KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20081123

Masalah Pemberhentian Kerja di N.Sembilan

Pada hujung Oktober 2008 sebuah kilang yang telah lama beroperasi di N.Sembilan dengan tenaga kerja sekitar 1000 orang telah menghentikan operasi. Semua pekerja yang diberhentikan telah mendapat pampasan yang sewajarnya. Sebelum dari itu beberapa kilang di N.Sembilan telah mengecilkan saiz operasi mereka.

Ada yang menawarkan Skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS – Voluntary Seperation Scheme) , ada yang memotong elaun pekerja dan pelbagai langkah lain. Ada juga kilang yang telah memberhentikan operasi mereka di Negeri Sembilan ini tanpa notis , akibatnya pekerja di kilang tersebut langsung tidak mendapat pampasan dan pembelaan yang sewajarnya juga dalam kes yang lebih teruk beberapa bulan gaji mereka yang terakhir tidak diperolehi.

Kalau kita membuat tinjauan sendiri di beberapa kawasan industri di N.Sembilan ini , terdapat begitu banyak premis industri , tapak kilang , tanah industri yang terbiar samada milik swasta mahupun milik perbadanan kerajaan negeri contohnya seperti di kawasan industri Chembong , Rembau dan Kawasan Perindustrian Senawang.

Akibat dari masalah pemberhentian kerja ini , ianya membawa rantaian kepada pelbagai masalah lain. Antaranya ialah masalah banyak taman perumahan di Negeri Sembilan ini yang mempunyai rumah-rumah kosong yang tidak dihuni. Kesukaran untuk mencari penyewa-penyewa , jika ada pun penyewa bayaran sewa adalah kurang dibanding dengan bayaran bulanan pinjaman bank. Bayangkan ada rumah teres 2 tingkat 20 ka x 60 ka di Seremban ini yang bayaran pinjaman bulanannya RM 800 , disewa pada harga RM 350 sebulan.

Justeru itu akhir-akhir ini banyak terdapat gerai-gerai nasi lemak , gerai-gerai kuih tumbuh bagai cendawan di Seremban ini , sebagai salah satu usaha untuk mencari rezeki yang halal.

Peniaga kecil di Senawang ini berniaga kebanyakan mereka atas usaha mereka sendiri. Tiada usaha yang bersepadu untuk membantu mereka ini untuk memulakan perniagaan. Saya kenal seorang peniaga di Senawang ini yang pada tahun ini saja sudah 3 kali berpindah premis perniagaan kerana tidak mampu membayar sewa kedai. Tidak hairanlah peniaga Melayu yang berjinak-jinak berniaga hanya mampu berniaga di warung dan gerai-gerai.

Boleh dikatakan tiada langsung konsep Gerai MARA , Bengkel MARA seperti satu masa dahulu di Senawang ini untuk membantu usahawan-usahawan terutamanya mereka yang baru lulus IKM, ILP, Giat Mara mahu pun Universiti. Kalau ada pun hanya di kawasan Ampangan , itu pun bengkel dan gerai-gerainya begitu usang.

Ada pula gerai milik pihak berkuasa tempatan lokasinya tidak strategik , konsep pembinaannya pula bukan mengikut kehendak semasa , contohnya seperti di Taman Tuanku Jaafar , Senawang yang telah bertahun-tahun siap namun tidak dapat disewakan , walaupun setelah siap ada dibuat pengubahsuaian.

Oleh itu semua pihak di negeri ini baik kerajaan negeri , persatuan mahu pun individu harus bersama memikirkan cara untuk mengatasi masalah pengangguran , masalah pemberhentian kerja , masalah banyak rumah kosong , masalah banyak kilang ditinggalkan yang membawa kepada pelbagai masalah lain seperti kes jenayah yang meningkat , masalah penyakit berjangkit yang meningkat dan sebagainya.

Antara langkah mengatasi pengangguran yang boleh diambil ialah :

1. Mewujudkan sebuah jawatankuasa khas yand terdiri dari semua parti politik baik pemerintah mahu pun pembangkang untuk mempastikan mereka yang memerlukan bantuan mendapat pembelaan yang sewajarnya melalui pelbagai skim bantuan yang ada sekarang ini seperti pinjaman TEKUN, pinjaman MARA, kelulusan Lesen Perniagaan, bantuan Baitul Mal dan sebagainya.

2. Mewujudkan sebuah jawatankuasa khas untuk mempastikan pekerja yang diberhentikan mendapat pembelaan yang sewajarnya.

3. Menawarkan pelbagai insentif baru yang sesuai dengan keadaan ekonomi semasa untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini seperti potongan cukai , khidmat nasihat kelulusan perniagaan dan sebagainya.

4. Menawarkan tambahan insentif kepada pelabur yang mengambil ramai pekerja tempatan khususnya anak Negeri Sembilan di negeri ini agar pengambilan pekerja asing dapat dikurangkan.

5. Menawarkan bantuan kepada anak Negeri Sembilan yang bekerja di negeri ini yang bekerja di sektor swasta dengan status pekerja tetap serta memperolehi gaji kurang dari RM 600 dengan bantuan kupon makanan asas dan sebagainya. Ini adalah kerana antara masalah utama kenapa pelabur sukar mencari pekerja tempatan ialah pekerja tempatan sering bertukar-tukar kerja mencari kerja yang menawarkan gaji yang lebih kerana ada industri dan syarikat swasta di negeri ini menawarkan gaji kurang RM 500 sebulan di negeri ini.

6. Memulakan kembali konsep bengkel MARA, gerai MARA yang bukan sahaja diusahakan oleh MARA , malah agensi kerajaan yang lain untuk membantu peniaga-peniaga kecil seperti bengkel motosikal, bengkel kereta, kedai komputer, kedai elektrik dan sebagainya.

7. Menggalakkan pertumbuhan sektor pelancongan yang boleh menambahkan peluang pekerjaan dengan mempastikan setiap premis pelancongan di negeri ini yang masih tidak dikenali oleh anak Negeri Sembilan ini sentiasa dalam keadaan ceria , bersih dan terjaga untuk menggamit kedatangan pelancong seperti Muzium Kota Lukut , Muzium Negeri , Muzium Adat , Muzium Seri Menanti , Muzium Angkatan Tentera Port Dickson dan sebagainya.

8. Mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini dengan mengekalkan jawatan tetap yang sedia ada dan menambah jawatan kontrak.

9. Mewujudkan lebih banyak SARA dan kelas KAFA di setiap daerah di negeri ini , dengan ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sebagai guru SARA atau KAFA serta menaikkan gaji guru SARA yang agak rendah di Negeri Sembilan ini dibandingkan dengan negeri lain. Buat sasaran setiap masjid di negeri ini perlu ada sekurang-kurangnya satu SARA.

10. Mewujudkan jawatan Pegawai Baitul Mal untuk setiap masjid di negeri ini , dengan ini dapat mempastikan mereka yang mendapat bantuan Baitul Mal ialah mereka yang benar-benar memerlukan bantuan serta mendapat bantuan segera.

Banyak cadangan lain yang boleh difikirkan untuk menangani masalah pengangguran di negeri ini. Pihak kerajaan pusat dan kerajaan negeri harus memainkan peranan mereka.

Pihak persatuan, pihak masjid malahan individu juga harus memainkan peranan mereka dengan membantu mereka-mereka yang kita kenali yang memerlukan bantuan kita bantu mengikut kemampuan kita samada memberi khidmat nasihat , memberi bantuan modal berniaga , memberi pinjam premis perniagaan , berkongsi premis perniagaan dan sebagainya.

InsyaALLAH jika kita sama-sama mengharungi kesukaran kegawatan ekonomi ketika ini , kita akan berjaya menghadapinya. Tapi jika kita jadi buat tak kisah, terpulanglah , jawablah nanti di akhirat bila ditanya oleh ALLAH.

Tiada ulasan: