KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20060620

Pemuda PAS gesa Tun Mahathir – Pak Lah berdamai

Oleh Saidatul Amani KUALA LUMPUR, 20 Jun (Hrkh) - Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat akan meneruskan agenda bersama tokoh-tokoh negara bagi membincang serta menangani isu semasa yang banyak menimbulkan kontroversi negara serta masyarakat hari ini.

Empat pimpinan tertinggi Pemuda PAS Pusat, Ketuanya Salahuddin Ayub; Timbalan, Ustaz Idris Ahmad; Naib, Mazlan Aliman dan Setiausahanya, Ahmad Shabki Mohd Yusof telah mengadakan perbincangan selama dua jam dengan Tengku Razaleigh Hamzah di kediamannya, di Jalan Langgar Golf, Ampang, semalam.

Menurut Mazlan, perbincangan itu lebih pada soal perpaduan orang Melayu ekoran berlakunya krisis antara Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Dalam perbincangan itu, Pemuda menekankan bagaimana langkah yang seharusnya diambil untuk merapatkan kembali hubungan antara Abdullah dengan Mahathir dan begitu juga isu berkaitan dengan jambatan bengkok serta masa depan ekonomi orang Melayu.

Mazlan melaporkan, Razaleigh mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh PAS terutama langkah yang disebut oleh Salahuddin dalam ucaptamanya di Muktamar Pemuda di Guar Cempedak, 6 Jun lalu.

"Razaleigh berharap langkah itu dapat diteruskan bukan sahaja mengadakan perbincangan dengannya tetapi perlu diadakan bersama Anwar Ibrahim, Mahathir dan para intelektual Melayu yang sepatutnya memainkan peranan yang agresif," jelas beliau.

Mazlan yakin Razaleigh mengikuti perkembangan dalam PAS dan juga Muktamar sehingga beliau boleh membuat perbandingan antara kepimpinan PAS dahulu dengan sekarang.

Beliau berkata, selepas ini Pemuda PAS Pusat akan teruskan pertemuan dan akan membuat undangan kepada Razaleigh dalam seminar, forum terutama berkaitan isu umat Islam dan Melayu.

Bagaimanapun, beliau berharap langkah yang diambil oleh Pemuda itu jangan sampai ada satu tanggapan negatif yang mendakwa seolah-olah Pemuda PAS mahu melupakan sejarah kezaliman yang dilakukan oleh pimpinan Umno terhadap PAS. - mks.

http://www.harakahdaily.net/v06/index.php?option=com_content&task=view&id=2776&Itemid=28