KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20070110

Projek Menyusahkan Rakyat Negeri Sembilan

Projeknya ialah Projek Rangkaian Paip Pembentungan Kuala Sawah, Seremban, Negeri Sembilan. Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) berharga RM 98.88 JUTA 8/5/2006 7/11/2008 http://www.satriadesa.com/proj_current/ongoing_list.html

Dikendalikan oleh Satriadesa Corporation, sebuah syarikat bumiputera, Pengarah Urusannya Y.Bhg. Dato' Haji Ahmad Bin Haji Md Yassin boleh rujuk laman web http://www.satriadesa.com/

Beberapa bulan penduduk sekitar Senawang bersabar, tetapi ini sudah sampai ke kemuncaknya. Bayangkan depan rumah digali macam nak buat terowong Smart Tunnel. Taman Alamanda tempat saya tinggal turut terlibat. Jalan jadi macam jalan lepas kena bom. Padang bola jadi macam tempat kerbau berkubang. Orang nak berjemaah di surau batuk-batuk sebab debu, hari-hari karpet surau sepatutnya di vakuum. Namun pihak syarikat tidak pernah berjumpa dengan penduduk memberi penjelasan, bila projek nak siap, minta maaf kerana menyusahkan orang ramai. Dan sekarang macam terbengkalai projek ni, tak terbengkalai pun macam perlahan sahaja. Yang jadi mangsa ramai penduduk Melayu, Cina, India di sini.

Wahai menteri , wakil rakyat, turunlah tengok sikit. Jangan nak tuding jari sesama sendiri. Aduan telah dibuat pada syarikat, pada JPS, pada MPS dan lain-lain.

Sebenarnya bukan Taman Rasa Sayang dan Taman Cempaka, banyak taman lain terlibat, Taman Alamanda, Taman Satria, Taman Desa Melor, Taman Desa Dahlia, Taman Marida dan yang seangkatan dengannya.

Projek RM 100 juta tak kan hendak menyusahkan rakyat.

*****************************

Projek cerucuk ancam penduduk
Oleh Mohd Amin Jalil aminjalil@hmetro.com.my

Harian Metro 10 Feb 2007. SEREMBAN: Lebih 500 penduduk di dua taman berhampiran iaitu Taman Rasa Sayang dan Taman Cempaka Senawang, dekat sini, mendakwa terdedah kepada bahaya berikutan kerja menanam cerucuk bagi saluran pembetungan milik Indah Water Konsortium (IWK) di jalan utama kedua-dua taman itu.

Penanaman cerucuk itu yang dilakukan di tengah jalan utama hanya kira-kira antara tiga ke lima meter daripada rumah penduduk.

Penanaman cerucuk itu bukan saja menyebabkan bunyi kuat dan mengganggu ketenteraman penduduk, malah dikhuatiri menjejaskan struktur bangunan kediaman mereka.

Penduduk di kedua-dua taman itu bukan saja tidak selesa malah bimbang dengan projek yang dilaksanakan itu kerana boleh mengancam keselamatan sekalipun ia diawasi beberapa pekerja kontraktor terbabit.

Seorang penduduk dari Taman Cempaka yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli, 45, berkata struktur di kawasan kaki lima rumahnya retak akibat hentakan kuat kerja menanam cerucuk terbabit.

Katanya, dia sudah membuat aduan kepada kontraktor berkenaan mengenai perkara itu dan pihak terbabit berjanji membuat ganti rugi selepas kerja terbabit selesai.

“Walaupun kontraktor terbabit berjanji untuk membantu tetapi itu hanya secara lisan dan kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang kerana projek ini baru bermula seminggu lalu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap kontraktor terbabit berkata, projek itu sudah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perlu dilaksanakan untuk kepentingan penduduk jangka panjang.

Kerja penanaman cerucuk itu bertujuan menyalurkan sisa kumbahan secara terus ke Kuala Sawah Port Dickson dan tidak lagi menggunakan loji IWK sedia ada di kedua-dua taman itu.

Menurutnya, selepas saluran itu siap, loji IWK itu akan ditutup sepenuhnya sekali gus membolehkan kawasan itu digunakan untuk kepentingan penduduk taman itu.

Jurucakap itu berkata, pihaknya akan memastikan sepanjang kerja itu dilaksanakan, ia tidak menjejaskan keselamatan orang ramai kerana aspek itu sentiasa diutamakan.

“Kami memohon maaf kepada penduduk taman terbabit atas segala kesulitan yang berlaku kerana projek berkenaan di bawah seliaan kerajaan dan berharap mendapat kerjasama penduduk,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Wednesday/Setempat/20070110101230/Article/indexm_html