Harian Metro 11 Mei 2006
TAMPIN: Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Tampin Tengah, Ali Omar, kesal dengan sikap Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (Jains) yang didakwanya melengah-lengahkan pembaharuan surat kuasa pelantikan sukarelawan di kawasannya.
Ini berikutan, dia yang membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Gunung Emas, di sini, selepas menerima aduan ada pasangan disyaki berkhalwat gagal mengambil sebarang tindakan perbuatan remaja berusia lingkungan awal 20-an itu.
Menurutnya, dia menerima aduan itu pagi kelmarin tetapi menghadapi masalah untuk meminta bantuan kerana tiada pegawai berkaitan perkara itu.
“Saya pergi ke Jabatan Agama Islam Tampin, tetapi malangnya tidak ada pegawai untuk menahan pasangan terbabit.
“Seorang kerani menyuruh saya membuat laporan ke Seremban. Saya kemudian menemui seorang imam dan bilal di kawasan berdekatan tetapi mereka memaklumkan surat tauliah mereka sudah tamat beberapa bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata, akibat ketiadaan pegawai itu, pasangan yang disyaki berkhalwat dapat melepaskan diri.
“Saya meminta Jains segera memperbaharui tauliah yang diberikan kepada sukarelawan bagi membantu mereka membendung gejala sosial di kawasan ini,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Thursday/Setempat/20060511093039/Article/indexm_html