KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051215

Cukai Pintu N.Sembilan naik 85.19%, bantulah jiran yang susah

Tahun 2006 menjelang tiba, Majlis Perbandaran Nilai, N.Sembilan telah menaikkan cukai pintunya sebanyak 85.19%. Tahun 2006 harga minyak akan naik lagi, tarif elektrik akan naik lagi, tarif air akan naik lagi. Dengarlah keluhan kakitangan awam rendah di bawah ini dalam Ruangan Forum Utusan Malaysia 15 Dis 2005. Perhatikanlah jiran-jiran sekeliling kita, kalau kita duduk di taman perumahan yang elit dimana masing-masing sibuk dengan kerusi kayu jatinya, sibuk “renovate rumah”, sibuk buat “gazebo” dalam rumah, sibuk mencari kereta model baru sekali sekala pandanglah jiran-jiran di taman-taman perumahan yang tidak elit.

Jika tidak anak-anak jiran kita di taman-taman yang tidak elit ini, akan keciciran dalam pelajaran, akan melepak, akan terjebak dalam gejala dadah, akan terjebak dalam gejala ragut, yang akhirnya yang menjadi mangsa ialah siapa sahaja yang ada wang, yang ada barang kemas dan sebagainya.

Tapi bak kata penulis di bawah, kalau kerajaan negeri boleh fikir cara lain nak kutip hasil. Bukan semata-mata menaikkan cukai pintu, sedangkan bangunan, kedai dan rumah terbengkalai di Nilai dan di seluruh Negeri Sembilan ini banyak yang tidak berpenghungi. Malah kedai-kedai sewaan kepunyaan Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran banyak yang telah menjadi kandang kambing, kandang lembu dan reban ayam.

****************************************************************
Penduduk tidak puas hati cukai pintu naik 85.19 peratus

Saudara Pengarang,

PENDUDUK di Bandar Baru Nilai dan kawasan sekitarnya tidak puas hati kadar taksiran cukai tahunan (cukai pintu) akan dinaikkan mulai 1 Januari 2006.

Kadar lama RM113.40 setahun akan dinaikkan kepada RM210 setahun, iaitu kenaikan sebanyak RM96.60 atau 85.19 peratus.

Surat pemakluman diterima pada 7 Disember 2005, tapi tarikhnya 14 November 2005. Dicatatkan bahawa bantahan boleh dibuat sebelum 16 Disember 2005. Apakah kelewatan penghantaran surat itu disengajakan?

Kenaikan ini menekan golongan kakitangan awam rendah seperti saya.

Kadar kenaikan gaji saya ialah RM45 setahun. Ini bermakna saya perlu mengambil masa dua tahun sebelum kenaikan gaji saya dapat menampung sepenuhnya kenaikan cukai taksiran dan sebagainya.

Bajet 2006 bersetuju menurunkan sebanyak 50 peratus cukai kereta yang berkapasiti 1600cc ke bawah bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Nampaknya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula mengambil kesempatan menambah beban kami.

PBT sepatutnya mencari idea lain untuk menambah pendapatan bukan naikkan cukai pintu.

Misalnya, Majlis Perbandaran Nilai (MPN) boleh menambah hasil dengan menyediakan tapak pasar tani yang besar dan mengutip sewa tapak. Sekarang penduduk di kawasan Nilai berbelanja di pasar tani Salak yang terletak di Selangor. - PENDUDUK TERCUNGAP, Nilai.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2005&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htm