Tiada siapa yang menang sebenarnya dalam isu pengkebumian wira Everest negara. Ianya adalah merupakan satu peristiwa yang harus diambil iktibar oleh semua rakyat Malaysia dalam negara yang berbilang agama dan bangsa ini.
Ianya memberi gambaran walaupun Malaysia telah merdeka sejak tahun 1957 lagi, dan berbagai usaha telah dilakukan untuk menanamkan semangat muhibbah diantara rakyat yang berbilang agama dan bangsa, namun apabila sampai isu yang menyentuh sensitiviti agama kita masih tidak dapat duduk semeja untuk menyelesaikannya dengan semangat toleransi dan setiakawan, hanya mengharapkan sistem perundangan untuk menyelesaikannya.
Bagi saya seorang penganut Islam, saya turut merasa sedih perkara sebegini berakhir dalam keadaan ada pihak yang berduka cita iaitu isteri dan ibu wira Everest kita walaupun undang-undang dapat ditegakkan. Kita umat Islam memang sepatutnya mempertahankan undang-undang Islam sedia ada, tetapi adakah kita mempertahankan undang-undang Islam tersebut kerana kita benar-benar kasihkan saudara kita yang memeluk agama Islam, atau sebaliknya ?
Adakalanya kita sendiri bersikap hipokrit, apabila ada orang yang mencabar undang-undang Islam kita bertepuk sorak mempertahankannya, tetapi apabila saudara yang baru memeluk Islam kita tidak pula bertepuk sorak menghulurkan bantuan. Sedangkan dalam Islam , mereka yang baru memeluk agama Islam haruslah diberi perhatian seperti menatang minyak yang penuh, sepertimana kasihnya ibu menjaga anaknya yang baru dilahirkan.
Baru minggu sudah saya berjumpa dengan sahabat saya di Seremban. Beliau mengeluh kerana ada pihak yang sudi memberikan rumah untuk tempat penginapan dan perlindungan saudara-saudara baru, malangnya sukar untuk mendapatkan khidmat untuk meletakkan mereka yang benar-benar berminat untuk mengendalikan rumah penginapan tersebut. Tanggungjawab menjaga saudara baru ini tidak seharusnya diletakkan dibahu pihak berkuasa agama semata-mata. Pihak swasta, ahli korporat Islam, individu, masyarakat harus sama berganding bahu menjayakan usaha membantu saudara-saudara baru.
Betapa begitu sensitifnya isu pengkebumian wira Everest negara dan betapa tidak begitu terbukanya sikap kita dalam membincangkan isu ini sehinggakan tidak ramai pemimpin-pemimpin negara dan masyarakat yang berani memberikan pandangan untuk meredakan ketegangan yang timbul. Apakah sambutan Rumah Terbuka Hari Raya, Rumah Terbuka Deepavali, Rumah Terbuka Krismas dan sebagainya tidak dapat membentuk masyarakat Malaysia yang saling hormat menghormati antara satu sama lain ?
Umat Islam di Malaysia ini, terutamanya orang Melayu harus menerima hakikat bahawa kita hidup di negara ini dengan rakyat dari pelbagai lapisan agama dan bangsa, dari agama Buddhanya, Hindunya, Kristiannya dan seterusnya. Memahami amalan dan budaya agama lain bukanlah bermaksud kita bersama berseronok meraikan sambutan perayaan agama mereka. Memahami amalan dan budaya agama lain adalah supaya kita dapat memberi kebebasan kepada mereka untuk mengamalkan agama mereka tanpa perasaan syak wasangka.
Beberapa minggu sudah saya tertanya-tanya kenapa pada satu malam semua rumah penganut Hindu di Senawang ini menyalakan pelita di hadapan rumah dan kedai mereka, walhal ianya bukanlah musim perayaan Deepavali atau Thaipusam. Lalu saya bertanyalah kepada peniaga Hindu kenapa dia memasang pelita tersebut, lalu dia memberitahu ianya adalah sempena sambutan tahun baru mereka. Barulah saya faham mengapa mereka berbuat demikian, dengan kefahaman saya ini tidaklah saya berprasangka mengapa penganut Hindu memasang pelita pada malam tersebut. Memandangkan ini adalah amalan penganut Hindu maka tidak perlulah kita umat Islam pula terikut-ikut hendak memasang pelita, biarlah penganut Hindu diberi kebebasan untuk memasang pelita pada malam tersebut.
Adakalanya saya merasa iri hati pula diatas apa yang diamalkan oleh penganut agama lain di Malaysia ini. Iri hati disini bukannya bermaksud tidak memberi kebebasan kepada agama lain. Iri hati di sini ialah mengapa penganut agama lain boleh melakukannya tetapi kita penganut Islam tidak boleh melakukannya. Contohnya semasa Konsert Sure Heboh diadakan di Seremban pada awal tahun ini. Konsert Sure Heboh diadakan di padang Majlis Perbandaran Seremban yang dikelilingi oleh beberapa gereja, kuil Hindu , kuil Sikh dan masjid negeri. Pada malam tersebut saya melihat Kuil Hindu yang terletak bersebelahan padang MPS dikawal oleh dua orang penganut Hindu untuk mengelakkan orang ramai sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan di kuil tersebut. Apabila saya lalu di masjid negeri, semua pintu pagarnya di buka, dan ada segelintir pengunjung Konsert Sure Heboh mengambil kesempatan menggunakan kemudahan masjid serta laluan masjid tersebut. Inilah iri hati yang saya maksudkan, penganut Hindu begitu menjaga rumah ibadah mereka, sedangkan kita umat Islam adakalanya menjadikan masjid sebagai tempat untuk buang air, rehat, tidur dan menukar lampin bayi, dan selepas itu menyalahkan pula pengurusan masjid yang tidak menjaga kebersihan masjid.
Satu lagi contoh iri hati saya ialah dengan penganut agama Kristian. Seremban adalah bandar yang menarik , dimana terdapat banyak rumah ibadah dari pelbagai agama. Hari Ahad pagi biasanya gereja-geraja di Seremban akan dipenuhi oleh penganut agama Kristian. Ketika menghadiri satu program di Wisma Negeri beberapa bulan yang lalu , saya memerhatikan begitu banyak kenderaan diletak dibahu jalan sepanjang gereja tersebut. Walaupun kenderaannya banyak, namun ianya diletak dalam keadaan yang tersusun dan tidak menghalang mana-mana jalan atau laluan. Apabila lalu dihadapan gereja saya perhatikan penganut agama Kristian yang datang ke gereja membawa bersama keluarga mereka, isteri serta anak-anak. Apa yang menariknya anak-anak Kristian yang datang ke gereja ini tidaklah membuat bising dan bermain-main , tidak seperti anak-anak Islam kita yang membuat bising ketika khatib sedang berkhutbah. Saya perhatikan pagi Ahad tersebut penganut Kristian dapat berjumpa seminggu sekali dengan seluruh keluarga mereka, dalam keadaan yang tenang, tanpa perlu mengejar masa. Inilah iri hati saya, mengapa tidak umat Islam dapat melakukan demikian pada hari Jumaat ?
Kita di Malaysia ini harus mula belajar kenal mengenali antara satu sama lain. Berseronok, bergembira meraikan perayaan agama lain tidak menjamin kita dapat hidup aman dan harmoni. Memahami hak agama antara satu sama lain seharusnya menjadi teras kepada kita semua rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa. Sistem perundangan adalah merupakan jalan terakhir untuk menyelesaikan sesuatu konflik. Oleh itu tiada siapa yang menang dalam isu wira Everest ini, kerana kita telah menggunakan sistem perundangan untuk menyelesaikannya bukannya atas dasar faham memahami antara satu sama lain.
Rozmal bin Malakan
Setiausaha Surau Taman Alamanda, Senawang