Berpuasa serta menyenangkan hati keluarga, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin pada hari ‘Asyura’ adalah amalan yang tidak boleh dilepaskan fadhilatnya begitu sahaja.
Selamat Menyambut Hari Asyura dari kami sekeluarga di http://waghih.blogspot.com
AMALAN YANG DISUNATKAN PADA 10 MUHARRAM ; dari laman web Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam
Tafsirnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.” (Surah at-Taubah: 36)
Empat bulan yang dihormati yang tersebut dalam ayat di atas ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.
Manakala diriwayatkan oleh Abi Bakrah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana bentuknya pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Setahun ada dua belas bulan. Antaranya terdapat empat bulan yang dihormati, Tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan Sya‘ban.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam bulan Muharram ini terdapat satu tarikh yang dianggap istimewa iaitu tarikh 10 Muharram yang juga dikenali sebagai hari ‘Asyura’. Pada tarikh ini banyak berlaku peristiwa-peristiwa penting, antaranya Nabi Adam ‘alaihissalam bertaubat kepada Allah sehingga dia kembali suci, Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa ‘alaihissalam dan lain-lain peristiwa yang dapat dijadikan iktibar bagi umat Islam.
Di samping keistimewaan hari ‘Asyura’ yang berlaku di dalamnya peristiwa-peristiwa penting, hari ‘Asyura’ juga merupakan peluang untuk meraih ganjaran amalan-amalan yang disunatkan untuk dilakukan pada hari tersebut. Amalan Yang Disunatkan Pada Hari ‘Asyura’ Di dalam hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada disebutkan mengenai amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari ‘Asyura’ serta fadhilat yang diperolehi bagi sesiapa yang melaksanakan amalan-amalan tersebut. Amalan yang dimaksudkan ialah melakukan ibadah puasa dan menyenangkan hati kaum keluarga.
1. Puasa pada hari ‘Asyura’
Hukum berpuasa pada hari ‘Asyura’ adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang amat dituntut. Anjuran berpuasa pada hari tersebut disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda:
“Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharram dan sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang pada waktu malam.” (Hadis riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menceritakan:
“Aku tidak melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mencari-cari puasa pada satu hari, (Baginda) mengutamakannya daripada hari-hari yang selainnya, kecuali hari ini iaitu hari ‘Asyura’, dan bulan ini iaitu bulan Ramadhan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam turut berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa supaya tidak terlepas peluang melaksanakan tuntutan sunat ini.
Antaranya: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Sa‘id bin Jabir daripada ayahnya, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum, katanya:
“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai ke Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku lebih berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa hari ‘Asyura dan menyuruh para
sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman, dia mendengar Muawiyyah bin Abu Sufyan berkata di atas minbar pada hari ‘Asyura:
“Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘Asyura’, dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Namun aku berpuasa. Maka barangsiapa yang menghendaki untuk berpuasa, maka berpuasalah dan barangsiapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka berbukalah”.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggalakkan umat Islam supaya melakukan puasa hari ‘Asyura’. Setentunyalah dengan galakan daripada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri, peluang seumpama ini tidak dilepaskan oleh umat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada mereka yang melakukan puasa hari ‘Asyura’.
Fadhilat berpuasa hari ‘Asyura’ disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “… Berpuasa pada hari ‘Asyura, aku mengira bahawa Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya (bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut).” (Hadis riwayat Muslim)
Terdapat beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tahun yang dahulunya’:
i. Tahun itu sendiri, iaitu sembilan hari sebelum hari ‘Asyura’.
ii. Sepanjang tahun sebelum hari ‘Asyura (iaitu bermula dari hari ‘Asyura’ sebelumnya).
Didahului Dengan Puasa Tasu‘a’ (9 Muharram)
Bagi orang yang hendak berpuasa sunat pada hari ‘Asyura’ sunat mendahuluinya dengan berpuasa pada hari Tasu‘a’ iaitu pada 9 Muharram.
Hikmah di sebalik mendahuluinya dengan berpuasa pada hari Tasu‘a’ ialah:
a. Sebagai langkah berhati-hati pada pengiraan awal bulan Muharram. Ini kerana ditakuti jika berlaku sedemikian, maka kemungkinan sahaja hari yang dikira sebagai Tasu‘a’ adalah sebetulnya hari ‘Asyura’.
b. Agar umat Islam tidak menyerupai orang Yahudi yang berpuasa pada hari ‘Asyura’ sahaja.
c. Menyambung puasa hari ‘Asyura’ dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari ‘Asyura’
Meneruskan Puasa Hingga 11 Muharram
Apabila seseorang melaksanakan puasa hari ‘Asyura’, sunat juga menggandingkannya dengan berpuasa pada 11 Muharram, walaupun dia tidak melakukan puasa hari Tasu‘a’.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Puasalah kamu pada hari ‘Asyura dan janganlah kamu menyerupai padanya dengan orang Yahudi. Puasalah kamu (dengan puasa ‘Asyura) sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Berdasarkan penjelasan di atas, terdapat beberapa cara melakukan
puasa hari ‘Asyura’ iaitu:
i. Berpuasa pada hari ‘Asyura’ sahaja.
ii. Berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram) dan pada hari ‘Asyura’.
iii. Berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan pada 11 Muharram.
iv. Berpuasa pada hari Tasu‘a’ (9 Muharram) , hari ‘Asyura’ dan 11 Muharram. Gandingan berpuasa tiga hari ini (9,10,11 Muharram) adalah digemari sebagaimana yang disebutkan oleh Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah.
2. Menyenangkan hati kaum keluarga
Selain daripada melakukan puasa pada hari ‘Asyura’, orang Islam juga disunatkan menyenangkan dan menggembirakan hati kaum
keluarga.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang melapangkan (menyenangkan) keluarganya pada hari ‘Asyura, Allah akan melapangkan rezekinya sepanjang tahun.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Apa yang dimaksudkan dengan ‘melapangkan’ atau ‘menyenangkan’ di dalam hadis di atas adalah berbelanja pada makanan dan minuman lebih daripada hari biasa serta menggembirakan anak-anak contohnya dengan menghulur belanja lebih dan yang seumpamanya.
Selain daripada ahli keluarga, maksud menyenangkan di dalam hadis di atas termasuk juga kepada kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin dengan syarat apa yang dilakukannya itu tidak membebankan dirinya. Adapun apa yang selain daripada dua perkara di atas seperti sembahyang malam ‘Asyura’, mandi hari ‘Asyura’, bercelak mata dan yang lainnya tidaklah ada disebut melainkan pada hadis-hadis dhaif, munkar dan maudhu‘.
Marilah kita bertekad untuk mengisi hari ‘Asyura’ yang datang sekali setahun di bulan Muharram ini dengan mengambil iktibar peristiwa yang berlaku pada tarikh tersebut dan melaksanakan apa yang dianjurkan oleh syara‘.
Berpuasa serta menyenangkan hati keluarga, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin pada hari ‘Asyura’ ini adalah amalan yang tidak boleh dilepaskan fadhilatnya begitu sahaja.
Sumber
http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2009/bil343-bhg1.pdf
http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2009/bil343-bhg2.pdf
Bubur Asyura juadah sinonim bulan Muharam
Utusan Malaysia
MAJORITI umat Islam Malaysia tahu mengenai bubur Asyura. Ada yang menyatakan bahawa bubur Asyura ialah bubur khas yang terdiri daripada sepuluh jenis bahan. Ada tepung, ada ubi, ada pelbagai kekacang dan sebagainya. Apa yang pasti ia ialah bubur daripada 10 bahan masakan. Kalau lebih atau kurang, itu bukan bubur Asyura. Jenis rasanya mungkin juga berbeza di antara satu negeri dengan negeri lain.
Ada juga anggapan bahawa bubur Asyura ialah bubur khas sempena 10 Muharam. Kebetulan perkataan Asyura diambil daripada bahasa Arab iaitu Asyarah yang bermakna 10. Maka ramailah yang bergotong-royong atau bersendirian menyediakan bubur Asyura pada tanggal 10 Muharam.
Dalam satu hadis Nabi s.a.w. disebut maksudnya:
Puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) menghapuskan dosa dua tahun iaitu setahun sebelumnya dan setahun selepasnya, dan puasa hari Asyura (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Abu Daud).
“Peristiwa Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Musa a.s., Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).
“Ada juga anggapan bahawa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Nuh. Selepas diselamatkan daripada banjir besar, maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada. Makanan yang dimasak itu ialah bubur. Lalu terbitlah satu makanan namanya bubur Asyura. Mungkin ada sumbernya mungkin juga tidak ada. Apa pun yang pasti hari 10 Muharam berkait dengan peristiwa Nabi Musa dan ada anggapan ia berkaitan dengan juga dengan Nabi Nuh,” katanya menerangkan tentang peristiwa di sebalik hari Asyura.
Tambah beliau, puasa hari Asyura adalah sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah. (Riwayat Bukhari).
Sabda Nabi s.a.w., Jika aku hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari sembilan dan 10 Muharam. (Riwayat Ibnu Majah).
“Hikmahnya mungkin bagi menyalahi perjalanan orang Yahudi yang memuliakan hari 10 Muharam sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. Maka umat Islam digalakkan juga berpuasa pada 9 Muharam di samping 10 Muharam.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan