KASIH SAYANG

KASIH SAYANG

20101111

Teropong bulan, buat roket, belajar parang cuti sekolah

Cuti sekolah tak lama lagi. Banyak aktiviti boleh dibuat di peringkat surau dan taman. Semua pihak dialu-alukan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti. Majlis Agama, Jabatan Mufti pun boleh sediakan pelbagai aktiviti menarik untuk anak-anak ini. Buatlah teropong bulan ke, bengkel roket air ke dan macam-macam lagi. Jangan marahkan anak-anak remaja yang ramai pergi kafe siber main game, kerana kita yang tidak sediakan alternatif untuk mereka.

AJK Surau dan Masjid, Jabatan Agama, Majlis Agama, Jabatan Mufti, JAKIM kenalah berfikir cara Aznil Nawawi untuk menarik minat budak-budak ni ke surau dan masjid selain mengikuti kuliah, ceramah dan solat jemaah.

Pening kepala malam tadi tegur budak yang asyik tengok parang-parang cantik di surau, takutkan mereka terluka. Yang menariknya Encik Zamri tukang parang kata parang yang paling tajam ialah pedang Arab zaman Nabi SAW dan para sahabat. Baling saja kain sutera ke udara, tadah pedang, kain terbelah dua bila jatuh atas bilah pedang, punyalah tajam parang zaman dulu.

Perkembangan ilmu falak
Utusan Malaysia 11 Nov 2010

SETIAP kejadian yang berlaku di alam ini sama ada hujan, ribut petir, gerhana dan sebagainya perlu dikaji dan direnung secara empirik untuk mendapat formula kejadiannya serta bagaimana ia berlaku.

Ini termasuk menghasilkan output dalam bentuk produk yang dapat membantu meningkatkan keimanan dan kualiti hidup.

Dalam kehidupan masa kini, teknologi angkasa lepas yang paling ketara adalah teknologi satelit yang digunakan untuk tujuan kaji cuaca, komunikasi, penyelidikan alam sekitar dan atmosfera serta bagi tujuan ketenteraan.

Semua ini menunjukkan potensi dan manfaat hasil kajian manusia tentang ilmu falak.

Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan hak. Allah menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya bagi kaum yang mahu mengetahui. (Yunus: 5)

Ternyata, manfaat yang selama ini kita nikmati tanpa disedari daripada perkembangan ilmu falak adalah penentuan tarikh. Ini menjadi lebih penting terutama dalam merancang bilakah mulanya puasa Ramadan. Seterusnya menentukan cuti bagi membolehkan kita merancang perjalanan pulang berhari raya ke kampung.

Sumbangan ahli falak Yunani

Ahli astronomi purba telah memulakan beberapa teori dan siri pencerapan yang berguna untuk kajian falak seterusnya.

Antaranya, Aristarchus (310 SM -230 SM) yang membuat pengukuran saiz serta jarak bulan can matahari.

Erathosthenes (240 SM) mula membuat pengukuran diameter bumi manakala Hipparchus (150 SM) menggunakan kaedah matematik trigonometri untuk perhitungan astronomi.

Ptolemy (120 SM) pula mengemukakan konsep alam sistem geosentrik. Ia menunjukkan bahawa bumi menjadi pusat alam dengan planet lain serta matahari beredar mengelilinginya dengan jarak dan halaju tetap.

Ilmu falak dalam zaman tamadun Islam

Ahli falak Muslim memainkan peranan penting dalam perkembangan dan kemajuan ilmu ini. Mereka telah mengubah skop kajian ilmu falak yang bercorak tradisi kepada saintifik.

Pada zaman khalifah al-Makmum (813-833 M), beliau memerintahkan supaya ukuran lilitan bumi dibuat dengan menggunakan kaedah astronomi dan matematik.

Ahli falak Islam telah berjaya mendapatkan ukuran lilit tersebut sebagai 40,253 kilometer (km). Ukur lilit bumi yang diperolehi dalam pengukuran moden adalah 40,084 km.

Al-Makmum menjadikan kota Baghdad, Kufah dan Basraj sebagai pusat penyelidikan unggul dengan membina kompleks penyelidikan dan makmal yang dikenali Baitul Hikmah.

Pada masa yang sama, terdapat sekurang-kurangnya empat balai cerap yang aktif membuat penyelidikan iaitu balai cerap Kaherah, Qaisun di Damsyik, Shammasiya di Baghdad dan Maraghah di Turkistan.

Antara tokoh cendekiawan Islam dalam bidang ini ialah al-Biruni, al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan al-Kindi.

Al-Biruni selain mengkaji tentang geografi dan geologi turut memperbaiki teori qamari mengenai saiz bumi, matahari dan planet.

Al-Khawarizmi pula membuat kajian qamari dan kenampakan anak bulan. Ibnu Sina pula pakar dalam astro fizik manakala ak-Kindi dikenali sebagai pakar matematik dan geografi.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Tiada ulasan: