Datuk saya Kamaruddin bin Abdullah (mantan Tok Montoghi atau Tok Menteri) dari Kampung Tanjung, Gadong, Kota, N.Sembilan telah meninggal dunia pada 21 November 2010. Sekiranya almarhum datuk saya ada melakukan kesilapan kepada sesiapa yang mengenali beliau , saya mohon dimaafkan. Sekiranya almarhum datuk saya ada berhutang kewangan bolehlah tuntut daripada saya atau ayah saya atau waris terdekat yang lain.
Alhamdulillah majlis pengkebumian telah berjalan lancar. Saya juga sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam majlis tersebut , terutama Tuan Imam Masjid Gadong Cikgu Rahman, Buapak Cikgu Hassan, Pasukan Penggali Kubur yang diketuai oleh Abang Sahak, Team Mandi dan Kafan yang diketuai oleh Amir, juga pemandu van jenazah.
Pada pandangan saya, pasukan pengurusan jenazah Kg Gadong adalah yang terbaik yang saya pernah berurusan. Walaupun mereka ini merupakan orang kampung sahaja, tetapi mereka dari golongan yang muda dan masih sihat. Susah nak dapat team pengurusan jenazah dari kumpulan muda sebegini. Malahan di bandar sekali pun, seperti di Senawang, team pengurusan jenazah ini terdiri dari otai-otai yang uzur.
Justeru itu semua pihak perlulah menarik minat golongan muda menyertai team pengurusan jenazah. Mungkin dengan Tema SERONOKNYA MANDI JENAZAH, POTONG KAPAN, GALI KUBUR
Apa yang seronok mandi jenazah ? Seronok, inilah kali terakhir kita dapat berbakti kepada datuk kita, memandikannya di atas riba. Pengalaman mandi jenazah atas riba susah nak dapat sekarang, melainkan di kampung. Tak suka ke, dapat juga mandi datuk atas riba kita sendiri, kalau kita tak banyak berbakti kepada orang tua kita, atau memandikannya sebelum ini, dapat juga mandikan mereka pada kali terakhir.
Walau bagaimanapun sebagai anak atau cucu, berbakti kepada orang tua bukan setakat memandi, mengkafan dan mengkebumikan mereka. Yang penting ialah menjadi anak dan cucu yang soleh. Anak dan cucu yang soleh, setiap amalan soleh kita akan menggembirakan orang tua kita dalam kubur.
Hidup di dunia hanya sementara, hidup di akhirat kekal selama-lamanya.
Nota : Sempat berbual dengan AJK Masjid Gadong mengenai van jenazah. Saya kata kepada mereka masa Masjid Gadong baru dapat van jenazah 2 tahun lepas saya sempat memandunya. Tapi kena tolak nak start kerana bateri flat. Saya kata van jenazah ni kalau tak guna, kena start dan bawa selalu. Mereka pun kata begitu, tu sebabnya mereka bawa van jenazah tu pergi ronda-ronda, sebab sepanjang tahun ini hanya 4 kali van tersebut di pakai. Tapi bila bawa ronda-ronda orang pertikaikan kenapa bawa van untuk kepentingan individu. Saya kata, pedulikan apa orang nak kata, mereka perlu tahu bukannya senang nak urus jenazah ni dari A sampai Z, tambahan team Gadong ni bertugas secara sukarela bukan komersial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan