Sebagai seorang Melayu saya terasa terhina apabila Bahasa Melayu tidak digunakan sepenuhnya di dalam negara apatah lagi di luar negara. Malah dikatakan Melayu ini mundur kerana tidak mahir dalam Bahasa Inggeris lalu diambillah pendekatan supaya matapelajaran Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris dengan harapan supaya pelajar-pelajar Melayu dari peringkat sekolah rendah lagi sudah mahir dalam Bahasa Inggeris.
Namun sekarang lain pula ceritanya, apabila terdapat beberapa firma di negara ini pula mensyaratkan sesetengah jawatan itu calon hendaklah mahir dalam Bahasa Mandarin. Apakah selepas ini Kementerian Pelajaran akan ambil pendekatan supaya matapelajaran Ekonomi dan Perdagangan di ajar Bahasa Mandarin pula ?
Setiap orang digalakkan mempelajari pelbagai bahasa mengikut kemampuan mereka. Kerana bahasa adalah kunci ilmu. Namun janganlah kita lupa Bahasa Melayu juga adalah merupakan salah satu daripada kunci-kunci ilmu tersebut.
Untuk memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat dunia, pemimpin-pemimpin kita haruslah menunjukkan contoh tauladan. Apa salahnya jika pemimpin-pemimpin kita ketika berucap di persidangan antarabangsa atau persidangan luar negara seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mereka berucap dalam Bahasa Melayu ? Kita lihat negara kuasa-kuasa besar tanpa segan silu berucap dalam bahasa ibunda mereka dalam persidangan dunia.
Lihat sahaja bagaimana Presiden Russia Vladimir Putin berucap dalam Bahasa Russia, malah membawa jurubahasa ke mana sahaja di pergi. Begitu juga dengan Presiden Iran Ahmadinejad yang berucap dalam Bahasa Parsi dalam persidangan antarabangsa malah dalam dailog pertemuan dengan pemimpin-pemimpin negara lain.
Ini bukanlah bermakna pemimpin-pemimpin Russia, Iran, China, Jepun dan sebagainya tidak mahir dalam Bahasa Inggeris, akan tetapi inilah cara mereka sebagai pemimpin untuk menunjukkan kepada rakyat mereka cintakan bahasa mereka sendiri disamping mempelajari bahasa asing yang lain.
Tidak hairanlah Bahasa Melayu yang ada sekarang ini semakin hari semakin hilang seni budayanya apabila terlalu banyak bahasa rojak dan bahasa pasar yang diamalkan dalam kehidupan seharian kita.
Apakah satu hari nanti Bahasa Melayu akan berkumandang dalam dewan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Bahasa Melayu akan hanya tinggalk sebagai matapelajaran tunggal di negara ini, sementara matapelajaran lain akan diajar mengikut citarasa peluang pekerjaan yang ditawarkan di Malaysia ini ?
Sesungguhnya Allah swt menciptakan manusia ini bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar mereka saling kenal mengenali antara satu sama lain.
Rozmal bin MalakanKg Bongek, Rembau, NS