"Adat Bersendikan Hukum. Hukum Bersendikan Kitab ALLAH. Syarak Mengata , Adat Menurut". ALLAH menjadikan manusia bersuku-suku dan berbangsa-bangsa untuk kita saling kenal mengenal. Sebarang pertanyaan hubungi Rozmal bin Malakan , rozmal@yahoo.com , FB : Rozmal Malakan www.facebook.com/Rozmal
KASIH SAYANG
20120102
Makin ramai orang kelaparan sambut Tahun Baru 2012 di Malaysia
Isnin 2 Januari 2012, sedang berurusan beli basikal anak di bandar Seremban, telefon saya berbunyi.
Seseorang yang baru saya kenali dari Senawang memberitahu bekalan makanan rumahnya telah habis. Dia tak tahu nak hubungi siapa lagi.
Saya tanya apa yang nak dibeli? Dia kata beras, minyak, telur. Saya kata jumpa esok sajalah, sebab esok memang dia ada urusan rasmi dengan saya.
Sebelum solat Asar , saya tak sedap hati. Takkan nak biarkan dia sekeluarga kelaparan, padahal saya tak berapa kenal akan latar belakang dia, kenal atas kawan saja.
Lepas Asar saya telefon dia, jumpa di satu kedai pasaraya mini di Senawang. Lalu saya pun ajak dia membeli beberapa barang keperluan di kedai tersebut. Sementara dia memilih barang keperluan, saya mencari penyapu kecil untuk surau.
Beberapa ketika saya nampak kenalan saya tadi ambil beras 5kg, sadin tin yang paling kecil, telur 10 biji. Kemudian seperti kecewa berkata , tak ada minyak di kedai tersebut, minyak dah habis langsung , sebab kedai tersebut ialah kedai yang ramai orang beli kerana harganya memang amat berpatutan di Senawang (bukan kedai rakyat 1Malaysia).
Dalam hati saya belum dapat lagi duit bantuan rakyat 1Malaysia RM500, minyak untuk golongan berpendapatan rendah dah tiada di pasaran.
Lalu saya kata ambillah majerin. Dia kata majerin mahal. Saya pun ambillah majerin 500 gm dan letak dalam troli dia, kemudian tambah beberapa keperluan lain. Semuanya baru RM65.
RM65 dapatlah memberi makan beliau sekeluarga yang mempunyai seorang isteri dan anak 4.
Saya tanya dia tinggal mana? Dia tinggal di kawasan rumah kos rendah. Saya tanya lagi dah berapa bulan ansuran tak bayar? Katanya dah 4 bulan.
Demikianlah sedikit saja daripada ribuan orang , ribuan keluarga, ribuan ketua keluarga yang kesusahan, kelaparan di kala menyambut tahun baru 2012 di sekeliling kita.
Di bandar-bandar ini sebenarnya ramai yang miskin bandar.
Memang mereka amat bersyukur dapat bantuan pelajar RM100 dan akan dapat bantuan rakyat RM500 (tak tahu bila). Tapi itu tidak cukup.
Apabila orang macam ni memerlukan, kita jangan banyak tanya. Jangan tanya kenapa jiran tetangga dia tak tolong. Jangan tanya kenapa saudara mara dia tak tolong. Jangan tanya kerajaan dah beri setiap pelajar RM100 tak cukup lagi ke.
Kalau kita nak tolong, tolonglah. Kalau kita tak nak tolong, diam sajalah.
Kalau kita tak berapa yakin orang tadi susah. Berilah barang keperluan, elakkan beri wang ringgit. Kalau tak yakin lagi, cuba ekori dia ke rumahnya, tengok keadaan dia sekeluarga macamana.
Kalau Perdana Menteri zaman dulu iaitu Khalifah Saidina Umar boleh mencari pada waktu malam keluarga yang kelaparan, takkan keluarga yang kelaparan datang mengadu pada kita, kita nak tanya macam-macam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan