Setiap tahun sudah pasti banyak bil perlu dibayar terutama awal tahun, bil cukai pintu Majlis Perbandaran Seremban, bil pembentungan Indah Water Konsortium, bil air Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan, bil elektrik Tenaga Nasional, bil telefon Telekom Malaysia. Ini semua adalah bil-bil asas keperluan kita semua. Jika bil diterima maka kita pun bayarlah.
Masalahnya bila dah banyak bil, ada bil yang tidak diterima kita pun tak perasan. Rupa-rupanya saya telah tidak menerima bil cukai tanah dari Pejabat Daerah dan Tanah Seremban sejak 3 tahun yang lalu, malah notis lewat bayar pun tidak diterima. Malah beberapa jiran saya juga mengadukan hal yang serupa. Sedangkan sebelum ini sejak tahun 2000 hingga tahun 2004 saya ada menerima bil cukai tanah.
Lalu di mana silapnya ? Lalu saya pun menaliponlah Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, setelah diberi butiran no lot dan sebagainya, kerani pejabat berkenaan memberitahu bahawa tiada alamat lengkap pada komputer menyebabkan bil-bil 3 tahun sebelum ini dikembalikan semula ke Pejabat Daerah dan Tanah Seremban. Disemak bil telah tertunggak sebanyak sekitar RM 240 termasuk RM 18 denda lewat bayar. Lalu saya memintalah kerani berkenaan mengemaskini alamat dan dapat dihantar bil agar pembayaran boleh dibuat di mana-mana pejabat pos tanpa saya perlu pergi ke Pejabat Daerah dan Tanah Seremban yang terletak nun jauh di Seremban 2.
Oleh itu saya nasihatkanlah kepada penduduk di Seremban ini, cuba periksa kembali adakah telah menerima bil cukai tanah tahun ini, tahun lepas dan sebelumnya. Kalau belum sila talipon Pejabat Daerah dan Tanah Seremban di talian 06-6032200.
Saya rasa masalah ini mungkin berlaku apabila Pejabat Daerah dan Tanah Seremban berpindah dari Jalan Dato Hamzah dekat Taman Tasik Seremban ke Komplek Pentadbiran Daerah Seremban di Seremban 2.
Apabila kita menalipon Pejabat Daerah dan Tanah Seremban jangan lupa resit bil cukai tanah yang lama untuk menyatakan butiran lot tanah dan sebagainya.