Peserta PLKN mati akibat sesak nafas
Berita Harian 19 Jan 2007 - MELAKA: Seorang peserta Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Ayer Keroh, dekat sini yang baru menyertai program itu 1 Januari lalu meninggal dunia selepas sesak nafas di kem itu pagi semalam.
Ili Ameera Azlan, 17, bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Tunku Jaafar, Seremban, dikatakan sesak nafas sejurus dikejutkan daripada tidur oleh rakan sebiliknya kira-kira jam 5.30 pagi.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub, berkata selepas dimaklumkan kepada penyelia, Ili Ameera dihantar ke Hospital Melaka (HM) jam 6 pagi sebelum disahkan meninggal dunia jam 6.30 pagi.
“Kita akan menyiasat dari semua aspek. Kita sudah mendapatkan keterangan rakannya. Daripada siasatan awal forensik, kita tidak menemui apa-apa atau tiada unsur jenayah.
“Malah, Allahyarham juga dikatakan seorang yang ceria. Tiada kegiatan berat dilakukan pihak PLKN semalam (kelmarin) berikutan hujan dan kelas malam juga habis pada jam 10.30 malam,” katanya ketika ditemui di HM di sini, semalam.
Allahyarham adalah anak sulung daripada dua beradik dan tinggal di Taman Tunku Jaafar, Seremban.
Di KUALA LUMPUR, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata siasatan rapi akan dilakukan untuk mengetahui punca sebenar kematian.
“Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian sekarang. Kita tunggu laporan sedikit masa lagi,” katanya sambil melahirkan rasa simpati dan sedih atas kematian pelatih itu.
http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Nasional/20070118233957/Article/