Tahun 2011 adalah merupakan tahun yang amat mencabar. Golongan pelajar miskin bandar adalah teramat ramai. Kita saja yang tak tahu. Kalau tak percaya tanyalah guru sekolah yang jaga hal kebajikan murid. Tanyalah sekolah anak-anak kita siapa yang perlukan bantuan, anak jiran yang perlukan bantuan. Kos hidup makin naik, minyak naik, gula naik, susu naik, tambang bas naik. Alhamdulillah hujan masih turun secara percuma, udara juga masih percuma.
LIMA BERANAK HIDUP MELARAT
LIMA BERANAK HIDUP MELARAT
Sinar Harian 21 Dis 2010
Pokok Mangga, Melaka - Kemiskinan menyebabkan seorang ibu tunggal bersama empat anaknya di Jalan Pokok Mangga, Kampung Padang, di sini terpaksa ‘ikat perut’ setiap hari.
Tindakan itu menyebabkan lima beranak itu sering mengalami sakit perut disebabkan terpaksa berlapar.
Ibu tunggal berkenaan, Aisah Saadun, 45, berkata kehidupan mereka sekeluarga susah selepas arwah suaminya, Kahar Jamaah, meninggal dunia kira-kira 16 tahun lalu.
Menurutnya, dia dan empat anaknya yang kini berusia 18 hingga 24 tahun terpaksa menumpang di rumah jiran sebelum menyewa rumah yang didudukinya kini.
“Pernah dalam tempoh dua atau tiga hari, kami anak beranak tidak menjamah walau seulas nasi pun dan terpaksa menagih sedikit makanan di gerai berdekatan, atau dibantu jiran tetangga yang bersimpati.
“Sewa rumah sebanyak RM150 sebulan juga sudah tertunggak sehingga mencecah tiga bulan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di rumahnya, dekat sini semalam.
Aisah berkata, dia bernasib baik kerana pemilik rumah sewa berkenaan, Said Aim, 80, memahami masalah mereka dan tidak pernah mendesak membayar tunggakan.
Malah, katanya, Said sering memberi makanan untuknya, selain meminjamkan sedikit wang jika dia memerlukan.
Menurutnya, untuk mengurangkan bebanan keluarga, dia terpaksa bekerja di kebun sayur milik seorang Tionghua di Klebang.
Aishah yang berasal dari Pulau Rupat, Sumatera, Indonesia dan berstatus penduduk tetap (PR) di negara ini berkata, salah seorang anak perempuannya sudah berkahwin.
Manakala, katanya, tiga daripada mereka masih belum mendirikan rumahtangga dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Semua anak saya warganegara Malaysia, tetapi mereka tidak pernah bersekolah akibat kemiskinan hidup.
“Dua anak lelaki yang masih bujang berusia 18 dan 24 tahun pula melakukan pekerjaan sampingan sekadar mengisi perut mereka sendiri sahaja dan itu pun kalau ada kerja,” katanya.
Sementara itu, Said berkata, dia sangat bersimpati dengan nasib keluarga berkenaan menyebabkan dia tidak sampai hati meminta tunggakan sewa.
“Keluarga ini miskin dan saya pun tak tergamak memaksa dia bayar sewa rumah. Kalau dia pinjam duit saya pun, saya tak sampai hati minta balik kerana tahu kesusahan mereka,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8541631.asp
Beberapa Program Kebajikan Membantu Pelajar Miskin dan Susah kembali ke Sekolah tahun 2011 :
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan di http://yam-ns.blogspot.com/2010/12/jualan-amal-kembali-ke-sekolah-1-jan.html
PAS Kawasan Rembau di http://rembau-hari-ini.blogspot.com/2010/12/pas-rembau-lancar-sekolahkan-mereka.html
Tabung Anak Yatim dan Fakir Miskin Tampin di http://tabungtampin.blogspot.com/2010/12/penajaan-pakaian-keperluan-sekolah.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan