Keadaan di Malaysia semakin kalut tiap hari. Kes bunuh diri meningkat, kes buang bayi meningkat, gejala sosial dan maksiat sudah tak terkawal. Sekarang kisah seorang datuk pula maut diserang cucunya sendiri di FELDA Palong, Negeri Sembilan. Kembalilah kita kepada Islam secara total tanpa belah bahagi.
BERITA HARIAN 15 Januari 2011
JEMPOL: Saya hanya mampu memangku tubuh suami yang berlumuran darah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir beberapa minit kemudian, kata seorang wanita warga emas menceritakan detik terakhir bersama suaminya yang mati dipercayai selepas diserang cucu mereka sendiri bersama tiga remaja lain di Jempol, malam kelmarin.
Halimah Mat Yassin, 57, yang turut cedera dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, berkata dia bersama suami, Mokhtar Yusof, 71, baru pulang ke rumah mereka di FELDA Palong 2, di sini dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah selepas melawat seorang saudara yang sakit. Kami terkejut melihat rumah berselerak sebaik membuka pintu. Menyedari sesuatu tidak kena, kami masuk memeriksa dan terperanjat melihat cucu berusia 17 tahun serta seorang rakannya berada dalam sebuah bilik dalam keadaan mencurigakan. Kami minta mereka tidak melakukan perkara tidak diingini, tetapi tiba-tiba muncul dua lagi rakan cucu saya, termasuk seorang perempuan hingga keadaan jadi kelam kabut. Kemudian berlaku pergelutan dan sedar-sedar, suami saya sudah berlumuran darah, katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Halimah yang luka tangan kanan dan masih dalam keadaan terkejut, berkata dia tergamam dengan kejadian itu kerana tidak menyangka suaminya akan ditikam hingga menemui ajal, manakala empat remaja terbabit kemudian melarikan diri bersama beg mengandungi wang tunai dan barangan kemas.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Superintendan Zazali Hashim, berkata siasatan mendapati seorang daripada suspek yang berusia belasan tahun itu adalah cucu mangsa yang mempunyai masalah akhlak dan tidak tinggal bersama pasangan terbabit.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Datukmautdiserangcucu/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan