KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060525

Penjenamaan semula KUSZA satu kerugian

Pada 19 April 2006 yang lalu Dewan Undangan Negeri Terengganu telah bersetuju untuk membubarkan KUSZA (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin) yang bakal digantikan dengan penubuhan Universiti Darul Iman.

Sekali lagi institusi pendidikan negara ini bakal menghadapi episod malang apabila satu demi satu institusi pendidikan bersejarah yang penun nostalgia diberi penjenamaan semula atas alasan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara.

Benarkah dengan penjenamaan semula akan meningkatkan kualiti pendidikan negara justeru meningkatkan lagi kualiti graduan yang dilahirkan ?

Kita ambil contoh yang paling mudah, sebuah institusi pengajian tinggi yang terletak di Cambridge, Massachusetts, Amerika Syarikat yang diberi nama Massachusetts Institute of Technology yang telah ditubuhkan pada tahun 1861. Sejak dari tahun 1861 hinggalah sekarang Massachusetts Institute of Technology atau lebih dikenali sebagai MIT masih lagi mengekalkan nama yang sama. Malah logo MIT yang dianggap ketinggalan zaman iaitu logo yang menggambarkan seorang lelaki dan seorang wanita berpakaian abad ke 19 itu masih dikekalkan. MIT tidak pernah ditukar nama ke Massachusetts University of Technology untuk meningkatkan kualiti para graduan atau ditukar logonya untuk mengikuti perkembangan semasa.

Namum MIT pada tahun 2005 telah menduduki ranking kedua daripada 200 universiti dan menduduki tempat pertama dari seluruh dunia dalam bidang teknologi, rangking ini telah dikeluarkan oleh The Times Higher Education. Banyak lagi kejayaan dan kecemerlangan yang telah dilahirkan oleh pensyarah, pelajar serta bidang penyelidikan dan pembangunan MIT.

Akan tetapi berlaku sebaliknya pula di Malaysia, di mana kita berlumba-lumba untuk menjenamakan semula institusi pendidikan negara atas harapan ianya dapat melahirkan graduan yang lebih berkualiti. Kita telah kehilangan ITM (Institut Teknologi MARA) yang telah ditukar ke UiTM (Universiti Teknologi MARA). Mengapa tidak dikekalkan ITM, dan dibina satu universiti dan kampus baru untuk UiTM ? Kita telah kehilangan UPM (Universiti Pertanian Malaysia) yang telah ditukar ke Universiti Putra Malaysia, akibatnya apabila Malaysia hendak menggalakkan semula projek Buku Hijau , kita tidak ada universiti yang boleh dikaitkan secara langsung dengan bidang pertanian. Kita telah kehilangan Maktab Perguruan Sultan Idris yang telah ditukar ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) , akibatnya graduan-graduan daripada UPSI sukar untuk diserapkan sebagai guru dalam Kementerian Pelajaran kerana UPSI terletak dalam bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi sementara penempatan guru ke sekolah-sekolah kebangsaan dalam bidang kuasa Kementerian Pelajaran yang semestinya memberi prioriti kepada graduan tajaan Kementerian Pelajaran sendiri.

Apakah penjenamaan semula KUSZA ini adalah merupakan satu lagi episod malang dalam sejarah pendidikan negara. Kenapa tidak dikekalkan sahaja KUSZA dan dibina satu univeristi dan kampus baru yang diberi nama Universiti Darul Iman , kerana negeri Terengganu adalah sebuah negeri yang amat kaya dengan hasil minyak. Apakan institusi beraja tidak mahu mengekalkan nama unik yang terdapat pada Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin ? Apakah tidak berlaku pembaziran apabila lambang dan nama KUSZA ditukar ke Universiti Darul Iman pada papan-papan tanda, surat menyurat dan sebagainya ?