Alhamdulillah, akhirnya tapak pelupusan sampah di Chembong, Rembau , Negeri Sembilan telah ditutup. Semuanya dengan izin Allah hasil usaha beberapa individu di kawasan tersebut yang membuat laporan melalui e-mel kepada Menteri Besar, EXCO, Jabatan Alam Sekitar, TV3 dan sebagainya. Walaupun berita mengenai tapak pelupusan sampah di Chembong ini tidak tersiar dalam akhbar namun dalam masa tidak sampai sebulan setelah e-mel dihantar arahan telah dikeluarkan untuk menutup tapak pelupusan sampah tersebut dan dipindahkan ke Port Dickson.
Tapak pelupusan sampah di Chembong dibawah kelolaan Majlis Daerah Rembau telah digunakan oleh pihak kontraktor Majlis Perbandaran Seremban dan beberapa industri sekitar Negeri Sembilan sejak 2-3 tahun lalu untuk membuang sampah dan lain-lain sisa industri.
Tapak pelupusan sampah yang pada asalnya hanya digunakan oleh Majlis Daerah Rembau ini telah menyebabkan ketidak selesaaan kepada penduduk sekitar, kerana tapak pelupusan sampah ini begitu hampir dengan kawasan kampung, taman perumahan dan jirat Cina , serta jalan utama Seremban – Rembau.
Sekali lagi hasil usaha penduduk setempat yang bangkit melaporkan perkara ini secara terus kepada pihak yang berwajib telah menyelamatkan keadaan di kampung mereka sendiri.
Penduduk setempat haruslah peka akan apa yang berlaku di sekitar mereka dan bangkit melakukan sesuatu tindakan yang pro aktif tanpa mengharapkan semata-mata kepada pihak tertentu untuk membela nasib mereka.
Jika tidak kita , siapa ? Jika tidak sekarang, bila ? Jika bukan di sini, di mana ?
If not us , who ? If not now, when ? If not here , where ?