KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20051226

Kesedaran masyarakat cegah rogol masih kurang

Masyarakat sekali lagi dikejutkan dengan kejadian rogol dan rompak yang melibatkan wanita. Menurut laporan akhbar tempatan (Harian Metro 22 Dis 05) seorang pekerja kilang wanita di Senawang mendakwa dipukau sebelum dirogol serta dirompak seorang lelaki tidak dikenali ketika menunggu bas di sebuah hentian bas kira-kira jam 5.15 pagi.

Wanita di Malaysia ini sering menjadi mangsa rogol, ragut dan rompak Serangan rogol, ragut dan rompak (3R) ini bukan hanya berlaku kepada wanita di Senawang atau pekerja kilang sahaja, malah wanita daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama serta daripada pelbagai sektor pekerjaan sering menjadi mangsa.

Walaupun sebelum ini negara pernah dikejutkan dengan pelbagai jenayah rogol, ragut dan rompak yang ada kalanya membawa kepada pembunuhan seperti peristiwa malang yang berlaku kepada Allahyarham Noor Suzaily dan Mendiang Cannie Ong, namun rata-rata didapati masyarakat secara umumnya tidak mengambil iktibar daripada kejadian tersebut.

Masyarakat seolah-olah menyerahkan masalah pencegahan jenayah rogol, ragut dan rompak ini kepada pihak polis untuk mempertingkatkan rondaan, disamping mengharapkan kerajaan melalui Kementerian Kebajikan Masyarakat, Wanita dan Kekeluargaan untuk mengendalikan kursus serta taklimat berkenaan cara mencegah jenayah rogol, ragut dan rompak.

Wanita adalah merupakan golongan yang lemah lembut, sementara penjenayah yang tahu akan kelemahan wanita ini sering menggunakan pelbagai taktik, tipu daya, pujuk rayu serta adakalanya menggunakan pukau untuk memerangkap wanita. Jika cara ini tidak berjaya penjenayah akhirnya akan menggunakan kekerasan.

Kalau di negara barat contohnya, mereka sering mengadakan kursus kesedaran pencegahan jenayah rogol, ragut dan rompak di kalangan kanak-kanak, pemudi serta wanita daripada peringkat tadika lagi hinggalah ke alam pekerjaan.

Khidmat pakar-pakar saikologi serta sukarelawan sering digunakan untuk memberikan perkhidmatan post trauma (selepas kejadian) sebagai memulihkan semangat mangsa agar dapat meneruskan hidup serta pekerjaan seperti sediakala. Sementara jiran-jiran dan rakan sekerja akan sering memberikan kata-kata perangsang kepada mangsa. Dan mereka bekerjasama dengan pihak polis untuk mengedarkan gambar lakaran suspek di pasaraya-pasaraya, gereja, sekolah, tempat kerja dan sebagainya.

Sebaliknya kita di Malaysia ini mangsa rogol kurang mendapat perhatian melainkan jika ianya mendapat liputan meluas di dalam akhbar. Adakalanya pula mangsa rogol di Malaysia ini dipandang serong oleh masyarakat dan menyalahkan pula mangsa rogol kerana tidak tahu hendak melindungi diri mereka sendiri. Sekiranya mangsa kebakaran, mangsa banjir sering mendapat simpati dan bantuan daripada pelbagai lapisan masyarakat, mengapa tidak mangsa rogol tidak diberikan layanan yang serupa , paling tidak daripada golongan wanita sendiri ?

Apabila masyarakat secara aktif terlibat dalam pencegahan jenayah rogol, ragut dan rompak ini dan memberikan pembelaan kepada mangsa rogol maka sudah pasti akan menyulitkan penjenayah untuk mengulangi jenayah mereka ditempat tersebut. Ini adalah kerana para penjenayah akan mengulangi perbuatan mereka dan adakalanya akan menjadi penjenayah bersiri sekiranya mereka dapati masyarakat ditempat tersebut tidak mengambil berat dalam hal-hal pencegahan jenayah.

Malah dengan kemajuan internet sekarang ini masyarakat boleh membantu pihak polis dengan mengedarkan lakaran gambar suspek melalui e-mel di kawasan yang terlibat. Apabila penjenayah ditempat tersebut dapat menghidu masyarakat telah mula mengambil langkah berjaga-jaga sudah pasti ianya menyukarkan penjenayah untuk mengulangi jenayah mereka atau mereka akan pergi ke komuniti yang tidak mengambil berat dalam hal-hal pencegahan jenayah.

Satu lagi sikap masyarakat kita ialah tidak gemar untuk membuat laporan polis apabila berlaku sesuatu kejadian jenayah seperti kejadian rogol dan ragut. Pada mereka apa gunanya buat laporan polis, bukannya dapat ditangkap penjenayah tersebut atau bukannya dapat balik barangan yang diragut atau mungkin pada mereka kejadian itu hanya berlaku pada mereka sekali sahaja. Sekiranya jenayah ini tidak dilaporkan kepada pihak polis, bagaimana pihak polis hendak mengetahui kadar jenayah ditempat tersebut. Sekiranya banyak laporan jenayah dilaporkan ditempat tersebut sudah pasti polis akan mendapat banyak maklumat untuk membantu mereka mencegah jenayah tersebut. Malah laporan polis untuk cubaan rogol, ragut dan rompak juga perlu dibuat walaupun mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan atau kerugian.

Maka tidak hairanlah mengapa sekarang ini kita sering mendengar laporan akhbar mengenai kejadian rogol, ragut dan rompak dikalangan wanita namun langkah pencegahannya amat kurang kedengaran.

Wanita yang bersendirian dalam pelbagai keadaan sering menjadi mangsa. Wanita yang memandu boleh terjebak dalam jenayah ini apabila penjenayah dengan sengaja melanggar kereta mangsa. Wanita yang menaiki bas sendirian tanpa penumpang wanita lain. Wanita yang meletak kereta ditempat yang sunyi. Wanita yang menunggu bas sendirian tidak kira siang atau malam. Wanita yang berada dalam lif atau tangga sendirian. Malah ianya berlaku dalam tandas wanita apabila wanita itu bersendirian.

Jenayah rogol, ragut dan rompak di Malaysia ini hanya akan dapat dikurangkan jika semua pihak mengambil sikap pro aktif untuk melakukan tindakan pencegahan jenayah, bekerjasama dengan pihak polis dengan memberikan maklumat, bekerjasama dengan Kementerian Wanita untuk membantu mangsa. Masjid-masjid, gereja-gereja, kuil-kuil, balairaya-balairaya, sekolah-sekolah dan lain-lain tempat pertemuan awam adalah merupakan tempat yang sesuai untuk mengadakan taklimat serta penerangan berkenaan cara pencegahan jenayah disamping masyarakat setempat berkongsi-kongsi maklumat untuk mencegah jenayah ditempat mereka.

“Bersama Mencegah Jenayah”

Rozmal bin Malakan
Taman Alamanda , Senawang, NS
rozmal@yahoo.com
Laman web : http://waghih.blogspot.com