalu aku singgahlah di pekan Senawang membeli buah limau dan tembikai susu.

SELAMAT HARI RAYA IDIL ADHA
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1428