KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060510

Hitler pemimpin tentera Islam

Artikel ini disiarkan dalam akhbar Berita Harian 8 Mei 2006, ditulis oleh Norul Ridzuan Zakaria, Presiden Institut Kajian Aero dan Angkasa Malaysia. Ianya memberi dimensi baru kepada sejarah dunia. Apakah selama ini kita dihidangkan dengan banyak fakta sejarah yang tidak tepat?

Hitler pernah tubuh divisyen tentera Islam
Berita Harian 8 Mei 2006 - Oleh Norul Ridzuan Zakaria

PADA Perang Dunia Kedua, wujud satu pasukan tentera Jerman dianggotai oleh rakyat pelbagai negara di Eropah. Pasukan ini dikenali dengan nama ‘Waffen SS’ dan mempunyai anggota sebanyak sejuta orang.

Perkara yang menarik mengenai Waffen SS – ada beberapa divisyen tentera beragama Islam di dalamnya. Menurut General Leon Degrelle, seorang komander divisyen Waften SS terkenal, ada tiga divisyen Waffen SS yang 90 peratus anggotanya beragama Islam. Jumlah anggota dalam ketiga-tiga divisyen ini pula berjumlah 60,000 orang.

Di antara tiga divisyen tentera beragama Islam Waffen SS ini, divisyen tentera paling terkenal adalah Divisyen ke-13 Waffen SS Hanzar. Divisyen ini beroperasi di Balkan dengan 90 peratus anggotanya berbangsa Albania, Bosnia dan Croatia yang beragama Islam. Bakinya orang Croatia beragama Katholik yang berjumlah 21,000 orang.

Operasi Divisyen Hanzar ini mendapat perhatian Institut Kajian Aero dan Angkasa Malaysia (IKAM) kerana kejayaan operasi tentera udara sukarela Croatia yang menembak jatuh hampir 300 kapal terbang tentera udara Russia, sedangkan kapal terbang mereka dimusnahkan tentera udara Russia kurang daripada 10 buah ketika Perang Dunia Kedua di Balkan. Mungkin operasi Divisyen Hanzar ini mengelakkan wujudnya kemudahan persenjataan antikapal terbang di kawasan operasi mereka yang membolehkan tentera udara sukarela Crotia menjalankan operasi dengan berkesan.

‘Hanzar’ adalah perkataan Arab, Bosnia dan Croatia yang bermaksud ‘parang’. Parang hanjar dipilih sebagai nama rasmi dan juga simbol bagi Divisyen ke 13 Waffen SS.

Pakaian rasmi Divisyen Hanzar sama seperti pakaian rasmi Waffen SS yang lain. Cuma bezanya, Divisyen Hanzar memakai tarbus. Dari segi persenjataan, anggota pasukan ini juga dilengkapkan dengan senjata seperti anggota Waffen SS yang lain.

Ada seorang imam bagi setiap batalion dan seorang guru agama untuk setiap rejimen dalam Divisyen Hanzar. Ia bagi memastikan anggota divisyen ini terus mengekalkan cara hidup sebagai Muslim. Di samping itu, divisyen ini kerap menerima kunjungan mufti Baitulmaqdis ketika itu, Imam Amin Al-Husseini, yang melengkapkan pengisian rohani anggota divisyen ini.

Imam Amin dilantik sebagai Mufti Baitulmaqdis oleh Kerajaan Britain pada 1922. Pada tahun berikutnya, Imam Amin bergiat aktif membela masyarakat Palestin dan Arab dan menghalang imigrasi orang Yahudi Eropah ke Palestin.

Akibatnya, Kerajaan Britain melucutkan semua jawatan rasminya dan mengharamkan semua kegiatannya mulai 1937. Bagaimanapun, Kerajaan Britain gagal menangkap Imam Amin kerana beliau dilindungi masyarakat Palestin dan Arab.

Seterusnya, Imam Amin menyedari akan perkembangan politik dan pembangunan negara Jerman di Eropah yang dapat menyumbang kepada perjuangannya membela masyarakat Palestin dan Arab serta menghalang imigrasi Yahudi Eropah ke Palestin. Maka, bermulalah perhubungan politik antara Imam Amin dan Kerajaan Jerman pada ketika itu. Antara kegiatan yang kerap dijalankannya ialah melatih anggota Divisyen Hanzar.

Idea penubuhan Divisyen Hanzar dikemukakan Heinrich Himmier seorang komander tertinggi Waffen SS di Balkan kepada Adolf Hitler, pemerintah Jerman pada 1942. Ia selepas Himmier menyedari bahawa masyarakat Islam di Albania, Bosnia dan Croatia bersedia mengangkat senjata memperjuangkan kemerdekaan mereka dari Yugoslavia.

Hitler bersetuju dengan cadangan ini dan mengarahkan beberapa divisyen tentera beragama Islam diwujudkan di bawah Waffen SS di Yugoslavia. Maka, lahirlah Divisyen Hanzar pada Februari 1943.

Divisyen Hanzar dihantar mengikuti latihan ketenteraan di Perancis, sebaik penubuhannya dan mula beroperasi di Balkan pada Februari 1944.

Divisyen ini beroperasi dengan jayanya menentang gerila komunis Partisan pimpinan Josip Broz Tito dan juga tentera Russia. Apabila tamat Perang Dunia II, Tito menjadi Presiden Komunis Yugoslavia dan kekal sebagai diktator sehingga 1980.

Diakui wujud propaganda Yahudi dan Serbia yang mendakwa bahawa Divisyen Hanzar melakukan jenayah perang dengan membunuh ramai bangsa Yahudi dan Serbia di kawasan operasinya. Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan bahawa divisyen ini dianggotai orang Islam dan mendapat tunjuk ajar daripada Imam Amin adalah mustahil pembunuhan bangsa Yahudi dan Serbia ini dilakukan dengan sengaja, kecuali ada sebab kejadian itu berlaku.

Divisyen Hanzar menyerah kalah kepada pasukan tentera British pada Mei 1945, apabila pasukan tentera Jerman berundur dari Balkan. Tetapi, mereka diserahkan pula oleh pasukan tentera British kepada Kerajaan Yugoslavia.

Sebaik berada dalam tawanan Kerajaan Yugoslavia yang pada ketika itu diperintah diktator komunis Tito yang juga disokong Kerajaan British dan Amerika, saki baki anggota pasukan Divisyen Hanzar dibunuh.

Isu yang menarik berkenaan Divisyen Hanzar ini adalah kewujudannya sebagai sebahagian daripada Waffen SS iaitu pasukan tentera Eropah yang pada mulanya ditubuhkan bagi menghalang perkembangan fahaman komunis dari Russia. Seterusnya bagi menghadapi tentera Amerika dan Britain. Pasukan ini, walaupun diketuai oleh pegawai tentera Jerman, dibekalkan dengan persenjataan yang lengkap dan kebebasan penuh menjalankan tanggungjawab sebagai orang Islam.

Berdasarkan keadaan politik pada hari ini, tentu amat sukar bagi mewujudkan pasukan tentera beragama Islam seperti Divisyen Hanzar di Eropah.

Suatu lagi isu yang menarik adalah persetujuan Hitler menubuhkan Divisyen Hanzar dan toleransinya terhadap kegiatan anggota divisyen berkenaan yang majoritinya orang Islam. Sebelum ini begitu banyak fakta menjelaskan bahawa Hitler adalah seorang diktator yang kejam dan tidak bertoleransi terhadap keagamaan, apatah lagi Islam.

- Penulis ialah Presiden Institut Kajian Aero dan Angkasa Malaysia.

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Monday/Rencana/20060507232235/Article/