KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051209

Suruhanjaya Pilihan Raya wajar contohi Tabung Haji

Setiap kali menjelang pilihanraya di Malaysia ini baik pilihanraya umum mahu pun pilihanraya kecil, yang sering menjadi tumpuan parti-parti yang bertanding dan para pengundi ialah Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Sering menjadi mangsa ketidakpuasan parti-parti yang bertanding ialah SPR. Pegawai-pegawai SPR baik yang tetap mahupun yang kontrak yang bertugas semasa pilihanraya akan menjadi tumpuan para pengundi dan wakil parti-parti politik apabila berlaku kekecohan.

Sebagai sebuah badan yang bermotokan Cekap dan Telus untuk mengekalkan kredibiliti mereka dalam menjalankan pilihanraya bebas dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi SPR sewajarnya sentiasa dari masa ke semasa mengadakan satu sistem pilihanraya yang terbaik (Fool Proof) untuk mengelakkan sebarang bentuk kesilapan yang tidak disengajakan mahupun kesilapan yang disengajakan oleh petugas mahupun penyokong parti-parti yang bertanding.

Isu pengundi hantu telah lama diperkatakan namun tiada sebarang bukti kukuh yang pernah dibawa ke muka pengadilan, walaupun sebelum ini terdapat bukti adanya sindiket yang memalsukan Kad Pengenalan mahupun Mykad untuk tujuan tertentu yang bukannya bertujuan untuk mewujudkan pengundi hantu.

Apakah terdapat kelemahan (Loop Holes) dalam sistem pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR sekarang ini ? Sekiranya ada pihak tertentu yang ingin memenangkan kawan mereka yang bertanding sebagai calon baik daripada parti pemerintah mahupun daripada parti pembangkang bolehkah mereka melakukannya ?

Jawapannya , ya memang terdapat kelemahannya. Berdasarkan kepada pengalaman saya semasa mengundi dalam pilihanraya umum tahun 2004 yang lalu saya telah mendapati terdapat beberapa kelemahan. Apabila saya menyerahkan Mykad saya kepada petugas SPR untuk mengambil kertas undi , petugas tersebut hanya memandang ke senarai daftar pemilih dan terus memberikan saya kertas undi. Petugas SPR tadi tidak memandang saya, dan wakil-wakil parti yang menjadi pemerhati dalam tempat mengundi pun tidak mengenali saya. Dalam hati saya sekiranya saya menyuruh sahabat saya mengundi bagi pihak saya, tiada siapa yang akan mengetahuinya, Tiada sistem diwujudkan dalam pilihanraya untuk mempastikan mereka yang mengundi adalah sama dengan mereka yang membawa Mykad.

Kelemahan ini berlaku dalam sistem Lembaga Urusan Tabung Haji sebelum ini. Masih ingatkah kita beberapa kes pengeluaran Tabung Haji oleh individu tertentu daripada akaun orang lain sebelum ini ? Malah ianya membabitkan jutaan ringgit. Jika kita pergi ke Tabung Haji sekarang ini, setiap kaunter ada disediakan mesin membaca data Mykad dan mesin imbasan cap jari. Kedua-dua ini akan digunakan sebagai pengesahan kepada mana-mana individu yang ingin mengeluarkan tabungan mereka.

Menggunakan mesin membaca data Mykad dan mesin imbasan cap jari semasa proses pengundian dalam pilihanraya adalah merupakan tindakan yang wajar untuk mengelakkan sebarang penipuan di samping memudahkan urusan petugas-petugas SPR untuk menyemak daftar pemilih.

Menggunakan mesin membaca data Mykad dan mesin imbasan cap jari adalah merupakan kaedah terkini untuk mengesahkan daftar pengundi. Malah ianya boleh diperkukuhkan lagi dengan kaedah konvensional yang diamalkan dibeberapa negara luar iaitu dengan mengecop pada belakang tapak tangan mereka yang telah mengundi dengan dakwat yang sukar untuk dihilangkan dalam tempoh sehari.

Tahap teknologi yang digunakan oleh SPR sekarang ini ada kalanya tidak menggambarkan mereka seiring dengan kehendak kerajaan menuju wawasan 2020 dengan menggunakan segala kemudahan teknologi maklumat.

Baru-baru ini saya menghadiri satu taklimat yang dikendalikan oleh SPR. SPR sebagai sebuah badan yang dianggap begitu penting tidak menggunakan kemudahan teknologi maklumat dalam operasi mereka. Sesi taklimat SPR dikendalikan dengan menggunakan projektor yang “out dated’ iaitu menggunakan “transparency” , sedangkan di sekolah rendah pun sekarang ini mereka telah menggunakan “Lap Top” dan “Digital Projector”. Sekiranya dalam operasi harian SPR mereka menggunakan teknologi yang lama, bagaimana mereka hendak meyakinkan rakyat mereka mengikuti perkembangan semasa dalam mengendalikan pilihanraya.

Malah dalam taklimat tersebut SPR membangkitkan isu utama iaitu kurangnya kesedaran orang ramai untuk mendaftar menjadi pengundi. Mengapakah tidak diwujudkan hubungan rangkaian antara sistem maklumat SPR dan sistem maklumat Jabatan Pendaftaran Negara agar semua warga negara Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas secara otomatiknya akan didaftarkan dalam senarai daftar pemilih, atau mereka yang telah meninggal dunia dikeluarkan dari daftar pemilih tersebut ? Dengan ini akan menjimatkan masa pegawai-pegawai SPR untuk mencari pengundi-pengundi baru atau untuk mengeluarkan nama pengundi-pengundi yang telah meninggal dunia. Malah rangkaian maklumat ini boleh disambungkan dengan beberapa agensi lain seperti Tentera, Polis dan Kedutaan Malaysia di luar negara untuk mengemaskinikan daftar pengundi-pengundi pos.

Oleh itu SPR dari masa ke semasa haruslah mempertingkatkan kecekapan dan ketelusan mereka untuk mengelakkan sebarang ruang untuk pihak tertentu membuat sebarang tuduhan terhadap mereka disamping itu dapat menjaga kebajikan petugas-petugas SPR agar mereka dapat menjalankan tugas dengan tenang sewaktu pilihanraya.