KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051215

Apa sudah jadi dengan semangat patriotik rakyat Malaysia ?

Baru-baru ini Malaysia menewaskan Myanmar 4-2 pada perlawanan pertama bola sepak kelayakan Piala AFC Bawah 20 Tahun di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. Menurut laporan akhbar kira-kira 2,000 penonton menyaksikan perlawanan itu di mana 80 peratus daripadanya adalah adalah penyokong Myanmar.

Perlawanan tersebut bukannya diadakan di hutan pedalaman di Malaysia ini, atau di kawasan industri di mana ramai warga Myanmar bekerja di kawasan industri tersebut, tetapi ianya diadakan ditengah-tengah kota kosmopolitan, di ibu negara Malaysia , iaitu Kuala Lumpur.

Mana perginya lautan manusia warga Malaysia yang biasanya membanjiri Dataran Merdeka ketika Sambutan Malam Merdeka atau Malam Sambutan Tahun Baru ? Mana perginya lautan manusia warga Malaysia yang membanjiri konsert-konsert percuma yang sering dipromosikan dalam media cetak dan elektronik ? Mana perginya warga Malaysia yang membanjiri jamuan bersama pemimpin ketika Sambutan Idil Fitri, Deepavali dan Tahun Baru Cina ?

Apakah rakyat Malaysia ini telah dididik untuk berkumpul dalam apa-apa program baik konsertnya, baik ceramah pemimpin negaranya hanya apabila ada artis-artis bersama mereka, adanya makanan percuma, adanya bas-bas untuk membawa mereka ke tempat program ?

Apakah Program Latihan Khidmat Negara yang menelan belanja berjuta-juta ringgit tidak dapat menanam semangat patriotik jutaan remaja warga kota untuk menyokong pasukan kebangsaan negara ? Hanya 400 penyokong tempatan menyaksikan perlawanan tersebut sedangkan 1600 warga Myanmar sanggup mengeluarkan wang simpanan mereka menyaksikan perlawanan tersebut ? Apakah media-media tidak bersemangat patriotik untuk mempromosikan perlawanan ini kerana kejohanan seperti ini tidak memberikan keuntungan komersial ? Atau apakah rakyat Malaysia lebih rela membelanja wang dalam pertandingan SMS daripada melihat perlawanan bolasepak yang tidak menjanjikan apa-apa ganjaran ?

Miskin sangatkah warga Malaysia hingga tidak mampu membeli tiket stadium dan tiket bas ? Atau rakyat Malaysia sudah ditanam dengan jiwa subsidi, kalau nak hadir program mesti ada artis, kalau nak hadir program mesti ada bas, kalau nak hadir program mesti ada makan, kalau nak ramaikan orang dalam sesuatu program “paksa” pelajar sekolah dan pelajar IPT hadir ?

Apakah selepas ini untuk memenuhkan stadium dalam apa-apa acara sukan maka perlu ada semua ini ?

Mana hilangnya semangat patriotik kita semua ?

Berita Penuh Utusan Malaysia 13 Dis 2005

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm

Piala AFC B-20: Malaysia benam Myanmar 4-2

KUALA LUMPUR - Dua jaringan menerusi ketua pasukan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak membantu Malaysia menewaskan Myanmar 4-2 pada perlawanan pertama bola sepak kelayakan Piala AFC Bawah 20 Tahun di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.

Kemenangan tersebut sekali gus mencerahkan laluan Malaysia untuk beraksi di pusingan akhir pertandingan itu di India, tahun depan.

Bagaimanapun pasukan bimbingan K. Rajagopal perlu terlebih dulu mempertahankan kelebihan jaringan tersebut apabila bertandang ke Yangoon untuk perlawanan di tempat lawan pula, Jumaat ini.

Gol-gol Malaysia dijaringkan Zaquan (m-35, 51), Faderin Kadir (m-14) dan Mohd. Khyrill Muhaimin Zamri (m-16).

Gol Myanmar pula dijaringkan Tun Min Min (m-65) dan Than Si Thu (m-79).

Perlawanan semalam berlangsung dalam suasana agak tegang sehingga menyaksikan seorang pemain Myanmar dilayangkan kad merah.

Kira-kira 2,000 penonton menyaksikan perlawanan itu di mana 80 peratus daripadanya adalah adalah penyokong Myanmar.

Ini menyebabkan timbul sedikit kekecohan apabila sebahagian penyokong Myanmar bergaduh dengan penyokong Malaysia.

Mereka mencabut kerusi tempat duduk penonton dan membaling ke arah penyokong Malaysia.

Tindakan lewat pihak polis meleraikan pergaduhan menyebabkan keadaan kecoh itu berlangsung selama 10 minit sebelum keadaan kembali terkawal.