KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051204

Hidangan Arak MAS Tidak Menjamin Keuntungan

Kerugian lebih RM 600 juta dalam masa tidak sampai satu tahun yang dialami oleh Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi. Walauapapun adalah diharapkan pengurusan MAS yang baru dilantik dapat memulihkan kembali kedudukan kewangan MAS agar ianya dapat menjamin kesinambungan kerjaya kakitangannya serta dapat memulihkan kembali imej syarikat penerbangan Malaysia yang diterajui oleh anak tempatan sendiri.

Sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan konsep prinsip Islam Hadhari sewajarnya pihak kerajaan menyediakan garis panduan (SOP) bagaimana sebuah negara Islam harus mengendalikan syarikat penerbangan agar ianya dapat memenuhi cita rasa para penumpang dan dalam masa yang sama berlandaskan iman dan taqwa.

Mungkin sebelum ini kita berfikiran sebagai sebuah syarikat penerbangan yang beroperasi di peringkat antarabangsa semestinya kita mahu menarik minat para penumpang yang berpotensi untuk menaiki syarikat penerbangan kita. Maka mungkin hidangan arak yang disediakan oleh MAS dapat menarik minat lebih ramai warga asing untuk menaiki MAS. Lebih ramai warga asing dan pelancong asing menaiki MAS, maka MAS akan mengaut keuntungan yang lebih. Akan tetapi penyata untung rugi MAS baru-baru ini memberi mesej yang jelas dalam isu ini. Iaitu dengan menyediakan hidangan arak kepada para penumpang MAS, ianya tidak dapat menjamin MAS akan beroleh keuntungan.

Pemerhatian yang seterusnya yang dapat diambil ialah, tidak semestinya sebuah syarikat penerbangan yang mempunyai pramugari yang berpakaian ketat , seksi dan tidak menutup aurat akan menjamin keuntungan sesebuah syarikat penerbangan.

Sebaliknya banyak faktor lain yang menentukan keuntungan sesebuah syarikat penerbangan. Sebagai seorang pelanggan yang inginkan kelainan banyak faktor yang menarik minat penumpang akan mengulangi syarikat penerbangan yang sama antara keluasan kabin, keselesaan tempat duduk, makanan dan minuman yang dihidangkan, keramahan kakitangan kabin dan seterusnya. Diperingkat pengurusan pula , pemilihan sub kontraktor, vendor, pesawat, sistem perkomputeran yang sesuai akan menentukan untung rugi sesebuah syarikat.

Malaysia sebagai Pengerusi Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) haruslah menggalakkan agar negara-negara Islam menyediakan garis panduan (SOP) yang glokal agar ianya dapat memberi keselesaan kepada penumpang tanpa mengira agama dan bangsa dalam pada masa yang sama menghormati agama serta budaya di kalangan negara-negara Islam.

Adalah diharapkan pengurusan MAS yang baru ini dapat memberi kelonggaran kepada pramugari untuk menutup aurat serta memakai pakaian yang longgar, seperti mana kelonggaran diberikan kepada kakitangan kabin yang bukan Islam untuk tidak menutup aurat.

Begitu juga dalam masalah hidangan arak, adalah diharapkan MAS tidak lagi menghidangkan arak di dalam pesawatnya. Apa yang peliknya ialah orang bukan Islam apabila menaiki MAS tidaklah begitu beria-ia benar meminum arak, akan tetapi ada segelintir orang Melayu apabila menaiki MAS tanpa segan silu meminta hidangan arak kerana ianya disediakan secara percuma.

Malah di sesetengah negara barat mereka tidak menghidangkan arak untuk penerbangan domestik. Malah ada kakitangan syarikat penerbangan negara barat mengutarakan cadangan agar hidangan arak tidak disediakan kerana ianya boleh mendatangkan gangguan dalam penerbangan apabila ada penumpang yang mabuk.

Setakat ini syarikat penerbangan negara Islam yang tidak menghidangkan arak dan menggalakkan pramugarinya menutup aurat ialah Saudi Airline dan Royal Brunei Airline.

Malah komen yang diberikan oleh penumpang-penumpang bukan Islam yang menaiki Royal Brunei adalah lebih kepada keselesaan kabin, makanan dan keramahan kakitangan kabin. Penumpang-penumpang bukan Islam tidak mencadangkan supaya hidangan arak patut dihidangkan oleh syarikat penerbangan negara Islam.

Sekiranya MAS tidak dapat menyediakan alternatif sebagai sebuah syarikat penerbangan negara Islam, dapatkah kerajaan mengarahkan MAS supaya mematuhi garis panduan syarikat penerbangan negara Islam sepertimana kerajaan mengarahkan agar harga gas asli NGV diarahkan ditarik balik kenaikannya pada 3 Disember 2005 yang lalu ?

Apakah dengan tidak menghidangkan arak dan tidak memberi kelonggaran pramugarinya untuk menutup aurat MAS akan rugi lebih teruk lagi ? Apakah syarikat penerbangan yang tidak menghidangkan arak dan mempunyai pakaian pramugari yang menutup aurat mengalami kerugian yang lebih teruk daripada MAS ?

Berkatkah rezeki yang diperolehi oleh pekerja Islam MAS apabila mereka secara tidak langsung terlibat dalam aktiviti penghidangan arak, daripada pramugarinya, juruterbangnya, juruteranya, pengarah urusannya dan seterusnya ?

Berikut ialah komen seorang penumpang bukan Islam mengenai Royal Brunei :

http://www.airliners.net/open.file/827014/L
Aircraft Taken at Royal Brunei Airlines, Airbus A319-132, April 19, 2005

One of the more interesting flights I have taken. Brunei is a Muslim country, and hence for this flight (1) Flight attendants (as you can see) in traditional headdress (2) No alcohol served (3) Praise and songs to Allah on pushback (4) The inflight screens (as shown) showing direction and distance to Mecca. All in all, a great flight and a wonderful experience-Andrew Hunt.

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda, Senawang, NS