KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20100621

Guru tiada masa untuk keluarga


Pada ketika penjawat awam lain sedang kelam-kabut menuju ke tempat mesin perakam waktu, guru-guru kita sudah sampai ke sekolah seawal jam 7 pagi lagi. Jika lewat, alamat sesi pembelajaran turut bermula lewat. Apabila setiap Sabtu pun perlu bekerja, apa pula nasib anak-anak dan suami atau isteri yang tidak sempat bersama untuk menghabiskan masa senggang.

Jangan lupa 26 Jun 2010 ini , 15,000 guru seluruh Negeri Sembilan akan diraikan pada hari SABTU JAM 8 MALAM. Kisahnya di SINI

*************************
Harian Metro 21 Jun 2010

GOLONGAN guru ibarat dian yang membakar diri. Tanpa guru sudah pasti surat atau e-mel ini pun tidak dapat ditulis oleh saya. Ada pandangan sinis mengatakan guru sudah ada cuti sekolah yang panjang sebagaimana murid mereka setiap tahun sedangkan guru perlu bertugas sepanjang tahun bagi meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa menurut arahan pengetua atau guru besar.

Peranan guru bukan setakat memikirkan masalah murid yang puluhan orang di sekolah, malah ada yang termimpi-mimpi akan prestasi keputusan peperiksaan utama yang bakal keluar kelak.

Jika prestasi merudum, alamat kelas tambahan akan bertambah-tambah dan masa guru terutama guru wanita dengan anak-anak dan suami akan semakin berkurang pada tahun depan. Pengetua juga perlu memikirkan bagaimana mahu meningkatkan prestasi pelajar pada waktu belajar dari jam 7.40 pagi hingga 2 petang.

Pada ketika penjawat awam lain sedang kelam-kabut menuju ke tempat mesin perakam waktu, guru-guru kita sudah sampai ke sekolah seawal jam 7 pagi lagi. Jika lewat, alamat sesi pembelajaran turut bermula lewat. Apabila setiap Sabtu pun perlu bekerja, apa pula nasib anak-anak dan suami atau isteri yang tidak sempat bersama untuk menghabiskan masa senggang.

Perlu diingat, guru juga seorang ibu dan bapa, juga anak kepada ibu bapanya yang sudah tentu mempunyai tanggungjawab moral dan agama untuk dipenuhi. Namun, jika masa mereka habis di sekolah kelak akan jadi seperti pepatah, ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.’

Maka perlu ada ruang untuk semua guru mendapat cuti setiap Sabtu dua kali sebulan dan setiap pengetua perlu memperkasakan pengajaran di waktu pejabat supaya kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum tidak selalu diadakan setiap Sabtu.

Sewajarnya gelaran sekolah berprestasi tinggi (SBT) tidak menjadi faktor pendesak kepada pengetua dan guru besar untuk memperhebatkan usaha mencapai tahap itu. Ini akan menjadikan guru subjek teras untuk peperiksaan akan lebih tertekan untuk memperbanyakkan kelas dan latih tubi yang akhirnya menjadikan mereka sibuk 24 jam membuat kertas soalan dan modul lebih mesra pelajar. Jika sekolah mencapai tahap terbaik, apa faedahnya kepada guru yang hilang banyak masa dengan keluarga mereka.

Guru juga adalah manusia yang mempunyai had kesihatan tertentu. Jika keringat mereka diperah, takut mereka hilang minat untuk mengajar akibat keletihan fizikal dan minda. Kita sedia maklum ada sekolah aliran lain menetapkan masa bekerja guru mereka dari jam 7 pagi hingga 4 petang.

Jika Sabtu pun mereka terpaksa bekerja, bayangkan bila mereka dapat mendidik anak sendiri dengan lebih berkesan. Takut nanti kera di hutan kenyang disusukan, anak di rumah merintih merayu untuk mendapatkan perhatian.

Justeru, masanya sudah tiba untuk kita lebih empati dengan masalah guru yang bekerja demi kecemerlangan anak-anak murid mereka. Cabaran SBT perlu disahut oleh pengetua dan guru besar dengan lebih rasional. Memang wujud sekolah yang lemah dalam pencapaian, maka perlu sekolah itu dibantu secara menyeluruh oleh setiap Jabatan Pelajaran daerah dan jangan membiarkan rencana setiap pengetua dan guru besar memberi kesan domino negatif kepada guru-guru yang mempunyai keterbatasan minda dan fizikal.

Cuti memang penting sebagai masa guru melapangkan dada dan fikiran daripada memikirkan masalah di sekolah.

Inilah masa ibu bapa mengambil alih sekejap tugas seorang guru dengan mengajar anak-anak mana yang perlu. Jangan jadikan guru sebagai pengajar sepenuh masa hingga masa rehat mereka turut menjadi mangsa kita.

ABDUL RAZAK IDRIS
Banting

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/e-melanda_Gurutiadamasauntukkeluarga/Article

Tiada ulasan: