KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060518

Mufti Selangor Dedah Gerakan Memurtadkan Orang Islam

Harian Metro 18 Mei 2006 . Edisi KL: Racun akidah saudara baru

KUALA LUMPUR: Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, mendedahkan kegiatan satu kumpulan yang giat menjalankan gerakan di Selangor untuk memujuk dan membela saudara baru supaya kembali menganut agama asal mereka.

Beliau berkata, kumpulan terbabit dikesan melantik panel peguam yang memperjuangkan hak kebebasan beragama menggunakan Artikel 121 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, mereka bukan saja membela golongan yang kembali murtad, malah memperjuangkan agar seseorang yang baru dilahirkan, diberi kebebasan memilih sendiri agama yang hendak dianuti dan bukan lagi berdasarkan keturunan keluarga mereka.

Sebelum ini, isu M Moorthy atau nama Islamnya, Mohammad Abdullah mengejutkan negara apabila keluarganya mendakwa tidak mengetahui arwah sudah memeluk Islam ketika jenazahnya hendak dikebumikan.

Keluarganya mahu jenazah bekas komando itu dikebumikan mengikut ajaran agama Hindu tetapi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mempunyai rekod pertukaran agama sekali gus mempengaruhi keputusan Mahkamah Syariah supaya dikebumikan mengikut Islam.

Mohd Tamyes berkata, sebenarnya seseorang yang lahir dalam keluarga Islam secara automatik beragama Islam kerana ia adalah anugerah Allah.

“Oleh itu umat Islam dinasihatkan memperkukuhkan iman dan berjuang menegakkan Islam walaupun ada pihak cuba mempengaruhi mereka,” katanya berucap pada Majlis Penerangan Ajaran Salah/Sesat di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Pandan Indah, di sini semalam.

Beliau berkata, sebelum ini ada usaha pihak tertentu mengkristiankan orang Islam, tetapi tidak berjaya walaupun segelintir daripada mereka terpengaruh dengan tawaran menarik dan kini mereka mengubah taktik, termasuk meracunkan fikiran umat Islam dengan fahaman Islam Liberal.

“Saya juga terkejut apabila kitab Injil yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu dibawa masuk ke negara ini menerusi Persatuan Melayu Kristian Malaysia yang berdaftar,” katanya.

Mohd Tamyes berkata, Islam dan agama lain memang berbeza namun ada pihak cuba menimbulkan kekeliruan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/HM/Thursday/Setempat/20060518094148/Article/indexm_html