MALIK: Pemimpin muda tidak tahu tentang sejarah perjuangan bangsanya. Mereka melihat UMNO sebagai ejen untuk memudahkan mereka berniaga. UMNO sudah menjadi terlalu materialistik. Ini realitinya. Akhirnya, kita hilang pedoman. Inilah yang berlaku kepada dinosaur – besar tetapi akhirnya pupus. UMNO jangan jadi dinosaur.
MINGGUAN MALAYSIA 7 Mei 2006 - “UMNO jangan jadi dinosaur”
SEBAGAI seorang sejarawan yang kemudiannya menjadi orang politik, Malik Munip mempunyai satu perspektif yang cukup menarik tentang UMNO yang akan meraikan ulang tahunnya yang ke-60, Khamis ini.
Dalam wawancara bersama NOOR AZAM SHAIRI di pondoknya di Muar, Johor kelmarin, Malik melihat betapa masa depan UMNO dan orang Melayu khususnya akan banyak bergantung kepada sejauh mana mereka mampu memahami bukan hanya sejarah parti tetapi juga sejarah negara.
“Kalau mahu memahami kejayaan politik UMNO, kita mesti menggilap asal usulnya, tahu matlamatnya,” katanya.
Sepanjang perbualan yang bermula sebelum waktu Zuhur dan kemudian disambung semula selepas solat Jumaat, Malik berkali-kali menyebut tentang kekuatan orang Melayu yang tidak disedari oleh orang Melayu sendiri kerana pengaruh penjajahan minda.
“Kita harus kembali membaca dan memahami sejarah serta mengenal ketinggian kebudayaan kita,” katanya.
Sementara itu, dalam satu wawancara bersama SITI MARIAM MD. ZAIN melalui telefon di Kuala Lumpur, Tan Sri Aishah Ghani, 82, yang mengaku tidak begitu sihat bagaimanapun semacam mendapat kekuatan baru apabila diajak berbual mengenai UMNO.
Sebagai seorang yang menyertai UMNO sejak usia remajanya, tokoh veteran itu berasa cukup bertuah dapat melihat parti itu berkembang dan berjasa kepada bukan saja orang Melayu tetapi seluruh rakyat dan negara.
“Cabaran perlu ditangani dengan bijak oleh ahli-ahli dan pemimpin jika mahu UMNO terus relevan,” katanya terus terang sambil menegaskan berkali-kali tanggungjawab perlu dipikul dengan sebaik mungkin.
MINGGUAN: Apakah maknanya 60 tahun ini kepada UMNO dan orang Melayu yang diwakilinya?
MALIK: Pergerakan UMNO bertitik tolak daripada satu perkataan iaitu pembangunan. Ini bukan hanya sekadar pembangunan fizikal sebaliknya turut memelihara kedaulatan orang Melayu itu sendiri. Apa ertinya seseorang itu hebat dan berjaya tetapi dia menolak asal usulnya dan melihat orang Melayu dengan kebencian?
Saya tidak nafikan ada ramai orang Melayu yang hebat dan berjaya dan menjadi bertambah Melayu, cuma mereka itu tidak sibuk dengan UMNO. Masalahnya sebahagian daripada kita tanpa sedar semacam taksub menolak warisan, menyangkakan warisan itu menjadi penghalang kepada kemajuan.
Apakah betul sangkaan itu?
MALIK: Nilai Melayu sebenarnya telah dimanipulasikan. Kita misalnya dilatih untuk percaya bahawa orang Melayu mundur kerana berpegang kepada nilai biar mati anak, jangan mati adat. Tanpa sedar kita terperangkap dalam satu aliran pemikiran yang kita sendiri tidak faham. Kita mengutuk diri sendiri. Nilai Melayu yang tinggi itu kita pijak dan buruk-burukkan. Kita tidak sedar bahawa pepatah itu menunjukkan konsep keadilan Melayu yang bersendikan agama Islam – demi ketinggian martabatnya, hukum tidak boleh digadaikan.
Kalau kita lihat nilai etika kerja Melayu pula nilai itu sebenarnya jauh lebih baik daripada orang Jepun – daripada sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit, seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan sampailah kepada yang lebih grafik, genggam bara api biar sampai jadi arang. Apakah tidak tinggi nilai etika itu – selagi diberi tugas, kita jangan sama sekali mengalah biarpun terpaksa menderita? Ada kalanya kita gagal, dan pada saat itu kita pulang kepada qadak dan qadar Ilahi – rezeki secupak tidak akan jadi segantang. Ketika gagal, kita sebaliknya berjaya meningkatkan keimanan.
Inilah nilai-nilai baik yang berakar umbi dalam jiwa orang Melayu tetapi telah ditafsirkan dalam kerangka yang menjijikkan. Ini sebahagian daripada penjajahan minda, sehingga kita menganggap warisan kekuatan itu beban yang menjijikkan. Pedih dan sedih sebenarnya. Orang Melayu harus memulihkan kesedaran tentang asas kekuatan mereka.
Bagaimana?
MALIK: Kita harus kembali membaca dan memahami sejarah serta mengenal ketinggian kebudayaan kita. Pelayar yang mengelilingi dunia, Datuk Azhar Mansor ketika ditanya mengenai inspirasinya, mengatakan lebih kurang begini: “Aku lakukan ini kerana datuk nenek aku pernah mengelilingi dunia dengan serba kekurangan. Aku adalah pewaris kepada tradisi keberanian itu.”
Kekuatan yang ada pada orang Melayu itu bukanlah sesuatu yang baru. Kita hanya menghidupkan semula nilai yang ada dalam tradisi. Kita harus jadi seperti orang Korea dan Jepun yang maju kerana kekuatan tradisi mereka, dari sastera dan budaya.
Kita harus ada program yang rapi untuk ini; tidak payah sibuk berbunyi tetapi buat belum pasti. Kita harus melakukan ini sampailah kita mampu berkata dengan penuh yakin bahawa menjadi orang Melayu dan manusia yang maju adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan.
Kita selalu mendengar pelbagai kritikan tentang sikap orang Melayu, tentang sukarnya menukar budaya dan kaitannya dengan kemajuan dan pembangunan. Pandangan saudara?
MALIK: Ini sebenarnya tidak ada kena-mengena. Pemenang Hadiah Nobel Ekonomi, Robert Solow pernah mengatakan bahawa turun naiknya perkembangan ekonomi dalam sesebuah masyarakat itu tidak ada kena-mengena dengan kebudayaan dan nilai masyarakat itu. Prof. Diraja Ungku Aziz, yang lebih dekat dengan kita di sini, mencerakinkan kemiskinan luar bandar dan menulis enam atau tujuh kertas kerja yang hebat. Tidak ada satu pun analisisnya itu menghubungkaitkan kemiskinan dengan soal budaya dan nilai.
Ini proses peminggiran ekonomi bumiputera yang dimulakan oleh penjajah tetapi kita tidak nampak dan tidak faham. Chai Hon Chan dalam bukunya The Development of British Malaya 1896-1909 menunjukkan bagaimana pembangunan British mengelak kawasan Melayu – Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh dan Taiping. Orang Melayu hanya tinggal di kawasan pesisir yang tidak dibangunkan; Jugra di Selangor contoh yang terbaik – daripada sebuah pelabuhan, ia menjadi bandar yang sunyi, daripada sebuah bandar akhirnya menjadi kampung. Orang Melayu apabila tidak faham semua ini akan mengutuk diri sendiri.
Tidakkah kutukan itu menjadi cabaran?
MALIK: Proses mengutuk diri itu akhirnya melahirkan generasi yang meyakini inilah sifat-sifat Melayu yang sebenar. Orang Melayu akan membenci warisannya sendiri termasuklah UMNO. Orang Melayu akan hilang kebanggaan diri. Kata Ibnu Khaldun, masyarakat yang hilang harga diri tidak mungkin boleh mencipta kejayaan.
Masyarakat yang kuat harus ada esprit de corps atau semangat kekitaan yang kuat, bangga dengan warisannya. Jepun dan Jerman, negara yang cukup maju itu semangat kekitaan masyarakatnya cukup kuat. Kita? Kita hancurkan. Kita cemuh dan kutuk orang Melayu. Sekarang ini macam-macam isu ditimbulkan termasuklah mempersoalkan DEB.
Bagaimanakah saudara melihat perjuangan UMNO?
MALIK: Ada pemimpin UMNO yang berkata, UMNO ejen perubahan. UMNO tidak perlu berbicara tentang perubahan tetapi sebaliknya pembangunan dan kemajuan. Ini kerana baik disebut atau tidak, perubahan memang tetap akan berlaku. Falsafah pergerakan UMNO bukan perubahan tetapi pembangunan iaitu untuk menjadikan orang Melayu sebagai induk dalam semua bidang.
Kita wajib menterjemahkan kedudukan orang Melayu yang induk dalam semua bidang penghidupan. Alhamdulillah, orang Melayu menjadi induk dalam politik. Dalam soal ekonomi, masih jauh lagi tetapi dalam bidang pendidikan, kita sedang berkembang ke arah itu. Apa yang lebih kompleks ialah membina keperibadian bangsa berdasarkan tradisi keperibadian tempatan.
Apakah cabaran yang dihadapi oleh UMNO?
MALIK: Musuh nombor satunya ialah pembalingan idea yang boleh menimbulkan syak wasangka tentang kesahihan perjuangannya. Musuh orang Melayu dari awal Bismillah tahu tentang ini. Apabila ada orang mempersoalkan kesahihan perjuangan UMNO dengan melontarkan konsep keadilan sosial dalam pengagihan ekonomi, ada orang Melayu yang termakan dengan idea itu.
Kita jangan terlupa tentang proses peminggiran ekonomi yang dilakukan oleh penjajah. Masalahnya kita tidak faham tentang peminggiran itu dan diasuh supaya meyakini bahawa ia terjadi kerana salah kita sendiri. Akibatnya, kita melahirkan generasi yang otaknya terbelenggu dengan perancangan penjajah – mengutuk diri sendiri, menyalahkan budaya dan nilai, dan sebagainya. Kita tersisih kerana kita tidak memahami proses penjajahan.
Apakah kelemahan yang mungkin tidak disedari oleh UMNO?
MALIK: Orang Melayu selalu segan hendak mengaku hal-hal yang baik yang ada dalam budaya dan tamadunnya. Ini sense of apologia yang menggilakan sehingga kita waswas mahu melangkah ke depan, betul atau tidak setiap tindakan.
Saya pernah berjumpa dengan seorang graduan Jerman yang lulus ijazah kelas pertama dari University of Edinburgh dan bertanya tentang kejayaannya. Katanya: “Saya berjaya kerana saya orang Jerman.” Dia memahami kekuatan bangsanya, dan menjadikan itu sebagai asas kejayaannya.
Tetapi sejak akhir-akhir ini, setiap sesuatu yang melambangkan kecemerlangan Melayu cuba digambarkan sebagai mengaibkan. Proton yang melambangkan pencapaian kita yang luar biasa dalam bidang industri tinggi misalnya dalam masa beberapa tahun ini diberikan pelbagai gambaran yang negatif. Kita terlupa bahawa ini adalah soal membangunkan kemahiran dan kemampuan.
Ini namanya capacity building, bukan untung rugi. Kalau kita sudah melahirkan beribu-ribu jurutera Melayu yang mahir di Proton, kita tidak usah bertanya ia untung atau rugi kerana itu capacity building untuk jangka panjang. Capacity building itu adalah asas untuk mencipta wang, membina kekayaan dan mencipta kejayaan.
Itu sebabnya saya tidak faham kenapa Proton, dan satu lagi MAS, dipamerkan sebagai lambang kehancuran. Kita harus faham dan ambil tahu sejarah MAS. Saya dahulu mengajar sejarah ekonomi, dan saya berusaha untuk mengetahui hal-hal ini.
Saya bangkitkan semua ini kerana sedih melihat pemerahan kepada orang Melayu dalam sejarah. Semasa zaman penjajah ketika teh mula muncul sebagai tanaman komersial, semua geran tanah milik orang Melayu dicap tidak boleh tanam teh. Getah pun begitu juga. Ini proses peminggiran ekonomi orang Melayu, panjang ceritanya.
Sejauh manakah sumbangan UMNO dalam pembinaan ekonomi?
MALIK: UMNO satu-satunya parti politik bumiputera yang secara konkrit mempunyai rancangan ke arah memecahkan belenggu daripada colonial economy yang diwarisinya. Ia sudah mula membuka ruang dengan membina ekonomi nasional. Kalau sesuatu bidang itu masih dikuasai oleh satu kaum tertentu misalnya, bidang itu tidak mencerminkan komponen masyarakat negara ini – masih lagi colonial economy. Dalam hal ini kita masih belum berjaya sepenuhnya. Kita kurang berkesan.
Apa sebabnya ia kurang berkesan?
MALIK: Ini berbalik kepada soal tadi, penjajahan minda. Memberi bantuan kepada orang Melayu dianggap sebagai subsidi. Itu bukan subsidi tetapi memulangkan hak yang dinafikan dalam sejarah. Ini hutang negara kepada orang Melayu yang diwarisi daripada penafian penjajah terhadap hak bumiputera di buminya sendiri.
Tetapi ada juga pemimpin Melayu yang menyangka menolong orang Melayu itu sebagai satu anugerah, satu sedekah. Kepada saya, pandangan yang sebegini adalah satu dosa kerana kegagalan memahami sejarah ekonomi bangsanya sendiri. Ini bukan sedekah tetapi sebahagian daripada tanggungjawab untuk memulangkan hak. Orang Melayu bukan meminta sedekah tetapi menuntut hak.
Malangnya ada juga orang Melayu termasuk di dalam UMNO yang menganggap ini semua adalah historical garbage yang harus ditolak ke tepi.
Kenapa sejarah ini penting untuk difahami?
MALIK: Pertama, kita akan lebih mengenal diri sendiri kerana hak-hak kita berkait rapat dengan pemahaman kita mengenai sejarah. Kedua, kita akan tahu arah yang hendak dituju dan ketiga, untuk mengelak kita terperangkap dalam idea-idea yang mahu memesongkan pemikiran orang Melayu.
Apabila terperangkap dalam idea globalisasi misalnya, kita akan merasakan aspirasi nasional itu begitu terasing dan kecil. Globalisasi itu pula diberikan takrif yang sangat sempit iaitu perdagangan. Ia pula disifatkan sebagai satu arus – menentang bererti melawan arus, melawan proses semula jadi. Liberalisasi melalui globalisasi itu sendiri adalah satu penipuan, seperti kata Joseph Stiglitz.
Apakah yang orang perlu faham tentang UMNO?
MALIK: UMNO adalah bahtera perjuangan bangsa yang diwariskan untuk generasi akan datang. Itu kata Pendeta Za’aba. Dalam gagasan sebuah bahtera yang besar yang merangkumi segala macam manusia itu tentulah akan muncul watak-watak yang membuatkan kita jadi meluat. Tetapi rasa meluat itu bukan asas untuk kita menghancurkannya, pecahkan bahtera itu. Kita perlu perbaiki.
Apakah banyak watak yang meluatkan itu?
MALIK: Mereka yang tidak peduli tentang apa yang kita bincangkan ini. Aneh atau tidak, pada saat orang Melayu papa kedana kekuatannya hampir tidak ada tolok bandingnya tetapi ketika berjaya dan dianugerahkan rezeki melimpah, rezeki itu pula yang melemahkannya? Semasa UMNO ditubuhkan dulu orang Melayu miskin tetapi semangatnya cukup kuat pantang berundur tetapi kenapa sekarang ini luntur dan terhakis kerana harta? Kenapa?
Mereka yang mempersoalkan DEB itu sebenarnya adalah orang yang mendapat banyak manfaat daripada DEB. Mereka inilah yang terperangkap dengan idea-idea yang menjadi musuh itu. DEB selalu dikritik kerana tidak menyediakan padang yang sama rata. Tetapi masalahnya orang Melayu sejak dulu hanya jadi pemerhati di tepi padang apalagi hendak cerita duduk dalam padang.
Pada usianya 60 tahun ini, bagaimanakah kedudukan UMNO menghadapi sumpah generasi ketiga – generasi pertama membina, generasi kedua menikmati dan generasi ketiga menghancurkan.?
MALIK: Kita mesti berikhtiar bertungkus lumus memelihara supaya sumpah yang terbukti dalam banyak organisasi di dunia ini tidak berlaku kepada UMNO.
Apakah tanda-tanda itu sudah ada?
MALIK: Ada. Pemimpin muda tidak tahu tentang sejarah perjuangan bangsanya. Mereka melihat UMNO sebagai ejen untuk memudahkan mereka berniaga. UMNO sudah menjadi terlalu materialistik. Ini realitinya.
Ahli falsafah, John Dewey mengatakan bahawa organisasi pada mulanya menjadi alat untuk mencapai sesuatu. Setelah berkembang, ia akan sampai kepada satu peringkat apabila budaya organisasi itu kemudiannya menyebabkan ahli-ahlinya menjadi alat kepada organisasi tersebut. Winston Churchill juga mengatakan hal yang sama, iaitu pertama kita membentuk institusi dan kemudian institusi itu pula yang membentuk kita.
Akhirnya, kita hilang pedoman.
Inilah yang berlaku kepada dinosaur – besar tetapi akhirnya pupus. UMNO jangan jadi dinosaur. Kita jangan terlalu syok dengan jumlah ahli tetapi perlu sibuk membina kualiti ahli. Kalau boleh biar dapat kedua-duanya sekali – ahli yang banyak dan berkualiti.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0507&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_01.htm&arc=hive